Assalamualaikum wbt

Wukuf di Arafah ialah kemuncaknya Haji. Wukuf di Arafah dianggap puncak penyempurnaan ibadah Haji. Tiada Haji tanpa Wukuf di Arafah. Di Arafah inilah Rasulullah saw menyampaikan Khutbah Haji yang terkenal dengan nama Khutbah Wada’ atau Khutbah Perpisahan. Ini kerana tidak lama selepas ibadah Haji selesai, Rasulullah saw wafat. wukuf4 Ketika itu, turun ayat 3 Surah al-Maidah sebagai penyataan bahawasanya ajaran agama Islam yang dibawa oleh Nabi saw telah sempurna dan lengkap. Firman Allah swt maksudnya pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Ku redhai Islam itu agama bagimu “.

Para sahabat merasa sungguh gembira berikutan turunnya ayat ini yang mengesahkan agama Islam telah lengkap dan sempurna. Tetapi Saiyidina Abu Bakar menangis sehingga membuatkan para sahabat tertanya-tanya dan kehairanan. Lantas Omar ibni Khatab bertanya kepada Abu Bakar ” mengapa beliau menangis di kala semua sahabat kegembiraan ? Dijawab oleh Saiyidina Abu Bakar ” apabila sesuatu itu sudah lengkap bererti pasti akan ada yang berkurang.. Dan apabila agama Islam telah benar lengkap bermakna Utusan yang membawa ajaran Islam akan pergi meninggalkan kita” Maka menangis para sahabat apabila menyedari hakikat kebenaran kata-kata Saiyidina Abu Bakar itu.

wukuf5 Tahun tersebut juga dipanggil Haji Akbar kerana waktu wukuf jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Dan pada tahun ini juga Hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat. Maknanya tahun ini ialah Haji Akbar. Haji Akbar ialah haji yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia kerana fadhilatnya yang sangat besar. Malah ada hadis yang menyatakan sesiapa yang dapat mengerjakan Haji Akbar seolah-olah dia mengerjakan Haji bersama Rasulullah. AllahuAkbar ! Pastinya tahun ini ramai masyarakat Arab di Arab Saudi yang keluar berbondong-bondong mengerjakan Haji kerana faktor Haji Akbar.

Wukuf juga dianggap Perhimpunan Jemaah Haji Seluruh dunia (mungkin tahun ini boleh mencecah 4 juta jemaah) yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada satu masa yang bersamaan. Kita boleh saksikan lautan Manusia berpakaian Ihram putih yang sama hadir di bumi Arafah membesarkan keagungan Allah. Andainya jumlah jemaah Haji seramai ini hadir dalam medan perang pasti gementar musuh-mush Islam. Mendengar laungan Takbir “AllahuAkbar” sahaja sudah menaikkan semangat Jihad dan meremang bulu roma seluruh anggota.

wukuf3

Dan Allah bangga pada Hari Arafah kerana jutaan Hamba-hambaNya bersatu hati membesarkan keagungan Allah. Allah sangat memuliakan Hari Wukuf di Arafah. Diriwayatkan pada hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatNya kepada orang-orang yang Wukuf di Arafah untuk mendengar ungkapan dan keluhan hati hambaNya, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka. Nabi saw bersabda “ Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang Wukuf di Arafah. dengan bangga Ia bertanya kepada para Malaikat, apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu “

Disebut dalam satu Hadis Qutsi bahawa Allah berfirman maksudnya ” lihatlah kepada hamba-hambaKu di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari seluruh penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmatKu sekalipun tidak melihatKu. Mereka meminta perlindungan dari azabKu, sekalipun mereka tidak melihat Aku “ arafah doa2 AllahuAkbar ! Allah memuji hamba-hambaNya yang datang berserah diri kepadaNya pada Hari Arafah. Beruntunglah sekalian Jemaah Haji kerana sentiasa dalam rahmat dan limpahan kasih sayang Allah.

Pandanglah langit Arafah yang terbentang luas. Sesungguhnya pada hari mulia dan penuh keberkatan ini Allah memanggil para MalaikatNya berkumpul di langit Arafah sambil membangga-banggakan HambaNya yang sedang Wukuf di Arafah.

Pada Hari Arafah, marilah sama-sama kita merenungi hakikat diri kita yang sebenarnya di hadapan Allah. Bahawasanya kita sering lalai dari mengingati Allah sedangkan Allah masih tetap melimpahkan kita dengan pelbagai macam nikmat kesenangan. Alangkah beruntungnya kita kerana tidak diazab oleh Allah seperti umat-umat terdahulu apabila berbuat maksiat dan lalai kepada Allah. Kita masih lagi diberi nyawa oleh Allah dalam keadaan kita berulang-ulang kali melakukan maksiat kepada Allah.

Di bumi Arafah pada Hari Wukuf yang penuh keberkatan ini, maka inilah saat yang paling sesuai untuk kita mengungkapkan kalimah Taubat kepada Allah dan berazam dengan sebenar-benar azam untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Malah membenci akan pelakuan maksiat yang pernah dilakukan. Senaraikan satu persatu dosa-dosa kita di Padang Arafah. Ingatkan satu persatu dosa-dosa yang pernah kita lakukan dulu.

Ingatlah betapa selama ini kita habiskan masa kita sibuk mengejar kekayaan duniawi sehinggakan mengabaikan Akhirat. Sesungguhnya kita lah yang selalu menzalimi diri kita sendiri. KIta yang selalu menjerumuskan diri kita ke lembah keninaan. Betapa ruginya kita selama ini kerana mengikut hawa nafsu dan mengabaikan Allah. Andai di saat kita lupa akan Allah kerana sibuk dengan dunia, tiba-tiba di saat itu kita dipanggil oleh Allah. AllahuAkbar ! Apa la nasib kita di Padang Masyar nanti ?

Perhimpunan di Arafah ialah manifestasi keadaan di Padang Masyar. Di Padang Masyar semua makhluk Allah akan dibangkitkan dan dihimpunkan untuk diadili atas apa yang dilakukan di dunia. Dan selepas itu kita akan menerima ganjaran Syurga atau balasan ke Neraka. Jika kita merungut mengenai suasana Padang Arafah yang mungkin menyesakkan kita, bagaimana pula agaknya keadaan kita di Padang Masyar nanti ? arafah doa

Sementara ada kesempatan di Hari Arafah ini, bertaubatlah sebelum pintu Taubat tertutup rapat buat kita. Tiada dosa yang Allah tidak ampunkan kecuali Syirik. Malah sabda Nabi saw maksudnya ” di antara pelbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan Wukuf di Arafah “

Berdoa dan bertaubatlah di Hari Arafah. Sesungguhnya Hari Arafah adalah saat makbul doa dan diampunkan dosa. Mintalah apa sahaja permohonan yang baik-baik, pasti Allah perkenankan. Percayalah dan yakinilah bahawasanya langir yang terbentang luas di Hari Arafah menanti-nanti doa yang tulus dari hamba Allah yang Soleh.

Jangan jadi seperti sebahagian Jemaah yang mengantuk dan tertidur saat Wukuf di Arafah dek kerana berjaga malam untuk beribadah. Saat makbul doa ialah bermula saat Wukuf (gelincir matahari atau masuk waktu Zohor) sehingga tenggelam matahari. Maka perbanyakkanlah berzikir dan berdoa kepada Allah.

arafah doa4

Berdoa haruslah dengan bersungguh-sungguh dan yakin dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Allah amat murka kepada hambaNya yang berdoa di Hari Arafah tetapi tidak yakin dengan doanya sendiri. Sabda Nabi saw maksudnya yang paling besar dosanya di antara manusia ialah seseorang yang berwukuf di Arafah lalu berprasangka bahawa Allah tidak memberinya ampun “.

Kepada para Jemaah Haji ambillah peluang untuk membanyakkan ibadah dan berdoa pada Hari Arafah yang hanya muncul dalam hidup kita mungkin sekali. Amat rugi jika jemaah Haji tidak mengambil peluang untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh pada Hari Arafah.

Dalam riwayat yang lain Allah menyatakan Hai MalaikatKu ! Apa balasan (bagi) hambaKu ini, ia bertasbih kepadaKu, ia bertahlil kepadaKu, ia bertakbir kepadaKu, ia mengagungkanKu, ia mengenaliKu,, ia memujiKu, ia berselawat kepada NabuKu. Wahai para MalaikatKu ! Saksikanlah bahawasanya Aku telah mengampuninya. Aku memberi syafat kepadanya. Jika hambaKu memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.” (Imam Ghazali)

AllahuAkbar.

Selamat Menunaikan Haji kepada Jemaah Haji Malaysia dan Pulang dengan membawa Haji Yang Mabrur. Amin Ya Rabbal Alamin.