Assalamualaikum wbt.

Menunaikan Umrah untuk kali pertama dihukumkan wajib. Sama juga seperti Ibadah Haji. Wajib untuk kali pertama, manakala kali kedua dan seterusnya dihukumkan sunat sahaja. Namun begitu bagi yang pernah menunaikan Umrah atau Haji pasti akan timbul kerinduan untuk kembali semula ke tanah suci. Perasaan ini sebenarnya biasa dan bukan luar biasa. Yang luar biasa ialah rasa menyesal tidak mahu kembali semula ke Tanah Suci. Saya katakan demikian kerana pernah berhadapan dengan jemaah yang rasa menyesal datang ke tanah suci dan tidak mahu datang lagi di lain masa. Pelik tetapi benar. gambar note2 1885

Bagi yang ada kemampuan kewangan, menunaikan Umrah setiap tahun dan membawa bersama ahli keluarga adalah satu sikap yang terpuji. Individu sebegini ialah insan yang sentiasa bersyukur akan nikmat yang Allah kurniakan kepadanya. Dan sebagai tanda syukur maka ia menanam azam untuk selalu datang ke tanah suci bersama keluarga. Tambah baik lagi jika mereka ini menaja insan lain menunaikan Umrah.

Bagaimana pula dengan yang tidak ada kemampuan ?

Saya percaya ramai di kalangan kita yang berhasrat menjejakkan kaki ke tanah suci tetapi tidak ada kemampuan dari segi kewangan. Justeru ramai juga yang terpedaya dengan Tawaran Pakej Umrah Harga Rendah dek kerana kongkongan kewangan tadi. Tawaran Pakej Umrah berharga RM3000 atau RM4000 mudah sangat dipercayai. Akibatnya  ramai yang telah tertipu kerana harga di atas sememangnya mustahil untuk diterjemahkan. Jika betul sekalipun, pasti ada individu yang berhati mulia menaja Pakej yang sedemikian.

Sepanjang 20 tahun melibatkan diri dalam industri Umrah, saya dapat juga mengenali beberapa individu yang pernah menaja jemaah menunaikan Umrah. Sungguh mulia hati mereka. Saya katakan mereka ini ialah Calon Ahli Syurga. Kerana mereka ini kaya di dunia dan kaya raya di akhirat nanti. Bayangkan banyaknya ganjaran pahala yang diperolehi oleh individu yang menaja jemaah Umrah ini. Setiap amalan yang dilakukan oleh jemaah yang ditaja, sahamnya juga ia perolehi tanpa mengurangi saham pahala si pelaku. AllahuAkbar.

Yang menakjubkan kehidupan insan yang menaja jemaah ini biasa-biasanya sahaja. Tidak lah nampak hidupnya terlalu mewah sangat. Kekadang tu rasa segan pula saya. Mereka ini hidupnya begitu zuhud sekali. Mereka ini dah la kaya di dunia, malah rajin beribadat pula. Sentiasa beramal dengan melakukan zikir harian, Solat Malam dan rajin membaca al-Quran. Kita yang hidup sedang-sedang ala kadar ni, amal pun tak seberapa. Malunya…

gambar umrah 2012 216Pilihlah Pakej Umrah Yang Terbaik

Kepada individu yang berminat untuk menaja Jemaah Umrah amat saya alu-alukan. Cuma saya selalu berpesan jika mahu menaja seseorang menunaikan Umrah, berikan Pakej yang Terbaik untuk mereka. Supaya insan yang ditaja mendapat servis yang terbaik semasa di sana nanti. Pergi dengan flight terus ke Madinah dan mendapat hotel yang hampir dengan Masjid. Ini kerana apabila hotel dekat dengan Masjid, jemaah dapat kekal fokus beribadah. Apabila kita menaja Pakej yang murah dibimbangi akan memberi kesulitan kepada jemaah yang ditaja. Seperti kita berikan hadiah kepada orang yang disayang. Mestilah berikan hadiah yang terbaik. Begitu juga dengan hadiah Umrah.

Begitu juga sekiranya kita ingin menaja kedua ibubapa kita yang sudah tua menunaikan Umrah. Sebaiknya bukan setakat berikan mereka Pakej Umrah yang Terbaik tetapi sebagai anak kita kena pastikan ada ahli keluarga samada kita sendiri atau adik beradik kita menemani mereka. Pernah berlaku kedua ibubapa yang ditaja ini seperti hilang punca. Semasa di sana, kedua jemaah yang tua dan uzur ini hanya menetap di bilik kerana takut untuk ke Masjid bersendirian.  Ada juga jemaah atas sifat ehsan mahu membawa mereka ke masjid tetapi jemaah tua ini pula tidak mahu. Mungkin segan dan tidak biasa dengan jemaah yang baru dikenal.

Pernah berlaku mereka ke masjid tetapi tak jumpa jalan pulang. Al-maklum orang tua, daya ingatan semakin lemah dan berkurangan. Mujur juga ada jemaah lain yang menghantar makcik ini pulang ke hotelnya berpandu kepada Tag Nama yang dipakai. Mujur ada Tag Nama yang digantung di leher. Apa akan berlaku jika makcik atau pakcik tua ini ke masjid bersendirian tanpa membawa sebarang pengenalan diri seperti Tag Nama, Beg sandang dan sebagainya.

Hanya bantuan Allah sahaja yang dapat membantu jemaah tua yang hilang ini..Jumpa lagi dan Wassalam.