Syukur alhamdulillah sejak saya mula menulis dalam blog ini yang tujuan asalnya hanyalah untuk mempromosi Pakej Umrah yang saya anjurkan tetapi lama kelamaan saya semakin teruja apabila mendapati ada pembaca yang sentiasa menanti entry yang baru. Kali ini saya cuba menulis mengenai Motivasi dalam Diri walaupun mengetahui saya bukanlah seorang Pakar Motivasi.

Sebagai hamba Allah yang sentiasa menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Allah, seperti yang selalu kita ucapkan ketika solat dengan membaca surah al-Fatihah pada ayat yang bermaksud ” Hanya PadaMu Ya Allah yang kami sembah, dan hanya padaMu tempat kami memohon pertolongan”, maka ada baiknya sama-sama kita muhasabah diri sejauh mana ungkapan tersebut benar-benar kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.

lelaki doa

Pastinya sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari menghadapi masalah ataupun musibah. Saya selalu mendengar keluhan dari kawan-kawan mengenai masalah mereka di tempat kerja. Samada masalah sering dimarahi majikan, masalah kawan yang suka tikam dari belakang, masalah bebanan kerja kerana mengejar “dateline”, masalah gaji yang tidak setimpal dengan bebanan kerja dan pelbagai lagi masalah yang sentiasa menyebabkan kehidupan menjadi semakin tertekan dan tidak ceria.

Saya selalu katakan kepada mereka, kemana pun kamu pergi, kamu tetap akan menghadapi masalah yang sama. Kita akan jumpa jalan cerita yang lebih kurang sama sahaja cuma watak pelakonnya sahaja yang berbeza. Jadi apa yang perlu kita lakukan ? Segala-galanya tergantung atas diri kita iaitu cara mana kita melihat sesuatu masalah itu ?

Tanda Allah sayangkan kita

Allah tidak menimpakan ujian kepada kita dengan sia-sia. Setiap ujian atau musibah merupakan satu takdir yang telah ditentukan Allah kepada kita. Kita tidak mempunyai pilihan lain, selain dari menerimanya dengan redha dan bukannya menyalahkan nasib diri. Adanya ujian dari Allah membawa maksud bahawasanya Allah sayangkan kita kerana setiap ujian yang diberi pasti ada ganjaran pahala dan dihapuskan dosa.

Bukankah di dalam al-Quran telah disebut bahawa sesiapa yang mengaku beriman kepada Allah, tetap akan Allah uji sesuai dengan tahap keimanan masing-masing. Surah al-Ankabut ayat 2-3 Allah berfirman ” Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami (Allah) telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.

berdoalah

Ada baiknya kita muhasabah diri kita bagaimana tingkahlaku kita sehari-hari dalam menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita sesama manusia?

Tanpa kita sedar setiap hari ketika ke Pejabat, kita cukup jaga displin waktu. Seboleh-boleh diusahakan untuk kita datang ke Pejabat tepat pada waktunya bimbang nanti akan dimarahi oleh Majikan. Begitu juga setiap arahan yang diberikan Majikan, suka atau tidak sedaya upaya akan dikerjakan dengan sebaik mungkin. Bimbang jika dimarahi Majikan jika kerja yang dilakukan tidak sempurna dan yang paling ditakuti andai kita kehilangan pekerjaan dek kerana tidak pandai atau cuai dalam melakukan kerja-kerja pejabat. Tambah sakit hati apabila ada di kalangan rakan sekerja yang hanya pandai membodek Majikan tetapi kerja malas.

Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah? Bagaimana ketaatan kita melakukan segala Perintah Allah ? Dan sejauh mana kekuatan kita menjauhkan apa yang dilarang ? Sebagai Hamba Allah, adakah kita melakukan Solat 5 waktu ? Sebagai ikrar kita mengingatiNya. Sebenarnya ramai di kalangan kita yang tidak menjaga Solat 5 waktunya. Yang sering dilakukan hanyalah Solat Maghrib, barangkali kerana berada di rumah. Ketika di luar semasa sibuk dengan kerja seharian atau mencari rezeki, ramai yang meninggalkan Solat Fardhu. Atas alasan sibuk, pakaian kotor dan tak bersih, tempat tak sesuai dan macam-macam alasan lagi.  Langsung tidak ada rasa takut atau bersalah kerana tidak mempedulikan seruan Allah. Sedangkan hakikatnya Allah yang patut kita jaga, baru Allah akan jaga kita.

Allah mencipta manusia di muka bumi ini adalah supaya manusia mengingatiNya. Allah memberi rezeki kepada kita supaya kita bersyukur kepadaNya. Tetapi kita yang selalu leka dengan urusan dunia sehingga lalai dari mengerjakan apa yang Allah suruh. Yang Allah larang makin galak pula dikerjakan. Jadi bagaimana kita nak mengharap Pertolongan Allah andai kita selalu lalai dari mengingatiNya.

Sebenarnya khidupan ini memang pelik. Kita selalu silap dalam menentukan prioriti. Yang mana perlu diutamakan, menjaga hubungan dengan Allah atau hubungan dengan manusia. Alangkah sedihnya apabila melihat segelintir di kalangan kita yang sanggup meninggalkan solat demi mencari nafkah hidup. Mana nak datang keberkatan rezeki apabila Allah dilupakan.

Kita boleh lihat di Pasar-pasar Malam, berapa ramai di kalangan Peniaga Pasar Malam yang menjaga solat mereka ? Apabila masuk waktu Maghrib, tidak ramai yang sanggup memberhentikan sebentar perniagaan mereka untuk mengingati Allah. Yang hairannya ketika waktu solat Maghrib pembeli berduyun-duyun datang memasuki Pasar Malam.

Pasar Malam PadangJawaSaya ucapkan syabas kepada Pihak Pengurusan Pasar Malam di Padang Jawa yang mengarahkan sebarang aktiviti urusniaga diberhentikan demi menghormati waktu Maghrib. Langkah baik ini seharusnya dicontohi oleh mana-mana Pasar Malam di negara kita. Jika di negara Arab Saudi, setiap kali masuk waktu solat kesemua kedai-kedai di sana akan menutup perniagaan mereka dan disambung semula selepas Solat disempurnakan.

Ingat pesan Nabi saw : ” barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah akan mempersulit urusannya dan menjadikan kemiskinan nampak di kedua-dua matanya. Ia tidak akan memperoleh dari dunia apa yang dia hajati, kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang menjadikan negeri Akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan memudahkan urusannya dan menjadikan kekayaan muncul dalam hatinya dan duniapun akan datang kepadanya dengan mudah.”

syukur

Bersyukurlah

Setiap dari kita sepatutnya selalu mengingati akan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Atas sifat kasih sayang Allah kita peroleh pelbagai nikmat  berupa kesenangan hidup, kesihatan yang baik, kasih sayang yang melimpah ruah, kebahagiaan hidup, memperoleh anak-anak yang baik dan cemerlang dan pelbagai lagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Kita jarang menyedari akan nikmat yang kita peroleh kecuali setelah nikmat itu telah hilang dari kita.

Surah Ibrahim ayat 7, Allah berfirman : ” Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti akan Kami tambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu amat pedih.”

Sementara masih ada kesempatan waktu ini, marilah kita sama-sama mensyukuri akan setiap nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan memperbanyakkan lagi amalan kita kepada Allah. Yang fardhu dijaga dan yang sunat ditambah. Yang Haram ditinggalkan dan yang makruh dijauhi. Semoga kita hidup sentiasa dalam jagaan Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Jumpa lagi dan Wassalam.