Assalamualaikum wbt dan bertemu lagi

Menuju Jajce

Perjalanan diteruskan menuju ke Jajce yang dianggarkan sejauh 70km dari Travnik. Sepanjang perjalanan, kami melalui kawasan pergunungan yang sudah dihujani salji. Jelas kelihatan di kiri dan kanan laluan kami kawasan sekitar yang memutih dipenuhi dengan salji.

Keadaan suhu yang semakin sejuk membuatkan kami mudah rasa mengantuk. Pemandangan di luar bas pula tidaklah secantik mana apabila semuanya putih sahaja. Saya akui inilah kali pertama saya melihat salji turun depan mata. Ada juga rakan yang seperti tak sabar nak minta bas berhenti supaya dapat dirasa salji yang sedang turun itu. Tetapi keadaan jalan raya yang sempit dan tiada ruang bas berhenti di bahu jalan menyebabkan perjalanan diteruskan jua.

Air Terjun Jajce

Perjalanan panjang menempuh laluan banjaran gunung yang bersalji sememangnya menyejukkan dan ramai di kalangan kami yang terasa nak buang air kecil. Mujur ketika sampai di Jajce ada kemudahan tandas untuk kami melepaskan hajat kecil. Akan tetapi sayang, bangunan tandas yang nampak cantik ini tidak dijaga kebersihannya. Kami terpaksa menutup hidung kerana bau yang amat tengik ketika memasuki tandas yang berkenaan.

Sebaik sampai di sini, kami berjalan kaki meninjau kawasan sekeliling yang sememangnya cantik terutama ketika kami sampai di kawasan air terjun.

Saya hanya melihat air terjun ini dari kejauhan sahaja, tetapi ada juga rakan-rakan yang turun ke bawah untuk melihat pemandangan air terjun dan kawasan bawah dengan lebih dekat lagi.

Tempat ini sememangnya menjadi tumpuan pelancung. Akan tetapi saya dapati bilangan pengunjung tidaklah terlalu ramai. Boleh jadi kerana ketika ini musim sejuk. Saya yakin ketika musim panas keadaan pasti berubah.

Saya pun tak lepaskan peluang untuk mengambil beberapa gambar kenangan di kawasan ini.

Suhu yang teramat sejuk membataskan pergerakan, tambahan pula kudrat sudah semakin berkurangan. Terasa betul Kembara Balkan ini memerlukan kekuatan fizikal kerana kita harus berjalan kaki yang agak jauh dan ada yang berbukit seperti di Travnik sebelum ini.

Sempat juga saya melawat beberapa bangunan rumah kediaman di kawasan ini yang mempunyai kesan bekas peluru tembakan semasa Perang Bosnia sebelum ini. Bekas bangunan rumah yang sudah tidak berpenghuni ini sengaja dibiarkan begitu sahaja sebagai bukti kawasan ini pernah diserang oleh pengganas Serbia.

Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam di Jajce dan kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Bihac pula yang dianggarkan sejauh 160km dari sini.

Sekali lagi kami melalui perjalanan panjang dengan pemandangan yang bersalji di kiri dan kanan laluan bas kami. Dan syukur alhamdulillah, hajat rakan-rakan yang mahu turun dari bas dan merasai sendiri pengalaman berjalan kaki di atas salji akhirnya kesampaian.

Saya sememangnya dah bersedia dengan kasut kulit dari awal Kembara Balkan ini untuk memijak salji. Saya dimaklumkan kasut sukan kanvas memang tak sesuai dipakai jika nak pijak salji kerana boleh basah dan ais tembus ke dalam kasut dan boleh memudaratkan kaki.

Alangkah gembiranya rakan-rakan turun dari bas untuk merasai sendiri salji yang belum pernah dilihat dan dirasa sebelum ini. Kami berhenti di kawasan ini tak lama, sekitar 20 minit sahaja kerana perjalanan masih jauh lagi menuju Bihac.

Kami sampai di Hotel Emporium di Bihac ketika sesudah waktu Maghrib. Di Bihac hanyalah tempat kami untuk menginap setelah menempuh perjalanan yang panjang. Dan keesukkan pagi kami harus “check out” Hotel dan meneruskan perjalanan Kembara Balkan yang sudah menghampiri ke penghujungnya.

Bertemu lagi, insyaAllah dengan cerita “Keindahan Taman Negara Plitvice” antara yang tercantik di dunia.