Assalamualaikum wbt.

Ketika kita mengunjungi Masjid Nabawi, ramai di kalangan kita yang tidak perasan adanya satu objek terlekat di Kubah Hijau yang berbentuk seolah-olah satu jasad manusia. Kabarnya pada suatu ketika dahulu, ada seorang Yahudi yang mempunyai niat untuk mencuri Jasad Nabi atau ingin menghancurkan Kubah Hijau yang dibawahnya ialah Maqam Nabi. Ketika sedang memanjat Kubah Hijau, tiba-tiba sipelaku telah dipanah petir dan mayatnya telah melekat di Kubah Hijau tersebut. Yang menghairankan, tidak ada sesiapa pun yang mampu mengalihkan atau memindahkan jasad yang melekat di Kubah Hijau. Dan kabarnya juga seorang penduduk Madinah yang soleh telah bermimpi bahawa beliau mendengar satu suara yang menyatakan bahawa sesiapa pun tidak akan berjaya mengalihkan jasad Yahudi tersebut dan ianya harus dikuburkan di sana sebagai pengajaran dan peringatan kepada umat-umat yang akan datang.

Sebelum ini saya pernah bertanya kepada seorang pelajar Madinah tentang kisah mayat Yahudi yang berada di Kubah Hijau tersebut. Cerita itu dinafikan oleh pelajar tersebut kerana katanya gurunya di Universiti Madinah memberitahu jalan cerita Yahudi cuba mencuri jasad Nabi s.a.w melalui jalan atas itu tidak logik. Ini kerana yang logiknya ialah jika digunakan jalan bawah iaitu dengan membina terowong yang digali hingga ke Maqam Nabi. Apapun terpulang kepada kita untuk mempercayai atau tidak, kerana ianya bukan termasuk dalam Rukun Iman yang boleh menjejaskan akidah kita.

Kisah yang sahih mengenai jasad Nabi cuba dicuri berlaku pada zaman Abbasiyah tahun 557 Hijrah bersamaan 1164 Masihi. Seperti yang kita sedia maklum, kaum Yahudi dan Nasrani sentiasa berniat jahat terhadap Islam semenjak dari zaman Nabi lagi. Maka pada tahun tersebut, penguasa-penguasa Nasrani di Eropah telah mengupah 2 orang Nasrani yang menyamar sebagai jemaah haji yang berasal dari Andalusia (Sepanyol). Mereka menyamar sebagai jemaah haji yang soleh yang berjubah Morocco dan bersifat dermawan bagi menyembunyikan kerja-kerja jahat mereka yang sebenarnya. Kedua-dua orang Nasrani ini telah menyewa sebuah rumah dekat kawasan Baqi yang lokasinya berhampiran dengan Maqam Nabi. Dan setiap hari kedua-dua orang ini sentiasa berjemaah di Masjid Nabawi dan selalu memberi hadiah atau sedekah kepada fakir miskin. Tetapi pada sebelah malamnya, mereka telah menggali tanah untuk dibuat terowong bagi mencuri jasad Nabi.

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, seorang pemerintah yang adil telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah yang meminta menyelamatkan jasad beliau dari dicuri oleh 2 orang Nasrani sambil menunjukkan 2 orang Nasrani tersebut. Sultan Nuruddin terbangun dari tidur dalam keadaan gelisah lalu mendirikan solat malam dan kembali tidur semula. Namun, Sultan Nuruddin bermimpi yang sama sehingga tiga kali dalam satu malam.

Malam itu juga Sultan mengarahkan Menterinya bernama Jamaluddin mempersiapkan rombongan baginda dari Damaskus menuju ke Madinah. Maka Sultan bersama menterinya berangkat dengan menaiki kuda bersama 20 orang pengawal dan dibawa bersamanya kuda-kuda yang membawa barang-barang hadiah untuk penduduk Madinah. Perjalanan mengambil masa 16 hari. Sampai di Madinah, Sultan langsung ke Masjid Nabawi untuk melakukan Solat di Raudhah dan menziarahi Maqam Nabi s.a.w. Sultan bertafakur dan termenung dalam waktu yang cukup lama di depan Maqam Nabi s.a.w.

Lalu, menteri beliau Jamaluddin menanyakan sesuatu, ” Adakah baginda Sultan mengenali wajah kedua-dua lelaki itu ? “Ya” jawab Sultan. Maka tidak lama kemudian menterinya Jamaluddin lalu mengumpulkan semua penduduk Madinah untuk diberi hadiah oleh Sultan Nuruddin. Namun Sultan Nuruddin mendapati tidak ada seorangpun yang mengambil hadiah itu mempunyai wajah seperti dalam mimpi baginda. Maka Jamaluddin bertanyakan kepada penduduk Madinah ” adakah di kalangan kalian masih ada yang belum menerima hadiah dari baginda Sultan? Lalu dijawab oleh seorang penduduk Madinah ” Seluruh penduduk Madinah telah mendapat hadiah dari baginda Sultan kecuali 2 orang dari Morocco yang belum mengambil hadiah. Keduanya orang kaya dan soleh yang selalu berjemaah di Masjid Nabawi.”

Kemudian, Sultan Nuruddin mengarahkan 2 orang itu dipanggil dan alangkah terperanjatnya baginda apabila mendapati wajah kedua orang tersebut adalah sama seperti di dalam mimpinya. Setelah ditanya mereka mengaku sebagai jemaah haji dari Andalusia. Meskipun Sultan mendesak bertanyakan tentang kegiatan mereka di Madinah, mereka tetap tidak mahu mengaku. Kemudian, Sultan mengarahkan menterinya bersama-sama para pengawal pergi ke rumah kedua orang berkenaan untuk menyiasat. Sesampainya di rumah itu, yang ditemui ialah sejumlah buku dan 2 naskah al-Quran serta longgokan harta. Ketika sedang memeriksa keadaan dalam rumah tersebut, tiba-tiba Sultan terpijak benda keras seperti kayu di bawah tikar, lantas Sultan pun menyelak tikar yang ada di dalam bilik rumah tersebut.

Subhanallah, sebaik sahaja tikar atau “carpet” diselak maka dijumpai sebuah terowong panjang yang laluannya menuju ke Maqam Nabi dan sudah semakin hampir dengan jasad Nabi. Setelah bukti ditemui, maka mereka mengaku telah ditugaskan oleh Raja Nasrani di Eropah untuk mencuri jasad Nabi bagi tujuan memalukan Nabi dan umat Islam. Pada keesukkan harinya, kedua orang Nasrani itu telah dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan.

Kemudian, Sultan mengarahkan agar di sekeliling Maqam Nabi itu digali parit dan diisi dengan timah bagi menghalang sebarang usaha untuk mencuri jasad Nabi. Dan dipercayai semenjak itu, Masjid Nabawi telah ditutup selepas selesai solat Isya’ dan dibuka semula kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Subuh atau ketika Azan yang pertama sebelum Subuh.

Tetapi kini Masjid Nabawi tidak lagi ditutup seperti dahulu. Jika saya tidak silap, Masjid Nabawi telah tidak ditutup semenjak 5 tahun yang lepas. Memang kita akan dapati pintu-pintu Masjid Nabawi ditutup menjelang tengah malam. Ini bagi mengelakkan jemaah ambil kesempatan menjadikan Masjid Nabawi sebagai tempat tidur mereka. Cuma satu pintu sahaja yang dibuka untuk masuk Masjid Nabawi selepas tengah malam iaitu di Babul Salam, yang lokasinya ialah di pintu sebelah kanan bangunan hadapan sekali.