Assalamualaikum wbt

Pakej Umrah Murah sememangnya menjadi pilihan utama bagi mereka yang pertama kali berhasrat untuk ke Tanah Suci menunaikan Umrah. Bagi yang pernah ke Tanah Suci dan merasai sendiri keperitan, kesusahan dan kesengsaraan semasa di sana pastinya berazam sekiranya ada rezeki untuk ke sana lagi tidak akan memilih Pakej yang sedemikian.

Makkah akan datangMasjidil Haram pada masa akan datang

Objektif utama agensi ialah mencari seberapa ramai jemaah menyertai mereka supaya keuntungan syarikat dapat dimaksimakan. Langkah menawarkan Pakej Umrah Harga Murah pastinya akan mendorong ramai orang mendaftar dengan mereka. Akibatnya banyak agensi kini yang bersaing sesama mereka dengan membuat Tawaran Pakej Umrah Murah demi mendapatkan jemaah yang ramai.

Sebenarnya ramai yang tidak sedar atau mengetahui mengapa sesuatu Pakej Umrah itu ditawarkan pada harga yang rendah. Bagi jemaah pertama kali pastinya teruja dan bangga kerana merasa dirinya bijak berbanding rakan-rakannya yang lain yang mendaftar dengan agensi lain tetapi membayar harga yang jauh lebih tinggi darinya. Maka dicanang kepada rakan-rakannya yang lain supaya memilih agensi yang ia sertai kerana harganya yang murah berbanding dengan yang lain.

Apabila kita membeli sesuati barang pada harga yang murah, pasti ada sebab mengapa barangan tersebut dijual murah. Begitu juga dengan perkhidmatan pengendalian Umrah. Apabila Pakej Umrah ditawarkan pada harga murah pasti akan ada beberapa perkara atau kos yang terpaksa ditiadakan atau dikurangkan supaya harga tawaran menjadi murah. Agak mustahil Pakej Harga Murah cuba mengekalkan kualiti services kerana setiap services pastinya ada kos yang terlibat.

Hotel Penginapan Makkah yang jauh dari Masjid

Satu fakta yang tidak dapat dinafikan ialah semakin jauh Hotel Penginapan dengan Masjidil Haram, maka semakin murah atau rendah kadar sewa biliknya. Ataupun semakin hampir Hotel Penginapan dengan Masjidil Haram, maka semakin mahal harga sewa biliknya. Amat mustahil sekiranya ada agensi yang menawarkan Pakej Umrah Harga Rendah tetapi menjanjikan hotel yang hampir dengan Masjidil Haram. Jika ada agensi yang menjanjikan sedemikian boleh jadi ianya hanyalah gimik demi mendorong ramai jemaah mendaftar dengannya.

Biasa dalam tawaran agensi menyebut jarak Hotel ke Masjid ialah 300 meter hingga 500 meter. Sedangkan hakikatnya lebih jauh dari itu. Jarang agensi yang menyebut Hotel Penginapannya sejauh 800 meter atau 1km untuk ke masjid. Jika ada agensi yang berterus terang mengenai jarak hotel ke masjid dibimbangi tak ada orang pula yang mendaftar dengan mereka.

Di pihak jemaah pula, mereka beranggapan jarak bukan jadi ukuran. Yang penting dapat ke tanah suci menunaikan Umrah. Setakat 500 meter tu dianggap tidak jauh. Hanya jalan kaki keliling Stadium aje, katanya. Tetapi mereka tidak mengukur kemampuan sendiri. Jika jarak 500 meter, pergi ulang alik ke Masjid sudah jadi 1km. Jika 5 kali dalam sehari sudah jadi 5 km setiap hari berjalan kaki. Jika menginap selama 7 hari di Makkah, maknanya jemaah berjalan kaki sejauh 35km. Mampu ke ? Boleh jadi yang muda-muda tak da masalah..bagaimana pula jemaah berusia ?

Kerana itu ramai jemaah yang mengeluh dan merungut apabila perkara sebegini terjadi kepada mereka. Nak menyesal sudah terlewat. Nak minta agensi carikan hotel yang dekat dengan Masjid pastinya kena tambahan kos. Dan belum tentu lagi ada bilik hotel dekat yang “available” kerana “booking” secara ‘adhoc’.

Tawaran Pakej Dalam Pakej

Ada Pakej yang tidak memasukkan Pakej Lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Madinah dan Makkah supaya Harga Pakej menjadi murah. Sekiranya jemaah ingin membuat lawatan atau Ziarah, maka mereka harus membayarnya semasa di sana. Teringat saya pada seorang makcik yang ditinggalkan di lobi hotel kerana tidak dibenarkan menyertai program ziarah dek kerana anaknya yang mendaftarkan makcik ini mengambil Pakej Umrah murah. Kasihan pada makcik tersebut kerana tidak tahu apa-apa. Dan anaknya yang tidak ikut sama juga mungkin tidak tahu mengenai hal ini. Asal pakej harga murah maka dia pun daftarkan untuk ibunya pergi umrah.

Malah ada Pakej yang tidak memasukkan Kos Makanan semasa di tanah suci supaya Harga Tawaran Pakej dilihat murah. Sekiranya jemaah inginkan Makanan disediakan maka jemaah harus membayar tambahan kos. Mungkin jemaah yang nak jimat tidak kisah jika tiada makanan kerana mereka berfikir bahawa makanan boleh dibeli di sana. Tetapi jemaah tidak sedar sebenarnya harga makanan di tanah suci adalah jauh lebih mahal berbanding di sini. Jangan terkejut harga Nasi beserta ayam goreng boleh mencecah SR20 hingga Sr30. Dan yang lebih leceh jemaah terpaksa beratur untuk membeli makanan. Sedangkan sekiranya jemaah membayar untuk kos makanan di tanah suci sebenarnya jauh lebih jimat lagi.

Ramai yang teruja dengan tawaran Pakej Umrah Murah dan terus membuat bayaran pendaftaran kepada agensi tanpa mendapatkan maklumat lengkap mengenainya. Dan ketika mahu membayar baki bayaran, maka baru pihak agensi memaklumkan bahawa Pakej yang ditawarkan tidak termasuk kos makanan dan lawatan ziarah di tanah suci. Dan apabila jemaah memilih supaya dimasukkan sekali perkara ini, maka mereka harus membuat bayaran tambahan. Dan jika dihitung semula sebenarnya Pakej Umrah yang ditawarkan sama sahaja dengan agensi yang lain dan mungkin lebih mahal lagi. Ini yang disebut ada tawaran Pakej dalam Pakej,

Tiada Tour Leader bersama Rombongan

Malah ada agensi yang tidak memperuntukkan seorang Tour Leader bersama rombongan demi menjimatkan kos. Kesannya ialah kepada rombongan jemaah itu sendiri yang seperti terabai dan tidak terurus. Tambah tragis sekiranya Pakej tersebut mengambil Penerbangan Transit yang mengkehendaki jemaah bermalam di negara berkenaan. Kasihan kepada jemaah yang seperti anak ayam kehilangan ibu.

Ketiadaan Ketua Rombongan sememangnya banyak menimbulkan kesulitan kepada jemaah. Bermula sebaik sampai di airport Jeddah iaitu Terminal Haji, rombongan jemaah sudah terkapai-kapai tidak tahu dengan siapa mereka harus rujuk. Di Terminal Haji tiada wakil agensi yang dibenarkan menyambut jemaah. Yang menyambut jemaah ialah orang Muasasah Arab yang tidak tahu berbahasa Melayu. Biasa terjadi jemaah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas yang akan membawa jemaah ke Madinah.

Ketiadaan Ketua Rombongan juga akan memberikan masalah semasa keberangkatan pulang.  Sebaik sahaja bas sampai di airport Jeddah, pandai-pandai la jemaah mencari Troli sendiri untuk mengambil bagasi masing-masing. Bagi yang biasa menunaikan Umrah mungkin tiada masalah, tetapi bagaimana pula dengan jemaah yang pertama kali ? Kena pulak makcik-makcik dan pakcik-pakcik kampong yang tidak biasa dalam urusan airport ini. Terkial-kial mereka menguruskan bagasi sendiri. Begitu juga mengenai urusan pembungkusan air zam-zam. Jemaah terpaksa menguruskan sendiri.

Boleh jadi ada sindiket penipuan Umrah

Mutakhir ini banyak kedengaran ramai bakal jemaah yang tertipu dengan tawaran pakej harga rendah. Munasabah ke jika harga tawaran pakej umrah serendah RM3000 atau RM4000 sahaja. Harga tiket flight mungkin lepas. Kos yang lain bagaimana ?

Malah ada pula guru-guru agama yang bertindak sebagai agen kepada agensi berkenaan. Mungkin guru agama berkenaan tidak sedar yang dirinya dipergunakan. Jemaah pula kerana terlalu yakin dengan guru agama tadi terus mendaftarkan dirinya beserta ahli keluarga yang lain. Sampai masa baru mereka sedar sudah jadi mangsa penipuan. Kasihan pada guru agama tadi yang menjadi mangsa kemarahan jemaah dan anggota keluarga jemaah, walhal ia sendiri turut jadi mangsa penipuan.

Malah ada pula agensi yang membuat tawaran harga rendah dengan mendakwa ada Hamba Allah dari Arab Saudi yang akan menaja separuh perbelanjaan Umrah dan yang separuh lagi dibayar oleh jemaah. Boleh percaya ke ? Kadang-kadang kita lupakan soal logik apabila hati membuak-buak untuk segera pergi umrah pada harga yang murah pula. Tambahan pula ada yang mendakwa sudah ada jemaah yang pergi. Ya ke ?

Jenis Flight Yang Diambil

Biasanya Pakej Umrah Murah akan menaiki flight jenis transit dan mengkehendaki jemaah bermalam di negara ketiga. Jenis flight sebegini akan menyebabkan jemaah sampai di Madinah pada hari yang ke-3 dan pastinya pihak agensi boleh menjimatkan kos kerana tiada kos yang terbabit untuk Hari pertama dan Hari yang kedua. Bukan setakat masa pergi, semasa keberangkatan pulang pun jemaah terpaksa menginap di negara yang berkenaan. Alangkah ruginya kerana berapa banyak masa yang terbuang dalam perjalanan. Kerana itu bagi mereka yang memahami tidak akan mengambil flight trnansit.

Cukup la setakat beberapa perkara yang saya sentuh mengapa sesuatu Pakej Umrah yang ditawarkan menjadi murah berbanding yang lain. Sebenarnya jika kita mahu yang terbaik kita harus bersedia untuk membayar lebih. Ungkapan ” you bayar murah, maka dapatlah servis murah” selalu digunakan oleh agensi yang berkenaan apabila berhadapan dengan jemaah yang tidak berpuas hati dengan servis mereka.

Fikir-fikirkan lah..