Assalamualaikum wbt.

Sepanjang terlibat dalam industri haji dan umrah, sudah pelbagai peristiwa suka duka saya kecapi. Kebanyakkannya pengalaman yang manis. Yang pahit pun ada, tapi saya anggap ubat. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana memilih saya menjadi TetamuNya saban tahun. Malah tahun ini sudah 2 kali ke tanah suci dan akan ke sana lagi pada bulan Jun nanti, insyaAllah. Musim cuti sekolah Mei/Jun ini saya beri peluang kepada Ustaz Iqmal untuk bawa group ke tanah suci. Saya juga harus beri perhatian kepada keluarga. Saya tidak mahu kerana kesibukan tugas, anak-anak ketandusan kasih sayang. Almaklum 3 anak saya tinggal di asrama. Masa cuti sekolah inilah saya mahu bersama-sama mereka.

Bercerita mengenai jemaah haji atau umrah, saya cukup kagum dengan jemaah dari Indonesia. Untuk makluman, pendatang (imigran) yang paling ramai di tanah suci ialah datangnya dari Indonesia. Kedua ramai baru jemaah dari negara-negara Hindi seperti Pakistan, India dan Bangladesh. Dan semasa musim haji, jemaah Indonesia yang paling ramai, dianggarkan lebih dari 200 ribu jemaah. Kita selalu menganggap rakyat Indonesia ramai yang miskin, tetapi setiap tahun jemaah mereka pasti melebihi 200 ribu. Malah yang menariknya, kebanyakkan kumpulan jemaah mereka berpakaian agak mewah seperti memakai “blazer” dan sama fesyennya. Nampak macam satu uniform pula. Dan yang memilih pakej mewah juga agak ramai.

Sikap jemaah Indonesia juga agak ramah dan mesra. Jarang yang saya jumpa berlagak sombong. Samaada saya yang menyapa dahulu, atau mereka yang menyapa saya, perbualan biasanya agak mesra. Tidak nampak kesombongan di wajah mereka. Selain bertanyakan asal usul masing-masing, kekadang perbualan berkisar mengenai pakej haji atau umrah masing-masing.

Secara relatifnya pakej haji dan umrah mereka lebih mahal berbanding Malaysia, tetapi saya jarang mendengar rungutan mereka mengenai apa yang mereka perolehi di tanah suci.  Mungkin mereka sudah biasa hidup susah barangkali. Kerana itu apa yang mereka dapat di tanah suci seperti lebih baik lagi dibanding dengan tempat tinggal mereka di sana. Kata saya dalam hati.

Kebanyakkan penginapan jemaah Indonesia agak jauh dari masjid, berbeza dengan jemaah kita. Mereka sanggup duduk ikhtikaf di masjid dari zohor hingga ke isyak, kerana untuk ulang alik dari hotel ke masjid agak jauh. Saya biasa melihat jemaah Indonesia menaiki bas untuk pulang ke hotel mereka semasa musim haji. Saya tidak dengar rungutan dari jemaah mereka. Mungkin rungutan jemaah mereka pun ada.

Mereka juga cukup kagum dan menghormati jemaah dari Malaysia. Boleh jadi kerana pengurusan haji dan umrah kita lebih baik atau kerana jemaah kita yang sopan. Atau boleh jadi mereka melihat negara Malaysia ini negara yang kaya raya, berbanding dengan mereka yang miskin, hanya mereka yang boleh menafsirkannya.

Apapun saya lihat mereka terima seadanya semasa di sana. Sikap tawadhuk dan kerendahan hati serta budi bahasa mereka yang sopan benar-benar menambat hati saya. Kadang kala saya terkilan dengan sikap jemaah kita sendiri. Hanya kerana datang dari group travel yang berlainan, nak tegur beri salam pun tak mahu. Walaupun sama-sama jemaah Malaysia, sombongnya bukan main. Seolah-olah kita ni low class agaknya.

Saya juga cukup tertarik dengan kisah kesungguhan dan keazaman jemaah Indonesia untuk ke tanah suci. Mereka yang hidup di kampong, ada yang setiap hari menabung dengan niat untuk menunaikan haji ataupun umrah. Kata seorang jemaah Indonesia, di kampong mereka lahir sahaja seorang zuriat mereka, tabungan sudah dibuat. Matlamatnya apabila sudah cukup si anak berumur 18 tahun atau dewasa, maka anak muda ini akan dihantar ke tanah suci mengerjakan haji ataupun umrah.

Kita pun boleh buat tabungan di Tabung Haji. Malah saya rasa kita lebih baik lagi kerana Tabung Haji sudah diiktiraf sebagai yang terbaik dalam pengurusan haji oleh banyak negara Islam. Cuma yang musykil kenapa jemaah Malaysia tidak seperti Indonesia. Jemaah haji dan umrah kita ramai yang sudah berusia dan berpencen, sedangkan jemaah mereka ramai yang muda-muda belaka.

Niat saya bukan untuk memuji jemaah Indonesia tetapi yang nak saya highlight di sini ialah sikap dan kesungguhan mereka untuk ke tanah suci pada usia yang masih muda, tidak seperti kita. Bila dah usia emas, kudrat sudah semakin lemah baru nak ke tanah suci. Sama-sama lah kita fikir-fikirkan.