Assalamualaikum wbt.

Apabila seseorang berangkat ke tanah suci mengerjakan ibadah Haji atau umrah, dia dianggap sebagai Tetamu Allah. Sebagai Tetamu Allah sewajarnya dia berakhlak mulia dan mendisplinkan dirinya dengan peraturan yang ditetapkan oleh Agama dan Pemerintah. Ibadah Haji ialah ibadah paling agung dan merupakan manifestasi puncak ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Untuk melaksanakan ibadah Haji bukanlah mudah. Ia menuntut perbelanjaan yang banyak, perjalanan yang jauh, menggunakan tenaga yang berlebihan dan masa yang panjang. Dengan kata lain, seseorang yang menunaikan Haji pasti akan menanggung beberapa kesulitan dan kesusahan.

Bukan niat saya untuk menakutkan jemaah dengan tajuk diatas. Cuma saya mahu jemaah mengetahui perkara-perkara yang biasa terjadi dalam musim Haji dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Seorang jemaah Haji perlu bersedia fizikal dan mental untuk menempuh segala macam kesulitan dan kesusahan semasa di tanah suci. Saya selalu berpesan kepada jemaah sebelum berangkat “telan pil sabar banyak-banyak”. Sungguhpun secara berseloroh tetapi hakikatnya jemaah mesti bersedia untuk set dalam minda supaya banyak bersabar dalam menempuh segala kepayahan. Satu hakikat yang perlu jemaah sedar, ” menunaikan ibadah haji, tiada yang mudah “. Walaupun ia jemaah VVIP sekalipun akan tetap juga menanggung kesulitan dan kepayahan.

Kesulitan semasa tiba di Airport Madinah atau Jeddah

Menunggu di Terminal Haji

Sebaik sahaja turun dari kapalterbang, jemaah akan berbaris lama dan panjang di Kaunter Imigresen. Jika mendarat di Madinah mungkin keadaannya tidak seteruk di Jeddah. Tempoh untuk melepasi Kaunter Imigresen dan dapat keluar dari bangunan Terminal biasanya lebih dari 2 hingga 3 jam.  Malah biasa berlaku di Terminal Haji di Jeddah, jemaah hanya dapat keluar selepas 8 jam turun dari flight. Bayangkan betapa letih dan laparnya jemaah. Kenapa berlaku sedemikian ? Bayangkan pada musim haji, setiap hari sentiasa ada sahaja pesawat dari mana-mana negara di dunia ini yang mendarat di airport Jeddah atau Madinah membawa rombongan Jemaah Haji negara masing-masing.

Untuk pengetahuan dalam bangunan Terminal sebelum melepasi Imigresen, tiada kedai makan. Kedai makan hanya ada di luar. Sebaiknya jemaah bersedia membawa bekalan makanan seperti roti dalam beg “hand carry” sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terlalu lama di bangunan Terminal.

Perjalanan bas yang terlalu lama

Bagi yang mengambil Penerbangan Awal, sebaik keluar dari bangunan Terminal Haji di Jeddah, jemaah akan dibawa menuju ke Madinah. Kebiasaannya dalam musim Umrah perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa 6 jam, tetapi semasa musim haji pasti lebih dari 6 jam. Pernah juga berlaku lebih dari 12 jam.  Di dalam perjalanan, jemaah akan menempuh beberapa “check point” sebelum sampai di Madinah. Perjalanan yang terlalu lama pasti memenatkan dan menyukarkan jemaah. Tambah lagi jika jemaah yang selalu asyik membuang air kecil atau besar.

Ini belum ditambah lagi dengan kerenah sesetengah Pemandu Bas yang sengaja menimbulkan masalah. Sengaja bas dipandu perlahan dan ada yang di”off”kan aircond.  Apabila diberi “baxis” (hadiah wang tunai) selepas diminta oleh Pemandu Bas, barulah bas berjalan lancar.  Kepada jemaah haji, sekiranya mengalami masalah Pemandu Bas yang asyik meminta “baxis”,  perkara ini boleh diadukan kepada Pegawai Tabung Haji yang menyambut ketibaan jemaah di Madinah atau Makkah dan ianya akan serta merta dikenakan tindakan tata tertib oleh pihak Kementerian Haji Arab Saudi. Untuk makluman,  pihak Kementerian Haji Arab Saudi sentiasa perihatin dengan kebajikan jemaah haji.

Kesulitan di Hotel Penginapan Madinah

Sebaik tiba di Madinah, biasanya jemaah haji Muasasah akan ditempatkan di bangunan Hotel Haram atau Madinah Movenpick. Dianggarkan seramai 3000 hingga 5000 jemaah ditempatkan dalam bangunan hotel berkenaan dalam suatu masa. Masalah bersesak-sesak dan berebut-rebut untuk menaiki lif tidak boleh dielakkan. Jemaah perlu banyakkan bersabar dan bertolak ansur terutama kepada jemaah yang tua dan uzur. Bagi jemaah yang sihat dan menginap di tingkat yang agak bawah seperti Tingkat 1, 2 dan 3 boleh bertolak ansur dengan menaiki atau menuruni tangga bagi memberi peluang kepada jemaah yang menginap di tingkat yang lebih tinggi. Ingatlah, apabila jemaah berniat untuk memudahkan orang lain, pasti Allah akan memberi kemudahan semasa beribadah nanti. Yakin dan percayalah.

Jemaah Haji harus peka dengan keadaan sekeliling. Jika ada jemaah yang berusia dan uzur bantulah mereka untuk sama-sama beribadah ke Masjid. Biasanya jemaah yang tua ini kurang arif dengan selok belok jalan ulangalik ke masjid. Biasa berlaku jemaah tua yang sesat dan tidak pulang ke bilik hotel melebihi 24 jam. Kesian jika ianya berlaku kepada ayah atau ibu kita. Membantu jemaah yang uzur untuk beribadah ke masjid amat besar pahalanya. Tetapi ada jemaah yang merungut dengan mengatakan kepada rakan jemaah yang lain  ” Leceh betul la! aku datang sini untuk beribadah tapi ditakdirkan terpaksa menjaga jemaah sebilik yang tua dan uzur.” Hakikatnya Allah ingin memberi ia pahala percuma, sayang dia tidak ketahui.

Jumpa lagi InsyaAllah. Wassalam.