Assalamualaikum wbt….Selamat bertemu kembali.

Syukur alhamdulillah, tahun 2018 ini jadual saya agak sibuk berbanding sebelumnya. Sekembali dari membawa dan menguruskan jemaah Umrah Ajwa Travel dari Disember 2017, saya mendapat permintaan untuk membawa jemaah melawat beberapa tempat seperti Kashmir, Guilin dan Makassar. Maka kali ini saya ingin ceritakan pengalaman saya melawat tempat-tempat yang berkenaan dan saya mulakan cerita mengenai Makassar, selepas itu baru Kashmir dan Guilin, insyaAllah.

Kedudukan Makassar

Makassar atau nama lamanya Ujung Pandang terletak di bahagian Selatan Kepulauan Sulawesi. Sungguhpun kedudukannya lebih jauh berbanding Pulau Jawa atau Bali, waktunya sama dengan kita Malaysia. Jika Malaysia jam 8 pagi, maka Makassar pun begitu juga. Cuma beza pada waktu Solat di mana Makassar lebih dahulu masuk waktu berbanding Malaysia. Waktu Subuh di Makassar pada jam 4.40 pagi sedang di Malaysia sekitar 5.40 pagi, lewat 1 jam. Jam 6 pagi suasana di Makassar sudah terang benderang.

Penerbangan ke Makassar

Hanya Airasia sahaja yang membuat penerbangan terus ke Makassar dari KLIA2.  Flight ke Makassar juga tidak hari-hari seperti sektor lain di Indonesia. Flight ke Makassar hanya 3 kali seminggu iaitu berlepas pada  hari Rabu, Jumaat dan Ahad sahaja. Begitu juga sebaliknya dari Makassar ke KLIA2. Flight yang sama juga akan kembali ke KLIA2 sebaik mendarat di Makassar. Tempoh perjalanan sekitar 3 jam 20 minit. Lebih lama sedikit berbanding ke Jakarta atau Bali.

Maka jika ingin setting Pakej Melawat Makassar boleh sahaja dibuat untuk 4 hari 3 malam atau 5 hari 4 malam atau 6 hari 5 malam tergantung kepada hari pelepasan. Jika dibuat 3 hari 2 malam terasa agak singkat iaitu boleh terbang hari Rabu dan pulang Jumaat, atau terbang Jumaat pulangnya Ahad.

Berapa hari yang sesuai melawat Makassar ?

Jika mahu puas mestilah 6 hari 5 malam atau 5 hari 4 malam. Tetapi jika budget rendah maka 4 hari 3 malam juga memadai cuma terpaksalah “skip” beberapa destinasi yang dilawati kerana kekurangan hari. Pada hemat saya tempoh yang ideal ialah 5 hari 4 malam atau 6 hari 5 malam. Ini kerana lokasi menarik di Makassar terletak agak jauh dari kota dan mengambil masa yang lama untuk kembali semula ke kota. Pergi pagi dan pulang petang selepas makan tengahari.

Apa yang menarik di Makassar ?

Bentuk mukabumi Makassar amat cantik dan unik. Peta Sulawesi yang seperti huruf “K” atau sotong itu juga dilihat agak istimewa kerana terlalu banyak teluk dan tanjung sepanjang Kepulauan Sulawesi. Dan ramai yang tidak sedar sebenarnya Kota Makassar ini ialah kota ke5 terbesar selepas Jakarta, Jogjakarta, Medan dan Surabaya. Sungguhpun begitu keadaan lalulintas di kota Makassar tidaklah sesak seperti kota Jakarta atau Bandung. Maka tidak terasa “stress”. Tambahan pula kenderaan di jalanraya juga tidak dipandu laju berbanding di tempat kita.

Makassar juga terkenal kerana mempunyai beberapa etnik kaum yang hidup rukun damai iaitu suku Makassar, suku Bugis, suku Toraja, Mandar, Buton, Jawa dan Tionghua. Kepelbagaian suku kaum dengan kebudayaan dan bahasa pertuturan yang berbeza menambah keunikan Makassar.

Ada beberapa tempat menarik yang harus kita kunjungi semasa melawat Makassar. Antaranya ialah Taman Prasejarah Leang-leang, kawasan Rammang Rammang, Pulau Samalona, Malino Highlands dan Tanjung Bira selain air terjun Bantimurung. Kota Makassar juga mempunyai Taman Tema Transtudio seperti di Bandung, cuma saya tidak melawat tempat yang berkenaan.

Taman Pra-sejarah Leang Leang

Leang Leang dalam bahasa tempatan bermaksud gua. Dinamakan sedemikian kerana terdapat banyak sekali gua-gua peninggalan manusia prasejarah yang hidup sekitar 5000 sebelum Masihi.  Ini dibuktikan dengan penemuan lukisan dinding dan perkakas manusia purba kala di dalam gua yang berkenaan.

Kunjungan ke Taman Leang-leang pastinya kita dibawa melawat gua yang terdapat di atas bukit yang menampakkan kesan Tapak Tangan yang begitu besar yang dipercayai milik manusia purba kala. Kita terpaksa mendaki beberapa anak tangga untuk memasuki gua yang berkenaan. Sungguhpun kawasan ini agak sejuk kerana terdapat sungai tetapi pendakian yang dilakukan boleh juga menyebabkan kita berpeluh.

Keunikan dan keindahan lanskap batuan di Taman Leang-leang begitu indah dan mengkagumkan. Saya kongsi beberapa gambar yang sempat saya ambil ketika lawatan saya ke sini.

Pemandangan bentuk batuan yang berbukit yang banyak terdapat di kawasan ini menampilkan panorama indah lanskap karts Taman Leang-leang. Hamparan rumput yang menghijau berlatar belakang pemandangan gunung ganang sayup-sayup kejauhan menambah seri pemandangan di kawasan ini.

Terasa kagum seolah-olah binaan batuan karst di kawasan ini direka sedemikian rupa bagi mengindahkan kawasan ini. Amat menakjubkan. Ketika berkunjung ke sini saya dapati ramai juga pengunjung tempatan yang datang melawat tempat ini. Ada yang datang dari Jakarta dan Kalimantan Selatan selain dari pelajar-pelajar sekolah kawasan sini.

Rammang Rammang

Kunjungan ke Makassar dikira belum lengkap jika tidak melawat Rammang Rammang. Untuk ke sini kita harus menaiki bot yang disewa khas menyusuri Sungai Pute menuju ke Kampung Berua. Seperti gambar di atas, kita perlu menaiki bot pada muatan sekitar 8-10 orang dengan dikemudi oleh Tuan Punya Bot. Sebaik sahaja menyusuri Sungai ini, kita boleh melihat batuan Karst yang pelbagai bentuk terhampar di sepanjang laluan sungai ini.

Betapa indahnya pemandangan aliran sungai yang berlatarbelakangkan pergunungan Karst yang sayup-sayup kejauhan. Manakala di kiri dan kanan laluan bot dapat dilihat pepohonan yang menghijau dan juga pemandangan perkampungan kecil penduduk setempat. Allahuakbar ! Amat mengasyikkan sekali. Syukur pada Allah yang telah menyampaikan saya ke sini.

Saya begitu terpesona melihat batuan yang terdapat di kiri kanan jalur laluan sungai ini yang seakan mirip terumbu karang di dalam lautan. Boleh jadi kawasan ini suatu ketika dahulu ialah lautan akan tetapi disebabkan oleh pergerakan lempeng bumi menyebabkan muka bumi ini ternaik ke atas menjadi daratan.

Bentuk mukabumi seakan-akan terumbu karang atau batuan dalam laut boleh dilihat ketika melewati beberapa laluan Sungai Pute memberi gambaran kawasan di sini mungkin pernah berada di dalam lautan.

Sesampai kami di Kg Berua ini, terasa ianya amat tenang dan mendamaikan sekali. Sepertinya keindahan kawasan ini telah lama tersembunyi. Semasa kali pertama berkunjung di kawasan ini, saya tidak sedar telah mengambil masa yang agak lama dek kerana kagum dengan suasana indah dan mendamaikan yang diperolehi di sini.

Bagi yang meminati keindahan alam semulajadi, sebaik sampai di sini kita kena berjalan kaki masuk ke kawasan yang lebih dalam kerana ada banyak lokasi menarik yang terdapat di sini. Antaranya ialah Gua King Kong dan juga Gua Berlian. Dinamakan Gua King Kong kerana bentuknya yang mirip sekali dengan wajah King Kong. Saya post gambar sebagai bukti.

 

Pulau Samalona

Bagi yang meminati aktiviti pantai boleh berkunjung ke Pulau Samalona yang terletak sekitar 2km jaraknya dari tanah besar. Untuk ke sini, kita harus menyewa bot dan perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Semasa menuju ke Pulau Samalona, kita boleh saksikan banyak kapal-kapal besar yang berlabuh di perairan Laut Makassar.

Keluasan Pulau Samalona tidaklah terlalu besar, hanya sekitar 2 hektar sahaja. Ada beberapa rumah penghuni di pulau ini dan merekalah yang menawarkan kemudahan seperti sewaan peralatan snorkelling, sewa motor air dan juga kedai makan serta kemudahan bilik mandi.

Jika mahu ke sini cuba elakkan dari hari minggu kerana pastinya ramai pengunjung yang berkunjung ke pulau ini. Keindahan dan kejernihan air laut di sini menyebabkan pulau ini sentiasa dikunjungi pelawat setiap kali hujung minggu.

Bagi yang meminati aktiviti “snorkeling” boleh menyewa bot dan peralatan “snorkeling” yang saya rasa tidaklah terlalu mahal. Terasa seronok bermain-main dengan ikan sambil melihat keindahan terumbu karang di dasar laut.

 

Malino Highlands

Malino Highlands terletak di kawasan tanah tinggi kira-kira 90km dari kota Makassar. Kedudukannya pada ketinggian 1000 meter dari paras laut menyebabkan suhu di kawasan ini sejuk berbanding kota Makassar. Saya fikir Malino Highland lebih sejuk berbanding Cameron Highland kerana tempat ini belum tercemar dengan aktiviti perindustrian. Sebaiknya bawa bersama baju tebal atau jaket jika tak tahan dengan suhu sejuk di sini yang boleh sampai 10 darjah celcius.

Ketika keluar dari kenderaan saya merasakan seperti air hujan turun, tetapi sebenarnya bukan. Kedudukannya yang tinggi menyebabkan terasa rembesan air awan yang bertiup melalui kawasan ini. Pergerakan kabus awan juga ada ketikanya amat laju sehingga boleh mengubah suasana puncak bukit dari gelap kepada terang dan begitulah sebaliknya. Kerana itu jika cuaca cerah bersegeralah mengambil gambar pemandangan kerana boleh jadi 1/2 jam kemudian keadaan boleh berubah menjadi gelap pula kerana gumpulan awan yang bertiup kencang.

Di Malino Highland, kami berjalan kaki menuju ke sebuah bangunan restoran kecil untuk kemudahan pengunjung minum teh sambil menikmati pemandangan kebuh teh yang menghijau. Di kawasan sekitar saya lihat ada juga bangunan penginapan untuk kemudahan pengunjung yang ingin bermalam di kawasan ini, tetapi setakat ini kami belum pernah menginap lagi.

Malino Highlands juga mempunyai banyak kawasan menarik untuk dikunjungi, antaranya ialah Kebun Bunga dan Mini Zoo. Seperti Cameron Highland di tempat kita, bunga-bunga yang ditanam sememangnya cantik dan menawan.  Tambah menarik kerana bungaan yang ditanam di sini ada pelbagai warna. Memadailah saya post beberapa gambar di sini..sememangnya amat cantik sekali. 

Selesai menghabiskan masa di Taman Bunga di Malino Highland ini, kami berkunjung ke Mini Zoo pula. Tak banyak binatang di kawasan ini, hanya ada beberapa ekor monyet dan musang sahaja tetapi yang menarik perhatian saya ialah Helang Putih yang jinak.

Kabarnya helang putih ini ditangkap semasa masih kecil lagi dan dibela oleh penjaganya sekarang. Kerana itulah ia begitu jinak dan boleh diarah untuk terbang dan hinggap di lengan saya seperti dalam gambar.

Tanjung Bira

Tanjung Bira terletak agak jauh dari kota Makassar. Perjalanan dari kota Makassar mengambil masa 6 jam untuk sampai ke sini dengan menaiki kenderaan darat. Sehinggakan saya memutuskan untuk menginap 1 malam di Tanjung Bira dan kembali semula ke Makassar keesokkan harinya.

Tarikan utama Tanjung Bira ialah keindahan pantainya yang cantik dan juga kewujudan industri pembuatan Kapal Panisi yang diwarisi turun temurun. Pasir pantai yang memutih seakan serbuk tepung ditambah dengan kejernihan air laut sememangnya menambah seri kawasan pantai Tanjung Bira ini.

Satu lagi tarikan ialah sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari Tanjung Bira. Kepada sesiapa yang berminat untuk melihat penyu bertelor atau mandi mandi di pulau berkenaan boleh menyewa bot untuk ke sana pada harga yang tidaklah terlalu mahal.

Selepas sarapan pagi dan “check out” resort di Tanjung Bira, kami terus dibawa melawat kawasan industri pembuatan Kapal Panisi di kawasan pantai. Saya dimaklumkan penduduk di Tanjung Bira ini mewarisi kemahiran membuat Kapal dari generasi ke generasi. Mereka hanya membuat Kapal apabila ada tempahan yang datangnya dari golongan kaya dan ada juga dari luar negara seperti Australia, Portugis dan Belanda.

Kami sempat naik ke dalam Kapal yang masih dalam pembikinan. Agak menarik juga kerana kami dapat melihat sendiri beberapa buah Kapal yang belum siap sepenuhnya. Saya lihat struktur Kapal Pelayaran yang mempunyai Cabin Penginapan sekali dengan bilik mandi dan tandas, bilik Kelasi Kapal, dapor dan bilik ruang makan dan bilik enjin. Kos pembuatan kapal ini tidaklah terlalu mahal seperti yang saya sangkakan. Ada yang cuma berharga sekitar RM180 ribu sahaja sehinggalah ke jutaan Ringgit tergantung kepada saiz Kapal dan perkasasan dalaman.

Dalam hati seperti teringin juga nak tempah satu tetapi sedar kemampuan setakat mana. Tapi sapa tahu mungkin suatu hari nanti Ajwa Travel buat business pelayaran ala-ala Starcruise.

Harga Pakej Makassar

Tergantung kepada berapa malam menginap di Makassar. Jika mahu puas boleh ambil Pakej Makassar untuk tempoh 5 hari 4 malam dan/atau 6 hari 5 malam. Tetapi jika mahu budget saya rasa 4 hari 3 malam memadai.

Harga Pakej untuk 4 hari 3 malam ialah RM1800 seorang, manakala untuk  5 hari 4 malam ialah RM1950 seorang. Harga Pakej Makassar untuk 6 hari 5 malam pula ialah RM2150 seorang.

Harga ini meliputi kos tiket flight Airasia pergi dan balik, makanan dalam flight (pergi dan balik), bagasi pergi 10kg dan bagasi balik 20kg, penginapan hotel 3 bintang sebilik berdua di Makassar, makan dan minum selama di Makassar (mengikut Iternary), pengangkutan berhawa dingin termasuk Tour Guide dan Pemandu, lawatan di tempat-tempat menarik (seperti yang saya ceritakan di atas) termasuk sewaan bot dan Yuran Masuk di tempat lawatan.

Kepada yang berminat untuk ke Makassar boleh call atau whatsapp saya Hj Iqbal 0193505395 atau isteri saya Hjh Norhayati 0193418822.