Assalamualaikum wbt. Bertemu kembali.

Kunjungan ke Banjarmasin sebelum ini rupa-rupanya membuka satu lembaran baru bagi keluarga Haji Halizan pemilik syarikat Rempah Kuzi yang popular tu (biasa ada di Mymydin Supermarket) dan isterinya Hajah Albee Hashim yang turut sama dalam Rombongan tersebut. Ini kerana tujuan sebenar mereka mengikut Rombongan Melawat Banjarmasin sebelum ini selain dari melawat Banjarmasin ialah untuk menjejak sanak saudara Hajah Albee  yang berasal dari sana. Rupa-rupanya mereka mencari Kulaan.

supa banner

Maka melalui alamat tempat tinggal dan nama waris yang diberi, usaha menjejaki kerabat arwah ayahanda mereka iaitu Haji Supa @ Yusuf pun bermula. Melalui bantuan rakan Travel di sana maka usaha Jejak Kasih ini dilakukan. Memang benar, lebih mudah tugas mencari Kulaan (Saudara)  ini dilakukan oleh orang Banjarmasin sendiri, yang penting ada alamat dan nama waris yang dicari.

Setelah bertemu yang dicari dan sememangnya benar identitinya maka Haji Halizan telah mengumpulkan adik beradik dan kerabat untuk berjumpa sendiri dengan keluarga adik beradik arwah Haji Supa. Maka pemergian ke Banjarmasin melalui Ajwa Travel pun di “setting” pada musim cuti sekolah baru-baru ini.

Rombongan ke Banjarmasin seramai 13 orang termasuk saya berlepas ke sana pada 18hb September 2014 dan kembali ke Tanah Air pada 21hb September 2014. Flight yang dipilih ialah Lion Air kerana tambangnya yang lebih murah berbanding Garuda dan MAS.

supa famili

Ahli Rombongan terdiri dari anak Haji Supa sendiri iaitu Ismail dan Md Isa, cucu Haji Supa iaitu Keluarga Hashim bin Supa yang terdiri dari Lotfe (yang sulong), Nizar (anak kedua), Albee binti Hashim (anak ketiga) bersama suaminya Hj Halizan dan anaknya Hazman, Prof Dr Jamil bin Hashim (anak keempat), isterinya Masitoh binti Ahmad dan anak bongsu Muhammad Imtiyaz. Turut serta ialah sepupu mereka Haji Zolkapeli bin Abdul dan juga ibu Hajah Albee Puan Hajah Khairiah binti Khosni.

Hari 1 ke Banjarmasin dan Barabai

Untuk ke Banjarmasin, terlebih dahulu kita mesti transit ke Jakarta sebelum meneruskan penerbangan ke Banjarmasin. Atau ada juga flight AirAsia yang ke Balik Papan dan seterusnya terbang ke Banjarmasin menggunakan Lion Air atau Garuda.

Kapalterbang Lion Air berlepas dari KLIA 2 pada jam 7.30 pagi dan tiba di Jakarta pada jam 9.30 pagi. Kemudian flight seterusnya pula berlepas pada jam 11.30 pagi dan tiba di Banjarmasin Airport pada jam 2.00 petang. Keluar dari Airport kami terus menuju ke Restoran Warung Bamboo yang terletak tidak jauh dari Airport.

Menuju ke Barabai

Oleh kerana Kampung Lampihong terletak terpencil di pendalaman dan tidak ada Hotel Penginapan di sana, maka Rombongan Mencari Kulaan harus menginap di Barabai terlebih dahulu. Perjalanan ke Barabai menaiki bas mengambil masa 5 jam dari Banjarmasin.

Perjalanan yang panjang tidaklah membosankan sangat kerana Tour Guide bijak menghiburkan ahli Rombongan di dalam bas dengan celoteh dan kisah masyarakat yang sekali sekala disampaikan dalam bahasa Banjar. Mereka yang faham gelak sakan la..saya yang tak faham ni gelak juga walaupun tak faham apa yang diceritakan.

hotel fusfaKami sampai di Hotel Wuspa di Barabai pada jam 8.30 malam. Sebaik check in bilik dan mandi, kami terus makan malam di Hotel berkenaan. Badan dah letih, perut pula lapar jadi layan aje la. Syukur ada juga tempat penginapan di kawasan yang agak terpencil. Yang penting dapat rehatkan badan setelah seharian dalam perjalanan.

rumah banjar

Hari ke 2 ke Kampung Lampihong

Selepas sarapan pagi di Hotel, maka Rombongan Mencari Kulaan menaiki bas menuju ke destinasi iaitu Kampung Lampihong, kira-kira 45 minit perjalanan dari Barabai. Kebanyakkan rumah-rumah masyarakat Banjar di sini berbentuk seperti dalam gambar di atas.

supa bas 2

Kedatangan kami telah disambut dengan meriah oleh waris Keluarga Hj Supa. Pertemuan yang tidak pernah disangka oleh mereka, penuh dengan kemesraan dan kegembiraan. Saya selaku pengiring pun turut rasa syahdu dan terharu. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah kerana berjaya merealisasikan impian mereka untuk bertemu dengan sanak saudara keluarga arwah ayahanda mereka Hj Supa.

supa jamil

Semasa kunjungan, ahli rombongan membawa bersama barangan hadiah untuk disampaikan kepada ahli waris. Al-maklum waris keluarga di sini kehidupannya tidaklah semewah kita di Malaysia. Mereka amat gembira dan berbesar hati menerima hadiah yang disampaikan. Yang lucunya ada yang terus pakai hadiah tshirt yang diterima. Jelas sekali mereka amat menghargai dan berterima kasih dengan hadiah yang mereka terima.

supa hadiah

Saya percaya pertemuan pertama ini tidak berakhr setakat ini. Silaturahim yang telah mula terjalin antara keluarga di Malaysia dan Banjarmasin pastinya akan terus erat dan dikukuhkan. Teringat saya Nabi s.a.w pernah bersabda ‘ barang siapa yang mahu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, maka jalinkan lah silaturahim ”

ziarah kubur

Kunjungan kami di Kg Lampihong diakhiri dengan lawatan ke Kubur Arwah Keluarga Hj Supa yang terletak di dalam kawasan Kebun Getah tanah milik keluarga. Masyarakat di sini biasa menanam jenazah ahli keluarga di kawasan rumah keluarga dan tidak di kawasan tanah perkuburan. Alasannya jika anak-anak atau suami isteri mahu berkelahi sesama mereka pasti cuba dielakkan kerana segan dengan arwah leluhur mereka yang tertanam di depan rumah mereka.

Selesai program Jejak Kasih di Kg Lampihong, kami terus bergerak menuju ke Banjarmasin semula. Sama seperti masa datang, perjalanan mengambil masa 5 jam juga.  Kami tiba di Banjarmasin pada jam 8.30 malam dan selepas makan malam di Restoran Noni kami check in Hotel Aria Barito bertaraf 4 bintang tetapi kemudahan seperti hotel 5 bintang.

supa baritoHari ke 3 dan ke 4 di Banjarmasin

Program Hari ke 3 ialah melawat kawasan pendulangan Intan, Solat Jamak di Masjid Karomah dan lawatan ke Pasar Martapura. Makan tengahari dan Makan Malam di Restoran Tempatan. Program ini sama sahaja dengan program kami sebelumnya. Jadi tak perlu saya ulas panjang.

masjid karomah

Cuma kebetulan lawatan ke Banjarmasin kali ini sedang diadakan Sambutan Ulangtahun Banjarmasin yang ke 488 tahun. Jadi Kota Banjarmasin nampak meriah sedikit. Kunjungan ke Pasar Terapung kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya. Ini kerana saya dapati banyak perahu-perahu pedagang dan pengunjung semasa di Pasar Terapung.

pasar terapung 2

Sampai di sini dulu catatan pengalaman saya bersama ahli keluarga Haji Supa mengunjungi Kulaan di sana. Sungguhpun singkat tetapi membawa pengertian yang penuh makna. Kegembiraan jelas terpancar di wajah ahli rombongan kerana berjaya bertemu dengan sanak saudara yang tidak pernah bertemu sebelum ini.

Jumpa lagi, insyaAllah. Wassalam.