Assalamualaikum dan bertemu kembali.

Mostar ialah ibu kota bagi Herzegovina. Ketika kami sampai di Mostar, bandar ini kelihatan sunyi dan tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di jalan-jalan raya. Kami menginap di Hotel Bristol yang lokasinya betul-betul bersebelahan dengan sungai.

Subuh di Mostar

Semasa menginap di Hotel Bristol, kami lihat ada masjid di tengah bandar. Maka kami seramai 4 sahabat (rakan sebilik Hj Aziz dari Hijrah Sufi Travel, Hj Bahazain Tasnim Travel dan Hj Hazman Sukajaya Travel) mengambil keputusan untuk Solat Subuh berjemaah di Masjid yang berhampiran dengan Hotel penginapan.

Ketika keluar dari Hotel Bristol, kami dapati suasana bandar Mostar sunyi sepi dan tiada pergerakan kenderaan atau orang berjalan kaki. Kami telah berjalan kaki menuju ke 3 buah Masjid yang kami jumpai di kota Mostar ini dan kesemuanya tutup. Boleh dikatakan seperti tiada kehidupan di kota Mostar pada waktu awal pagi sebegini. Sunyi sesunyinya.

Akhirnya kami pulang semula ke Hotel dan Solat Subuh Berjemaah di bilik.

City Tour Mostar

Seperti dijadualkan, “city tour Mostar” dimulakan pada jam 8 pagi selepas sarapan. Sebaik bas yang kami naiki parkir di satu kawasan di tengah bandar, Adolf telah memperkenalkan seorang Tour Guide tempatan yang bernama Nino. Semasa Perang Balkan di Mostar berlaku, umur beliau baru 15 tahun dan beliau antara saksi Perang yang masih hidup.

Ketika berjalan kaki bersama ahli rombongan yang lain di bandar Mostar, saya cuba membayangkan peristiwa zaman Perang Balkan. Penduduk setempat yang keluar rumah untuk mencari bekalan makanan akan ditembak oleh Sniper dari jarak yang jauh. Mr Nino menunjukkan kepada kami bekas kesan tembakan oleh sniper dan serangan peluru Mortar yang meruntuhkan bangunan. Terasa mengerikan hidup di zaman itu ketika mengetahui sukarnya mendapatkan bekalan air dan makanan.


Kota Lama Mostar

Memasuki Kota Lama Mostar membuatkan saya terasa seperti berada di suatu zaman silam. Saya dapati seolah-olah kumpulan kami sahaja yang berada di kawasan tersebut. Ternyata suhu yang sejuk menyebabkan Kota Lama ini kurang dikunjungi pelancung.

Kumpulan kami melewati kedai-kedai di sepanjang laluan Kota Lama Mostar yang sunyi sepi dari pengunjung sambil sesekali kami disapa oleh tuan punya kedai yang menjual barangan.

Menurut Nino, Kota Mostar mempunyai keunikan sejarahnya yang tersendiri. Kebanyakkan bangunan-bangunan di Kota Lama Mostar mempunyai rekabentuk bangunan era zaman Empayar Othmaniyah yang pernah menguasai Mostar semenjak kurun ke 16.

 

Jambatan Lama atau “Stari Most”

Jambatan Kota Mostar atau dikenali “Stari Most” dalam bahasa Bosnia menjadi mercu tanda Bandar Mostar. Ianya dibina merentasi Sungai Neretva yang menjadi penghubung Kota Mostar. Selama lebih 4 abad Jambatan ini berdiri megah ianya telah runtuh dan musnah dibedil mortar oleh Tentera Croatia pada tahun 1993. Sehinggalah selepas Perang Balkan tamat, hasil dari usaha Unesco maka jambatan ini dibina semula mengikut corak dan acuan asal binaan Era Empayar Othmaniyah dengan mengambil bahan binaan asal jambatan yang dijumpai kembali di dasar Sungai Neretva.

Jambatan ini mempunyai binaan yang membukit sepanjang 30 meter dan lebar kira-kira 4 meter pada ketinggian 24 meter dari aras Sungai Neretva. Saya akui pemandangan jambatan ini sememangnya cantik dan unik ditambah dengan kejernihan air Sungai Neretva yang mengalir deras.

Kini Jambatan Mostar telah menjadi salah satu tarikan utama pelancung yang datang ke Bosnia Herzegovina. Menurut Nino, di jambatan ini pernah diadakan acara tradisi iaitu pertandingan terjun dari atas jambatan ke Sungai Neretva. Ianya merupakan satu terjunan yang berisiko tinggi kerana dasar sungai ini yang teramat sejuk sedang suhu badan manusia pula panas. Hanya penerjun yang pakar dan terlatih sahaja yang mampu menyahut cabaran ini.

Jambatan Mostar dan juga Kota Lama Mostar ini telah disenaraikan sebagai Kota Warisan Dunia oleh Unesco.

Meninggalkan Mostar.

Setelah hampir 3 jam kami berada di Kota Lama Mostar sambil membeli belah ole-ole dari Mostar, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke Sarajevo, ibu kota Bosnia pula. Jarak Mostar ke Sarajevo dianggarkan sejauh 150km.

bersambung cerita seterusnya……insyaAllah.