Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Hari ke-6 Kembara Balkan diteruskan lagi. Suhu pagi ketika meninggalkan Sarajevo sekitar 1 celcius. Perjalanan meninggalkan Sarajevo menuju ke Travnik memperlihatkan suasana perkampungan penduduk yang sunyi sepi. Tidak kelihatan penduduk yang keluar dari rumah mereka. Suhu yang sejuk menyebabkan penduduk setempat duduk diam dalam rumah agaknya. Jelas kelihatan asap keluar dari corong atas rumah-rumah penduduk menandakan penghuni rumah membakar kayu untuk memanaskan suasana dalam rumah.

Menziarahi Travnik

Kami tiba di Travnik ketika waktu masih pagi dan suhu di Travnik lebih sejuk dari Sarajevo. Sebaik turun dari bas kami berjalan kaki memasuki kawasan perkampungan penduduk yang agak sepi juga. Namun ada juga kelihatan beberapa penduduk yang berjalan kaki.

Kota lama Travnik ini secara geografi terletak di tengah Bosnia Herzegovina dan pernah menjadi ibu negeri bagi Bosnia suatu ketika dahulu. Kami dimaklumkan oleh Tour Guide, Travnik pernah dikuasai oleh Empayar Uthmaniyah suatu ketika dahulu dan kesannya majoriti penduduk Travnik beragama Islam. Saya lihat beberapa buah masjid yang kubahnya mirip kubah masjid di Turki tersergam indah di kawasan Travnik ini.

Kami dimaklumkan oleh Tour Guide, di Travnik ada banyak kegiatan keagamaan dijalankan seperti di Madrasah Ibrahim Pasha yang kami lawati. Ketika mula sampai di sini, kami tidak masuk ke dalam kerana dikabarkan ada berlangsung Seminar Keagamaan. Dan semasa mahu meninggalkan tempat ini (selepas usai Solat Jamak Takdim), saya lihat ramai orang lelaki (seperti orang Turki) yang keluar dari bangunan madrasah ini.

Kubu Stari Grad

Kunjungan ke Travnik tidak lengkap tanpa menziarahi Kubu Stari Grad. Kedudukan Stari Grad yang terletak di atas bukit membuatkan kami sedikit mengeluh. Tetapi alang-alang dah sampai, kami redah aje la dengan mendaki bukit yang agak tinggi juga. Saya anggarkan kami mendaki bukit sekitar 250 meter untuk sampai. Sungguhpun cuaca sememangnya sejuk, tetapi berjalan kaki mendaki bukit menyebabkan badan terasa berpeluh juga.

Rupanya tempat ini ada penjaganya. Kami terpaksa menunggu beberapa minit sebelum Penjaga datang untuk membuka kunci pintu.

Di dalam Kubu ini juga ada muzium kecil yang menyimpan khazanah silam mengenai budaya masyarakat setempat pada masa dahulu. Oleh kerana tulisan yang dipamir berbahasa Bosnia, maka kami tidak memahaminya.

Pemandangan Kota Travnik dilihat dari atas bukit di Stari Grad ni sememangnya cantik. Sempat saya mengambil beberapa gambar yang boleh dikongsi dalam blog ni.

Selesai lawatan di Kubu Stad Grad ketika waktu sudah tengahari. Kami menuruni bukit ini menuju ke Restoran tempatan yang terletak bersebelahan dengan aliran sungai. Kami makan tengahari di tingkat atas Restoran Plava Voda. Sama seperti restoran lain di Bosnia, sungguhpun makanan yang dihidangkan Halal akan tetapi minuman keras tetap juga dijual di dalamnya. Alasannya untuk memberi peluang kepada pengunjung bukan Muslim memasuki restoran yang berkenaan.

Solat Jamak di Travnik

Selesai makan tengahari, kami ambil keputusan untuk menyempurnakan Solat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Ketika memasuki Masjid di kawasan ini, kami dapati penduduk setempat sedang melakukan solat Zuhur. Tapi sayang ketika mahu mengambil wuduk, paip air yang dibuka tidak mengeluarkan air. Rupanya air tiada. Alasannya air paip terlalu sejuk dan mustahil untuk penduduk setempat menggunakannya. Mujur salah seorang jemaah Masjid ini memberi izin untuk kami mengambil wuduk di rumahnya. Lega kerana air di rumahnya sedikit hangat dan tidak terlalu sejuk. Selepas berwuduk, kami Solat Jamak Takdim secara berjemaah di masjid tadi.

Selesai menyempurnakan Solat Jama’ Taqdim, kami pun terus menaiki bas meneruskan perjalanan selanjutnya menuju ke Jajce iaitu satu kawasan pelancungan di Bosnia. Tour Guide menyatakan di Jajce ada air terjun yang cantik dan sering dikunjungi oleh pelancung.

Cukup sampai di sini dulu…akan datang cerita mengenai keindahan air terjun di Jajce pula insyaAllah..