Assalamualaikum wbt.

Lailatul Qadar ialah satu malam yang berlaku di bulan Ramadhan, malam diturunkan Al-Quran dan disebut dalam Al-Quran dalam Surah Al-Qadar bahawa ianya lebih baik dari 1000 bulan. Bila berlakunya Lailatul Qadar tidak diketahui umum, tetapi yang pasti ianya berlaku pada salah satu dari 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan. Ramai Ulama yang meriwayatkan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil iaitu samada malam ke 21, 23, 25, 27 atau ke-29. Tetapi ada juga sebahagian Ulama yang menganggap Lailatul Qadar berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan.

Malam Lailatul Qadar

Ada juga sebahagian Ulama yang berpendapat ia adalah tetap iaitu berlaku pada malam yang ke-27. Malah semasa saya berada di Makkah suatu ketika dahulu, masyarakat sana begitu yakin Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 sehingga keadaan dalam Masjidill Haram begitu sesak dengan jemaah berbanding hari-hari sebelumnya.

Hikmah dirahsiakan berlakunya Lailatul Qadar supaya umat Islam kekal tekun beribadah pada bulan Ramadhan, tambah lagi pada malam-malam 10 akhir Ramadhan. Umat Islam yang berada di Makkah dan Madinah, biasanya akan tekun beribadah dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadhan supaya dapat bertemu dengan Lailatul Qadar. Sangat berbeza dengan masyarakat kita yang seolah-olah tidak merasa apa-apa sehingga tidak merebut peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar.

Bayangkan jika kita beramal pada Malam al-Qadar, ganjaran pahala yang diperolehi lebih baik dari amalan selama 1000 bulan yang bersamaan 83 tahun 4 bulan. Dan jika kita mendapatkan Lailatul Qadar selama 10 tahun bermakna ganjaran pahala amalan kita menyamai lebih dari 833 tahun . Dan jika kita mendapatkan Lailatul Qadar selama 20 tahun bermakna ganjaran amalan kita menyamai lebih dari 1666 tahun. Dan jika mendapatkan Lailatul Qadar selama 30 tahun bermakna ganjaran amalan kita menyamai lebih dari 2500 tahun.

Maka berbahagialah kita sekiranya Akaun Akhirat kita mempunyai nilaian ibadah selama beribu tahun. Rasulullah s.a.w memberitahu sesiapa yang tidak beramal pada Malam al-Qadar tergolong daripada orang yang amat rugi.

Boleh ke kita mendapat Lailatul Qadar ?

Jawapannya pasti boleh, jika kita tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan. Jangan kita terlalu yakin samada Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ganjil ataupun genap. Yang penting kita tetap tekun beribadah pada setiap malam yang dinyatakan di atas.

Waktu yang dikira berlaku Lailatul Qadar ialah bermula apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar (waktu Subuh). Maknanya sekiranya kita beribadah dengan melakukan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta diiringi dengan Solat Terawih pada Malam al-Qadar kita telahpun mendapatkannya. Tambah baik lagi sekiranya kita melakukan Qiyamullail pada malam itu.

Rasulullah s.a.w memberitahu ” orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjemaah di sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk Solat Subuh berjemaah. Tambahnya lagi ” sesiapa yang solat Isya berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam. Dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” Hadis Riwayat Tarmizi, Ibnu Najah dan Nasai.

Imam Ghazali melalui kitabnya yang masyhur Ihya Ulumuddin menyatakan, berlakunya Lailatul Qadar bergantung kepada hari permulaan Ramadhan. Katanya jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam ke-29. Jika 1 Ramadhan jatuh pada Isnin, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-21. Dan jika 1 Ramadhan hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-25. Jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-23. Tetapi kaedah ini bukanlah muktamad, mungkin benar dan mungkin tidak. Mungkin Imam Ghazali berhujah berdasarkan pengalamannya sendiri yang mengetahui Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadar.

Tetapi kita kena ingat jika Lailatul Qadar berlaku di negara kita pada malam yang ganjil, di negara lain yang puasanya lewat atau awal sehari maka Lailatul Qadar berlaku pada malam yang genap pula. Lailatul Qadar berlaku dalam satu malam iaitu bermula pada waktu Maghrib dan berakhir pada waktu Subuh. Jika Lailatul Qadar berlaku di negara kita, dalam waktu yang sama di negara Arab Saudi juga berlaku Lailatul Qadar. Dan saat Lailatul Qadar sudah habis tempoh di negara kita (waktu Subuh), di negara Arab Saudi masih lagi waktu malam menunjukkan Lailatul Qadar belum lagi berakhir. Biasa terjadi di negara kita dikira 1 Ramadhan, tetapi di negara Arab Saudi dan negara Teluk Arab yang lain sudah dikira 2 Ramadhan kerana mereka berpuasa awal sehari dari kita.

Teringat saya, salah satu tanda berlakunya Malam Lailatul Qadar ialah matahari yang terbit pada keesokkan harinya, boleh kita tatap dengan kedua-dua mata kita kerana cahayanya yang suram. Seperti seolah-olah terlalu ramai Malaikat yang kembali naik ke langit selepas bertugas pada malam hari menyebabkan ianya menutup silauan cahaya matahari tadi. Dalam hati saya merasa alangkah ruginya saya kerana pada malam sebelumnya saya tak pulun beribadah.

Tetapi sebaiknya sebagai hamba Allah yang berserah diri kepadaNya dan mengharapkan keampunan dan rahmat dari Allah agar tetap kekal fokus meneruskan ibadah pada malam-malam bulan Ramadhan. Jangan kita terlalu memikirkan tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadar. Seperti yang diyakini pasti akan berlaku Malam Lailatul Qadar pada salah satu malam pada malam 10 yang akhir Ramadhan. Maknanya jika kita beribadah dengan melakukan Solat Isyak berjemaah dan juga melakukan Solat Terawih setiap malam bermula dari awal Ramadhan hingga akhir Ramadhan, pasti kita akan mendapat Lailatul Qadar.

Sama-sama kita menantikan saat munculnya Malam Lailatul Qadar dengan meneruskan ibadah kita di bulan Ramadhan. Jumpa lagi dan selamat beramal.

Wassalam.