Assalamualaikum wbt.

Menguruskan Pakej Umrah tidak semudah ABC. Dari awal hingga akhir, pelbagai ujian dan halangan terpaksa ditempuhi. Dan dalam mengharunginya, sudah pasti sentiasa dalam keadaan mengharapkan pertolongan Allah. Mohon Allah permudahkan A to Z.  Dan selalunya berdoa sekiranya ditimpa ujian biarlah ujian itu yang mampu kita tanggung dan tangani. Tidak dinafikan menguruskan Pakej Umrah juga sentiasa berhadapan dengan masalah. Samada masalah bermula di tanah air lagi mahupun semasa di tanah suci.

Ramai menganggap mendapat jemaah yang ramai pastinya menguntungkan. Benarkah begitu ?

Sekarang ini keadaan semakin rumit. Jika pada awal musim masalah tertumpu kepada isu Tumpang Mahram. Kemudian ditambah lagi dengan isu dokumen sokongan yang perlu di”endorse” ke jabatan terbabit seperti Pejabat Agama dan Wisma Putra. Keadaan ini mungkin berpunca dari segelintir agensi yang memalsukan dokumen sokongan seperti Sijil Nikah bagi memperolehi Visa Umrah. Kini menjelang bulan Rejab menghampiri Syaaban, masalah ditambah lagi dengan isu kekurangan KOUTA UMRAH.

Masalah Kekurangan Kouta Umrah

Sebenarnya ramai yang tidak menyedari Umrah juga mempunyai koutanya sendiri, sama seperti Haji. Untuk makluman, Kerajaan Malaysia hanya diperuntukkan 27 ribu atau 28 ribu Kouta Haji setiap tahun dan mengharapkan ehsan dari Kerajaan Arab Saudi untuk Kouta Tambahan. Manakala untuk Umrah pula kabarnya Kouta Umrah untuk setiap Muasasah juga sekarang ini telah dikurangkan. Berkemungkinan besar Kouta Umrah dikurangkan,  ada kaitannya dengan Kerja-kerja Pembinaan yang sedang rancak dilaksanakan di Masjidil Haram. Sengaja Kerajaan Arab Saudi berbuat demikian bagi mengurangkan kesesakan jemaah dalam Masjidil Haram.

Saya menjangkakan keadaan ini akan berlarutan sehingga memasuki bulan Ramadhan dan seterusnya musim Haji. Boleh jadi Kouta Haji juga nanti akan dikurangkan atas sebab-sebab yang sama. Sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi pada masa-masa akan datang ini.

gambar note2 395Dataran Kaabah semakin sempit sekarang ini

Senario yang berlaku sekarang ?

Saya menerima beberapa kiriman sms dan emel yang memberitahu “Seat masih available” untuk tarikh-tarikh Musim Cuti Sekolah ini. Keadaan ini berpunca dari ramainya bakal jemaah yang tidak boleh terbang kerana tidak memperolehi Visa Umrah. Tiket sudah dibeli tetapi terpaksa “withdraw” kerana visa Umrah tidak diperolehi. Dan apabila keadaan ini berlaku maka “seat” yang selama ini penuh terpaksa pihak Airlines menjualnya semula kepada mereka yang sudah memperolehi visa Umrah. Tetapi dalam keadaan sekarang seperti mustahil pula untuk mencari jemaah yang ada Visa Umrah tetapi tidak ada ‘tiket”. Ini kerana kebiasaannya tiket flight awal-awal lagi sudah ditempah oleh agensi sebelum visa Umrah diperolehi lagi.

Kabarnya ribuan bakal jemaah yang tidak dapat ke tanah suci menunaikan Umrah untuk musim cuti sekolah Mei/Jun 2013 ini disebabkan masalah tidak dapat Visa Umrah. Syukur alhamdulillah kepada jemaah yang mendapat visa Umrah. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk kita membanyakkan amal kita semasa di sana nanti.

Kepada yang tidak memperolehi Visa Umrah, jangan dok menyalahkan agensi yang berkenaan. Mereka sudah lakukan sedaya upaya yang terbaik. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Kita merancang dan Allah jua merancang. Dan pastinya perancangan Allah yang terbaik.

Kerugian kepada Penganjur/Agensi Travel

Cuba kita letakkan diri kita sebagai Penganjur Pakej Umrah yang mempunyai jemaah yang ramai. Kita telahpun membeli tiket flight untuk jemaah serta sudah membayar wang tempahan Hotel di tanah suci, tiba-tiba mendapati jemaah tidak memperoleh Visa Umrah? Saya amat bersimpati pada rakan seperjuangan yang mengalami masalah sedemikian dan juga kepada bakal jemaah yang tidak dapat ke sana. Apabila perkara ini berlaku sudah pasti agensi berkenaan yang dipersalahkan. Walhal bukan kehendaknya perkara ini terjadi. Siapa yang nak rugi ?

Mungkin ada hikmahnya jika setengah agensi yang tidak mempunyai jemaah kerana mereka tidak rugi apa-apa. Daripada ada jemaah yang ramai tetapi mengalami kerugian yang bukan sedikit. Malah pening kepala hingga sukar tidur disebabkan masalah tidak dapat visa ini. Jika tidak kuat iman dan semangat, boleh mengaku kalah dibuatnya.

Tetapi menguruskan Pakej Umrah ada kemanisannya. Kerana itu ramai yang masih bertahan. Masing-masing mengharapkan ganjaran pahala selain dari keuntungan. Yang penting jemaah dapat ditunaikan hajat untuk beribadah di tanah suci. Membantu kerja-kerja kebaikan pastinya diberi ganjaran pahala oleh Allah.

Sama-sama kita berdoa semoga segala urusan Umrah dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Sungguhpun senario yang terjadi kini kadang-kala mungkin boleh menyebabkan kita marah dan hilang sabar kerana halangan-halangan yang menyekat kita untuk ke sana, tetapi saya percaya perkara ini bersifat sementara. Sebaik sahaja kerja-kerja penambahbaikan dan peluasan Masjidil Haram selesai maka keadaan akan kembali pulih seperti sediakala. Mudah-mudahan begitu.

Jumpa lagi dan Wassalam.