Assalamualaikum wbt.

Sepanjang melibatkan diri dalam industri haji dan umrah, saya rasa amat seronok dan beruntung sekali. Pertama, kerana saya dapat ke tanah suci setiap tahun. Kedua, saya dapat kenal ramai jemaah dan menjalin hubungan tali silaturrahim dengan jemaah. Saya selalu ingat pesan ayah saya dalam ceramah yang beliau sampaikan, katanya ” Nabi s.a.w pernah bersabda, barang siapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezekinya, jalinkanlah silaturrahim.”

Sehingga sekarang hubungan silaturrahim itu antara saya dan jemaah masih wujud. Dan saya banyak mengambil pengajaran dari jemaah-jemaah yang saya temui. Ramai yang kata menguruskan jemaah yang kaya raya atau berstatus jutawan banyak mengundang masalah. Mereka ini pasti cerewet dalam segala segi. Tetapi pengalaman saya mengatakan tidak. Jemaah yang kaya raya ini, jarang yang berlagak. Mereka amat baik dan sentiasa merendahkan dirinya. Bila kami dilanda apa-apa masalah, mereka ini selalu kata tak apa. Ini ujian Allah. Yang selalu beri masalah biasanya datang dari jemaah yang tidak pernah menghadirkan diri dalam siri taklimat atau kursus Umrah.

Saya kenal dengan ramai jemaah yang berstatus jutawan atau kaya raya tetapi kehidupan mereka penuh dengan suasana keislaman. Dengan kata yang mudah, mereka ini lebih alim dan warak dari saya yang hidup biasa2 ini. Saya selalu meminta dan mendengar nasihat dari mereka. Mereka yang sudah kaya raya ini selalu bangun malam melakukan solat Tahajjud bermunajat kepada Allah yang Esa. Jika ada waktu terluang, mereka akan baca al-Quran. Ada yang sentiasa menjaga dan mengamalkan solat secara berjemaah di surau atau masjid. Terpegun saya.  Saya yang tak kaya ni, nak bangun malam untuk Solat Tahajjud pun amat berat dan malas. Solat berjemaah pun sekali sekala dalam sehari. Baca al-Quran juga sekali-sekala. Tetapi mereka yang sudah menikmati rezeki yang melimpah ruah dari Allah ini tetap istiqomah dalam ibadah.

Baru-baru ini saya ke selatan tanah air kerana menerima jemputan dari seorang jemaah Umrah. Saya panggil beliau abang Zakaria. Beliau telah membina sebuah surau di tapak tanah kepunyaan beliau menggunakan wangnya sendiri dan kemudiannya surau itu telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Johor dan pahalanya diniatkan untuk arwah ibu dan bapanya. Subhanallah. Betapa besar jasa si anak yang berbakti kepada arwah kedua ibubapanya dengan mewakafkan surau yang berkenaan. Bayangkan selama mana surau itu digunakan ganjaran pahalanya akan mengalir terus kepada arwah kedua ibubapanya. Surau yang dibina atas kos RM230 ribu, dilengkapi dengan aircond dan berkeluasan 40′ x 40′ persegi, mencukupi syarat untuk dibuat solat Jumaat jika mendapat izin dari pihak berwajib. Alangkah beruntungnya kedua ibubapa abang Zakaria kerana mempunyai anak yang tahu membalas jasa mereka dengan mewakafkan surau yang berkenaan. Boleh sahaja abang Zakaria mendirikan Stesen Minyak di tanah kepunyaan beliau kerana lokasinya yang strategik di tepi jalan besar. Tetapi katanya duit boleh dicari, tetapi hidup berbakti kepada orang tua, itu yang lebih utama.

Abang Zakaria mewakafkan surau yang dibina kepada Majlis Agama Islam Johor.

Begitu juga dengan seorang jemaah wanita yang sungguh dermawan. Setiap tahun beliau akan mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menaja seramai mungkin jemaah Umrah yang ingin dibawa. Langsung tak sayang dengan duitnya. Bayangkan jika kos Umrah RM7 ribu seorang didarab dengan 30 jemaah, maknanya sebanyak RM210 ribu dibelanjakan untuk tujuan menaja jemaah Umrah. Apa untung yang beliau dapat ? Untungnya di akhirat nanti. Duit ini bukan hak kita, katanya. Yang jadi hak kita bila kita sudah belanjakan. Yang dalam simpanan belum tentu hak kita. Itu hak Allah. Berapa ramai di antara kita yang sefahaman dengan jemaah ini.

Sengaja saya bawa kisah ini untuk dijadikan pengajaran buat diri kita. Apa yang kita kejar dalam hidup ini sebenarnya. Ramai yang kejar dunia sehingga melupakan akhirat. Sibuk mencari rezeki dunia sehingga nak solat pun payah, walhal solat itu di mana-mana pun boleh asalkan bersih dan suci. Nak solat pun payah apa lagi nak ingat untuk pergi Umrah. Malang sungguh nasib golongan ini. Jadi orang yang sentiasa dalam kerugian kerana dunia yang dikejar tak dapat dan akhirat pula keciciran. Kerana itu alangkah beruntungnya hidup orang yang kaya di dunia dan kaya di akhirat seperti kisah yang saya ceritakan di atas.