Assalamualaikum wbt. dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadhan.

Seperti tahun-tahun lepas, jumlah jemaah yang melaksanakan Solat Terawih di masjid mahupun surau semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Masing-masing sibuk dengan persiapan menyambut Hari Raya yang bakal menjelang sehingga melupakan kelebihan yang Allah tawarkan di bulan Ramadhan. Berbeza dengan masyarakat Arab yang bersungguh-sungguh menambahkan amal ibadah mereka terutama untuk malam-malam 10 yang akhir di bulan Ramadhan ini. Kerana apa ? Kerana mereka berharap dapat bertemu dengan Malam al-Qadar itu ?

lailatulqadar1

Rasanya semua orang tahu bahawa Lailatul Qadar ialah malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Tetapi tahukah kita kisah sebenar di sebalik anugerah Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. ?

Kisah munculnya anugerah Malam al-Qadar berpunca dari secebis kisah yang diceritakan oleh Nabi s.a.w mengenai kehebatan seorang Pemuda Bani Israel yang mempunyai kekuatan luar biasa dan kerjanya ialah memerangi musuh-musuh Allah. Hebatnya beliau sehingga beliau tidak pernah kalah apabila bertempur dengan orang-orang kafir walaupun bilangannya ramai.

Siapakah Pemuda Bani Israel itu ?

Mengikut riwayat, nama lelaki tersebut ialah Syam’un dan dalam versi Inggeris popular dengan nama “Samson delilah”. Oleh kerana kehebatan beliau memerangi musuh-musuh Allah, maka orang-orang kafir berusaha mencari jalan untuk membunuh Syam’un. Lalu isteri Syam’un sendiri diberi upah yang lumayan untuk menjalankan tipu daya dengan matlamat membunuh Syamun.

Maka pada satu malam ketika Syam’un sedang tidur, isterinya telah mengikat suaminya dengan tali dengan harapan mudah untuk orang-orang kafir membunuhnya. Namun ketika Syam’un terjaga dari tidur, beliau lantas menggerakkan badannya dan semua tali yang mengikat tangan dan kakinya telah terputus dengan mudah.

Lalu Syam’un bertanya kepada isterinya mengapa dia diperlakukan sedemikian rupa. Lalu jawab isterinya ” aku hanya ingin menguji kekuatanmu sahaja.” Orang-orang kafir masih tidak berputus asa. Lalu diberi rantai besi pula kepada isterinya untuk mengikat Syam’un ketika sedang tidur. Dan ketika Syam’un tidur, sekali lagi isterinya mengikat Syam’un dengan rantai besi yang diberi oleh orang-orang kafir. Namun sekali lagi dengan mudah Syam’un memutuskan rantai besi yang mengikat kedua-dua tangan dan kakinya. Dan apabila ditanya, sekali lagi isterinya memberi jawapan yang sama.

Lalu Iblis menyamar sebagi manusia dan mendatangi orang-orang kafir itu dan memberi cadangan kepada isteri Syam’un agar bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu mengikat dan melemahkannya. Dan apabila ditanya oleh isterinya apakah benda yang melemahkannya, lalu dijawab dengan jujur oleh Syam’un, ” Yang mampu melemahkannya ialah sekiranya ia dikat dengan menggunakan rambutnya sendiri.”

Sekali lagi ketika Syam’un sedang tidur, rambutnya yang panjang itu telah dipotong lalu dijadikan tali untuk mengikat kedua kaki dan tangannya oleh isterinya sendiri. Memang benar, sebaik sahaja Syam’un terjaga beliau tidak dapat melepaskan ikatan di kaki dan tangannya dan badannya juga beransur-ansur lemah. Kesempatan ini telah diguna dengan sebaik mungkin oleh orang-orang kafir untuk membawa Syam’un ke tempat penyeksaan. Syam’un telah disiksa dengan begitu kejam sekali sehinggakan kedua-dua telinga dan juga bibirnya telah dipotong oleh orang-orang kafir.

Ketika saat Syam’un berkeadaan lemah akibat siksaan yang sungguh dasyhat, Syam’un telah berdoa kepada Allah s.w.t agar dikembalikan semula kekuatannya untuk melawan musuh-musuh Allah yang telah menyiksanya. Allah memakbulkan doa beliau lantas ikatan pada tubuhnya dengan mudah dilepaskan oleh Syam’un. Kemudian Syam’un telah membunuh kesemua orang-orang kafir yang telah melakukan penyiksaan terhadap dirinya. Dan selepas itu Allah telah memanjangkan umur Syam’un hingga 1000 bulan lagi, atas permintaan Syam’un untuk berjuang menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.

Apabila kisah ini selesai diceritakan oleh Nabi kepada para sahabat, maka menangis para sahabat kerana mengenangkan betapa bertuahnya Syam’un kerana dapat berbakti kepada Allah dalam tempoh yang sangat panjang. Sedangkan para sahabat membandingkan dengan diri mereka yang baru memeluk agama Islam dan sangat kurang baktinya kepada agama Allah. Tambahan pula umur umat Nabi Muhammad tidaklah panjang jika di banding dengan umat-umat terdahulu.

Ketika itulah turun ayat al-Quran Surah al-Qadar yang bermaksud ; ” Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran ini pada Malam Lailatul Qadar, dan tahukah kamu apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu ? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

shalat-malam

Turunnya Surah Al-Qadar adalah hadiah dari Allah bagi memberi berita gembira kepada umat Nabi Muhammad s.a.w supaya berusaha mendapatkan Malam yang jika beramal di dalamnya, ganjaran pahalanya lebih baik dari 1000 bulan. Marilah sama-sama kita tingkatkan amal ibadah kita pada malam-malam 10 yang akhir ini. Semoga Akaun Akhirat kita semakin bertambah berlipat kali ganda di bulan yang mulia ini.

Jumpa lagi dan selamat beramal. Wassalam.