Assalamualaikum wbt….bertemu kembali

Hari ke 4 – Tahun Baru 2018 di Tirana

Memasuki tahun baru di negara asing tanpa isteri di sisi kekadang membuat hati jadi sayu. Pagi2 mood rasa macam tak seronok. Semasa sarapan pagi hanya roti dan telor aje yang berani disentuh kerana bimbang menu yang dihidangkan tidak halal. Menginap di negara asing yang majoriti penduduknya bukan Islam memang membuatkan kita lebih prihatin tentang makanan. Asal perut dapat dialas dengan menu simple yang halal bagi mengelakkan dari lapar sudah dikira cukup baik. Tak da mimpi nak makan nasi lemak atau roti canai pagi-pagi ni…sedar ni bukan Malaysia….

Selesai bersarapan pagi kami terus “check out” Hotel dan memasukkan bagasi masing-masing ke perut bas. Kami tidak terus meninggalkan bandar Tirana kerana dibawa berjalan kaki melawat tempat-tempat tumpuan utama seperti “Tirana Clock Tower”, “National Museum dan dataran Mother Theresa.

Seperti bandar Skopye yang sepi, di Tirana juga serupa. Amat sunyi dan tidak ramai kelihatan penduduknya keluar. Boleh jadi kerana malam tadi masyarakat di sini berpesta menyambut Tahun Baru dan semestinya sedang Cuti Umum Tahun Baru. Sememangnya tidak ada kedai-kedai yang buka, kecuali sebuah Kedai yang menjual Cenderamata, itu pun setelah dihubungi awal oleh Tour Guide kami Adolf meminta supaya Kedai dibuka bagi memberi peluang ahli rombongan kami membeli sedikit ole-ole dari Tirana.

Kami dibawa melawat satu-satunya masjid yang tidak disentuh semasa era komunis dahulu. Melihat kepada kubah Masjid ada gaya rekabentuk masjid-masjid di Turki, kesan pengaruh Empayar Ottaman pernah sampai ke sini.

Sempat juga kami ambil gambar kenangan bersama ahli rombongan yang lain.

Selesai acara “city tour” di Tirana, kami semua menaiki bas meneruskan perjalanan menuju Kotor.

Merentas Montenegro

Jarak bandar Tirana menuju Kotor iaitu sebuah bandar kecil dalam jajahan Montenegro dianggarkan sejauh 200km. Montenegro yang bermaksud “gunung hitam” sememangnya memperlihatkan alam semulajadi banjaran gunung yang berwarna hitam dari kejauhan.

Disebabkan keadaan laluan jalan raya yang berbukit dan bengkang bengkuk macam ular dipalu kerana melalui kawasan banjaran gunung benar-benar melambatkan masa perjalanan. Macam tak sabar nak tiba di Kotor. Bandar ini tidaklah kotor seperti namanya, cuma dalam bahasa kita aje Kotor bermaksud tidak bersih.

Kami dimaklumkan oleh Tour Guide, Montenegro amat terkenal dan diminati oleh ramai Selebriti Hollywood sehingga dikabar ada artis Hollywood yang membeli rumah di kawasan pulau di sini.

Ketika kami sampai di kawasan ini, hari sudah menjelang petang dan cuaca juga agak redup dan mendung. Saya fikir jika sampai waktu tengahari atau datang pada musim panas, pasti terserlah keindahan alam semulajadi kota Montenegro.

Tambah menarik pandangan apabila kami lalui di suatu kawasan di mana di sebelah kanan ialah banjaran gunung, manakala di sebelah kiri pula ialah pemandangan laut yang membiru dan kawasan penempatan masyarakat setempat.

Sayang sekali, kami sampai di bandar kecil Kotor ketika hari sudah menjelang senja. Dah masuk Maghrib. Jadi kami tidak dapat saksikan keindahan bandar Kotor di waktu siang seperti yang sering diceritakan orang yang pernah berkunjung ke sini.

Sampai di Kotor

Sesampai di Kotor, kami terus dibawa melawat Kota Lama Kotor iaitu sebuah kota purba yang dibina pada kurun ke 12 hingga kurun 14 Masihi. Kami diberi penerangan mengenai sejarah Kota Kotor oleh seorang Tour Guide tempatan, tak silap saya namanya Slavko, seorang lelaki berjambang yang juga fasih berbahasa English.

Kata Slavko sebahagian bangunan di Kota Lama Kotor ini ada yang pernah rosak dan runtuh kerana gempa bumi yang melanda kawasan ini suatu ketika dahulu, tetapi Kerajaan Tempatan telah mendirikannya semula mengikut gaya reka bentuk asal. Dan Kota Lama Kotor ini juga sudah dimasukkan dalam senarai Kota Warisan Dunia UNESCO.

Saya dapati banyak bangunan gereja yang dibina di kota Kotor ini, menunjukkan agama Kristian sudah bertapak lama. Boleh dikatakan di setiap blok bangunan lama di sini ada saja gereja yang dibina mengikut kurun tertentu.

Kami di Kota Kotor tak lama hanya sekitar 1 jam sahaja sebelum meneruskan perjalanan semula menuju ke Dubrovnik yang dianggarkan 100km dari bandar Kotor. Keadaan suhu cuaca yang sejuk ditambah dengan laluan jalan yang berbukit sememangnya memenatkan.

Menuju Dubrovnik

Tidak seperti kembara Eropah seperti London, Amsterdam dan lainnya yang tidak memerlukan Pasport dicop oleh Pegawai Imigresen, tetapi di negara-negara Balkan ini, kami terpaksa berhenti di setiap sempadan negara-negara Balkan yang berkenaan untuk dicop Pasport “check out” satu negara dan sekali lagi ketika “check in” sebuah negara jiran Balkan yang lain.

Bayangkan dalam satu hari kami merentas 3 negara iaitu dari Tirana (Albania), Kotor (Montenegro) dan seterusnya Dubrovnik yang terletak dalam wilayah Croatia. Dan di setiap sempadan sesebuah negara Pasport kami akan dicop sebanyak 2 kali iaitu keluar sekali dan masuk ke negara yang baru sekali lagi. Macam kita nak keluar ke Siam la, di Padang Besar cop keluar Malaysia sekali dan cop masuk Thailand sekali.

Yang kelakarnya ada juga kaunter imigresen 2 buah negara terletak dalam satu bumbung. Selepas cop imigresen keluar, kami jalan kaki beberapa langkah untuk cop imigresen masuk ke sebuah negara lagi. Mereka kongsi bil api agaknya…ha…ha…ha…

bersambung….pengalaman di Dubrovnik dan selanjutnya….