Assalamualaikum wbt.

Kali ini saya kurang motivasi untuk menceritakan mengenai Umrah. Masalah pengurangan kouta Umrah dan juga kesulitan untuk mendapatkan visa begitu mencemaskan saya. Kasihan kepada rakan-rakan seperjuangan yang mengalami kerugian kerana terpaksa menggantikan duit jemaah apabila visa tidak keluar pada masa yang sepatutnya, walhal tiket flight sudah dibeli dan tempahan hotel di sana sudah dibayar.

aku-bersyukur-ya-allah

Maka sempena kehadiran Ramadhan yang bakal menjelang, ada baiknya kita bersedia dari sekarang untuk menyambut dan menghadapinya dengan penuh rasa ketakwaan kepada Allah. Bukan kerana terpaksa apabila melihat orang lain berpuasa maka kita pun turut berpuasa. Sedangkan Allah dan Nabi s.a.w menjanjikan pelbagai kelebihan yang bakal diperolehi di bulan Ramadhan yang tidak ada pada bulan yang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda. Allah Azza Wajalla menyebut : Melainkan puasa, kerana ia untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui TuhanNya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) lebih harum wangi di sisi Allah dari bau Kasturi”

Ibadah puasa memaksa diri kita untuk meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan berpuasa ianya dapat melatih diri kita supaya bersabar menempuh segala cabaran dan godaan dan menjadikan diri kita lebih cenderung untuk mengingati Allah.

Nabi s.a.w bersabda : ” Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang ada padanya 1 malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya satu kewajipan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat), maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah wajib dan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang wajib maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan 70 amalan fardhu.”

Pada bulan Ramadhan, sepatutnya kita menambah amal kebajikan kerana ganjaran pahala yang diperolehi berlipat kali ganda. Seharusnya kita sedar Akaun Akhirat kita tidak sekaya mana. Tak sampai taraf Jutawan Akhirat pun (kecuali mereka yang beramal soleh). Dan jika dihitung nikmat yang Allah kurniakan kepada kita dibanding dengan amalan kita yang sedikit, maka wajarkah kita memasuki Syurga Allah ?

Sehinggakan Imam Syafie menukil dalam bait syairnya yang masyhur “Tuhanku ! Aku tidak layak untuk syurgaMu, namun aku tidak tahan dengan api siksa nerakaMu. Dari itu ampunilah diriku, sesungguhnya Engkau Allah Tuhan Maha Pengampun dosa-dosa besar ”

Bayangkan Imam Syafie yang kita sedia maklum punya sumbangan besar dalam Islam pun merasa rendah diri dan merasakan amalannya sangat kurang berbanding dengan kurniaan nikmat yang Allah berikan kepadanya, inikan kita insan yang lemah imannya dan selalu melakukan maksiat tapi seperti tidak merasa apa-apa.

Bersegeralah bertaubat, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Bulan Keampunan Allah

Banyak hadis yang meriwayatkan mengenai Allah mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang telah lalu dalam bulan Ramadhan. Kerana itu marilah kita bertaubat dan meningkatkan lagi amalan kita di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, bersedekah, melakukan Solat-Solat Sunat dan juga Solat Malam dan bermacam-macam amal kebaikan yang kesemuanya dilakukan dengan mengharapkan redha Allah.

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi Muhammad s.a.w sabdanya : ” sesiapa yang mengerjakan puasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu “ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda : ” apabila masuk bulan Ramadhan maka terbukalah pintu-pintu syurga dan tertutup segala pintu nereka manakala syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

solat malam

Dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Nabi s.a.w menggalakkan Qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Qiyamullail (solat malam) dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang.”

Di satu hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda : “Rugilah puasa orang yang tidak mendapat keampunan.” Iaitu puasa sekadar menahan rasa lapar dan dahaga sahaja, sedangkan segala anggota tubuh dan panca inderanya tidak diarah untuk melakukan ibadah kepada Allah. Memang amat rugi orang yang berpuasa tetapi tidak melakukan Solat Fardhu. Kekadang rasa pelik kerana hamba Allah ini boleh berpuasa seharian tetapi solat Fardhu yang tidak sampai 5 minit, amat liat sekali.

Sedangkan berpuasa di bulan Ramadhan dan membaca al-Quran boleh menyelamatkan nasib di kita di akhirat nanti seperti mana sabda Nabi s.a.w : ” Puasa dan Quran itu memintakan syafa’at seseorang hamba di Hari Kiamat nanti. Puasa berkata : Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk meminta syafa’at baginya. Dan berkata al-Quran pula : Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk meminta syafa’at baginya. Maka keduanya diberi hak untuk meminta syafa’at. (Riwayat Ahmad, Hadits Hasan).

Cukup sekadar ini untuk dijadikan renungan. Sama-sama kita berdoa semoga amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini dapat menjadikan kita insan yang bertaqwa kepada Allah, sesuai dengan maksud ayat al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 iaitu ” wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

Selamat beramal.