Assalamualaikum wbt.

Kota Makkah dan Madinah sememangnya 2 kota suci untuk umat Islam. Kerana itu ianya juga dipanggil Tanah Haram. Bermaksud diharamkan untuk kita berbuat maksiat apatah sehingga berbunuh-bunuhan. Masing-masing datang ke Tanah Haram dengan tekad untuk bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa yang telah lalu. Ada juga yang datang kerana kerinduan yang amat sangat dengan Tanah Haram. Tiada tempat di dunia ini yang kita dapat rasa suasana tenang, damai, selamat, bahagia dan pelbagai perasaan indah kecuali di 2 tempat ini iaitu Makkah dan Madinah.

Mungkin tidak pernah tergambar di fikiran kita bahawasanya masih ramai lagi Puak Abu Jahal di Makkah dan Madinah. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menakutkan jemaah terutama bagi yang pertama kali mahu ke sana, Bukan juga bertujuan mengaibkan sesiapa dan bukan pula nak menunjukkan yang kita ni baik sangat. Ianya sebagai langkah awasan sebelum kita menjadi mangsa atau supaya kita lebih berhati-hati.

Dalam kita menumpukan perhatian kita untuk menambah amal ibadah kita di sana, kita langsung tidak pernah membayangkan untuk melakukan sebarang aktiviti munkar baik di Madinah ataupun Makkah. Mohon dijauhkan dari segala perilaku yang tidak baik. Tetapi peliknya di 2 Kota Suci Makkah dan Madinah ini, ada individu yang pada satu masa beribadah dan memohon ampun kepada Allah tetapi dalam masa yang lain tergamak untuk berbuat kemungkaran atau perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Tambah sedih apabila perbuatan itu sememangnya menganiaya jemaah lain dan ada ketikanya seolah-olah mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Dan biasanya jemaah yang menjadi mangsa kerana mereka tidak tahu.

Penipuan di Tanah Suci

Sebelum ini saya pernah ceritakan kisah dalam Masjid Nabawi mengenai segelintir jemaah (bukan jemaah Malaysia) yang kerjanya menipu jemaah dengan mendakwa ia kehilangan duit dan menghadapi masalah untuk ke Makkah bersama keluarganya. Pertama kali memang saya percaya, tetapi apabila sudah banyak kali kes yang sama (cuma pelakunya sahaja yang berbeza) maka saya anggap ianya memang satu penipuan.

hotel di madinahHotel-hotel di Madinah

Kisah penipuan ini tidak hanya berlaku semasa kita ikhtikaf dalam Masjid Nabawi. Kini golongan ini (adakalanya membawa isteri bersama) sudah berani menunggu mangsa mereka di kawasan luar bangunan Hotel Penginapan Jemaah Malaysia. Mereka cuba meraih simpati dengan mimik muka yang sedih menegur Jemaah Malaysia (kerana mereka tahu kita boleh berbahasa Inggeris) dan bercerita mengenai nasib malang yang menimpa mereka. Pernah juga yang meminta duit ini ialah seorang Perempuan sambil membawa anak kecilnya dan menyapa kita dalam bahasa Inggeris. Dan mereka sememangnya memilih mangsa mereka iaitu jemaah Malaysia terkenal berakhlak baik pada pandangan jemaah negara lain.

Kisah penipuan wang hilang ini juga berlaku di Kota Makkah. Tidak tergambar di fikiran saya ketika sedang bersaie, tiba-tiba saya ditegur oleh seorang Jemaah yang sama-sama berpakaian Ihram seperti saya. Jemaah ini berasal dari India. Dia menyatakan ibunya kena cancer dan dia pula hilang duit dan menghadapi masalah untuk balik ke negara asal mereka. Saya katakan kepadanya cerita wang hilang ini sudah acap kali saya dengar hanya orangnya sahaja yang berbeza. Saya tidak pasti samada Jemaah India ini sedang bersaie Umrah ataupun hanya berpura-pura bersaie dan cuba mengambil kesempatan atas kebaikan jemaah.

haram2Saie Safa menuju Marwah

Sebelum itu di kawasan Saie juga, ada seorang Jemaah Arab berpakaian Ihram juga (katanya dari Abu Dhabi) menegur saya dengan menunjukkan beg sandangnya yang telah bocor akibat ditoreh dengan objek tajam. Habis hilang segala isi dalam beg sandang beliau dan meminta sumbangan wang dari saya. Atas rasa simpati dan percaya maka saya tiada masalah untuk memberi. Bimbang juga sekiranya Allah murka pada kita kerana tidak membantu orang yang dalam kesusahan.

Ada juga jemaah katanya dari Kashmir datang berjumpa saya semasa sedang ikhtikaf di Masjidil Haram bercerita  kepada saya menyatakan dia mahukan duit kerana hidup miskin. Beliau tidak merayu cuma menyatakan ” I dont have any money”. Puas saya renung air mukanya. Saya rasa beliau jujur kerana berterus terang dan tidak mereka-reka cerita yang bukan-bukan.

Kehilangan Barang Berharga

Masalah kehilangan barang berharga seperti duit atau kasut di Masjid berlaku di kebanyakkan tempat tanpa mengira kawasan. Cuma apabila hilang di Masjidil Haram mungkin kita rasa pelik. Tergamaknya mereka mencuri di Tanah Haram, malah di depan Kaabah Rumah Allah ? Jangan terkejut jika saya katakan semasa kita berasak-asak sedang tawaf, ada juga jemaah yang mengambil kesempatan untuk mencuri duit jemaah. Dan saya pernah melihat seorang jemaah ditangkap oleh Polis di Dataran Kaabah (mungkin kerana mencuri). Apa lah agaknya nasib jemaah berkenaan seterusnya.

rak4Jemaah biasa hilang kasut di Rak kasut sebegini

Semasa berada di Makkah suatu ketika dahulu, ada jemaah Ajwa yang memberitahu saya bahawa beliau melihat seorang jemaah yang mengambil uncang kasut jemaah lain manakala kasutnya ditinggalkan di rak kasut yang berkenaan. Boleh jadi kerana jemaah berkenaan berminat dengan Uncang Kasut yang nampak cantik agaknya.

Kunjungan saya kali ini hal yang sama terjadi kepada saya pula. Hari Pertama di Makkah, sebelum memulakan Tawaf Umrah saya meletakkan Uncang Kasut yang berisi Sandal di bahagian bawah Rak No.10 dalam laluan Pintu Masuk King Abdul Aziz. Sebaik usai Umrah semasa mahu mengambil Sandal saya di Rak no.10 saya dapati Uncang Kasut Ajwa sudah tiada di tempatnya. Maka teringat saya kisah jemaah Ajwa di atas. Tetapi kini yang hilang bukan setakat Uncang Kasut Ajwa tetapi dengan Sandalnya sekali. Saya cuma mampu tersenyum sahaja. Berapa sangatlah nilai Sandal tu, jika dibanding dengan harga dosa yang ia tanggung.

Dan selepas itu saya ke Masjidil Haram dengan memakai Kasut Kasual dan karung Plastik boleh diperolehi di dalam Masjid. Kemana-mana saya di dalam Masjid Karung Plastik dan Kasut tetap bersama saya. Lama kelamaan saya merasa tidak selesa kerana ketika Solat Karung Plastik berisi Kasut tadi diletakkan di depan tempat sujud saya. Akhirnya Kasut saya selepas itu saya letakkan di kawasan Rak (seperti gambar di bawah)

rak2Setiap kali masuk Masjid, saya letakkan Kasut saya di Rak Kasut yang berada di luar Pintu Masuk Masjid. Selesa sikit masuk Masjid lenggang sahaja. Tetapi saya pelik kerana melihat di tempat Rak Kasut tersebut tidak banyak kasut yang diletakkan di situ. Sebaliknya banyak pula Kasut dan Selipar yang bersepah di lantai yang tidak bertuan. (mungkin pemilik kasut pun tidak sedar)

Sehari sebelum meninggalkan Makkah, giliran Kasut saya pula hilang di Rak Kasut di atas. Rupa-rupanya ramai lagi jemaah seperti saya yang kehilangan kasut mereka di Rak yang berkenaan. Akhirnya kesimpulan yang boleh saya buat ialah jika tak mahu kasut hilang, masuk Masjid tu bawa kasut bersama. Memang ada jenis manusia yang tergamak melakukan kerja sebegini. Berapa sangat untung dunia yang ia dapat jika dibanding dengan azab siksa di Akhirat Kelak.

rak1Rupanya ramai jemaah yang kehilangan kasut mereka di sini

Balik dari Umrah saya sembang dengan rakan yang sama-sama ke Tanah Suci. Rakan saya beritahu yang dia pun hilang kasut juga di Rak yang berkenaan. Oleh kerana rakan saya ni seorang wanita, maka kehilangan kasut yang ia sayang sememangnya menggeramkan. Lama dia berdiri di kawasan tersebut memerhati keadaan sekeliling kot-kot boleh jumpa kasut kesayangannya. Yang memeranjatkan beliau ialah dia melihat sendiri seorang jemaah lelaki dengan selamba aje ambil Kasut milik jemaah lain yang tak sampai beberapa saat meletakkan Kasutnya di Rak yang berkenaan. Rupa-rupanya memang ada Si Pencuri Kasut.

Walaupun kasut atau sandal bukanlah mahal harganya, tetapi kehilangannya memang menyusahkan jemaah. Sebenarnya saya bukan kisah sangat tentang hilang kasut ni. Tetapi sekadar memberitahu kepada bakal jemaah Umrah supaya masalah ini tidak dihadapi oleh mereka. Bagi jemaah yang pertama kali pergi, memang kasihan kerana terpaksa berjalan pulang dengan berkaki ayam. Hotel pulak jauh. Nak ambil kasut/sandal yang bukan miliknya memang tak berani walaupun kita tahu banyak kasut/sandal yang tidak bertuan seperti gambar di atas. Kasihan.

hajar aswad

Kisah Cium Hajar Aswad

Sememangnya setiap jemaah pasti teruja untuk mencium Hajar Aswad. Tambah pula jika tiba-tiba ada orang yang sedia menawarkan diri untuk membantu kita mencium Hajar Aswad. Tetapi AWAS, pertolongan itu bukannya percuma. Sudah ramai jemaah yang menjadi mangsa. Memang ada sekumpulan jemaah Indonesia (biasanya 5 hingga 6 orang) yang kerjanya cari makan dengan cara sebegini.

Selepas usai jemaah dapat mencium Hajar Aswad, mereka akan meminta wang upah atas khidmat mereka. Dan biasanya bayaran yang diminta SR200 ke atas dan ada yang sampai SR1000. Zalim sungguh. Jika kita tak mahu bayar maka akan berlaku pertengkaran dan oleh kerana bilangan mereka ramai, maka ramai jemaah yang terpaksa akur dengan membayar jumlah yang diminta. Biasanya kegiatan ini dilakukan selepas usai Solat Asar.
Saya juga pernah disapa oleh kumpulan ini. Lihat kepada susuk tubuh mereka kecil sahaja. Bila saya tanya “Percuma atau kena bayar” ?, mereka mula menjauhkan diri dari saya. Mungkin mereka perasan bahawa mereka tidak boleh menipu saya, maka mereka cari mangsa seterusnya.

Sebenarnya kisah yang diceritakan ini hanyalah sebagai iktibar semuga bakal-bakal jemaah Umrah apabila berhadapan dengan situasi tersebut boleh bersedia untuk menghadapinya atau mengelakkan diri dari jadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Jangan sampai hilang minat pula untuk ke Tanah Suci. Di mana-mana pun sama, ada orang baik dan ada yang jahat, walaupun di Tanah Haram.

Sekian coretan buat kali ini. Jumpa lagi dan Wassalam.