Assalamualaikum wbt dan selamat meneruskan pembacaan.

Selepas melepasi pemeriksaan Imigresen, bas terus menuju ke Hotel Penginapan di Dubrovnik (Croatia). Ketika sampai di hotel, hari sudah menjelang malam dan perut juga sudah lapar. Selesai proses “check in” dan masing-masing sudah mendapatkan Kad Kunci Bilik, kami terus Makan Malam di hotel berkenaan.

Sebaik memasuki Lobi Hotel Valamar Lacroma, kami merasakan seperti Trip kami telah dinaiktaraf. Walaupun Hotel ini bertaraf 4 bintang sama taraf bintang dengan Hotel sebelum ini, tetapi saya dapati hotel ini lebih “happening”. Lobi Hotel ini lebih luas dan Dewan Makan juga amat luas. Sajian makanan yang dihidangkan agak mewah dengan pelbagai jenis menu sehingga saya jadi bingung nak makan apa ! Tapi akhirnya nasi juga yang jadi pilihan. Dah memang lidah Melayu Jawa…ha..ha..ha…

Patutlah Hotel ini telah acapkali menerima Award Sijil Kecemerlangan atas Perkhidmatan yang diberikan. Saya sempat melihat Sijil Award dipamirkan di Lobi Hotel.

Hari 5 – Ziarah Kota Lama Dubrovnik

Selesai bersarapan pagi di Hotel, kami terus “check out” dan menaiki bas menuju tempat lawatan awal iaitu di Kota Lama Tembok Dubrovnik. Suhu pagi ketika itu memang sejuk sekitar 7 darjah Celcius, ditambah pula dengan cuaca selepas hujan. Jalan memasuki Kota Lama ini agak licin, mujur saya pakai kasut kulit yang tapaknya kesat khusus untuk kegunaan semasa Trip Balkan ini.

Sesampai di Kota Lama Dubrovnik, kami diperkenalkan dengan seorang Tour Guide Tempatan, seorang wanita yang bernama Anna. Sememangnya di sepanjang lokasi persinggahan Trip Balkan ini, boleh dikatakan kami akan diberi penerangan oleh Tour Guide Tempatan (negara yang berkenaan), hanya Adolf sahaja yang menemani perjalanan Trip Balkan ini dari awal hingga akhir.

Tidak dinafikan Tour Guide Tempatan lebih arif mengenai sejarah negaranya. Begitu juga dengan Anna, penerangan yang diberikan dapat memberi gambaran sedikit sebanyak mengenai sejarah dan asal usul tempat yang kami sedang lawati.

Kota Lama Dubrovnik yang dibina pada kurun ke7, kelihatan seperti Kubu Pertahanan dan juga bandar perdagangan yang terletak di Selatan Croatia.

Kawasan binaan Kota Lama Dubrovnik yang agak luas sehingga mencapai hampir 2000 meter panjang dan kedudukannya yang mengadap Laut Adriatik dilihat amat strategik dan memberi gambaran bahawasanya Kota Lama ini pernah menjadi pusat perdagangan terpenting suatu ketika dahulu.

Menurut  Anna, Kota Lama ini belum pernah dijajah. Kabarnya masyarakat setempat telah bersetuju mengumpulkan dana untuk digunakan sebagai bayaran  “ufti” kepada Kerajaan Empayar Othmaniyah bagi mengelakkan kota Dubrovnik ini diserang dan ditawan.

Kini Kota Lama Dubrovnik menjadi tumpuan pelancung terutama ketika musim panas. Kata Anna pada musim panas, jumlah pengunjung di Kota Lama Dubrovnik terlalu ramai dan padat sekali. Nak berjalan kaki di Kota Lama tidak sebebas seperti sekarang.  Tiba-tiba macam rasa bertuah kerana datang ke sini pada musim sejuk yang tak ramai orang dan tak perlu berasak-asak berjalan kaki di sekitar Kota Lama ini.

Melihat kepada deretan bot-bot yang banyak di sini memberi gambaran bahawasanya ada perkhidmatan yang membawa pengunjung atau pelancung ke laut lepas. Cuma kerana kehadiran kami pada awal pagi dan pada musim sejuk pula, maka bot-bot ini tidak beroperasi. Saya yakin kunjungan pada musim panas pasti bot-bot ini banyak digunakan untuk membawa pengunjung melihat keindahan alam semula jadi Dubrovnik.

Kota Lama ini juga telah dipilih sebagai satu lagi Kota Warisan di bawah UNESCO yang wajar dipelihara. .

Kami menghabiskan masa lawatan di sini sekitar 2 jam dan kemudian menaiki bas meneruskan perjalanan Kembara Balkan.

Dari Dubrovnik ke Mostar (Bosnia)

Jarak dari Dubrovnik ke Mostar dianggarkan sekitar 155km dan sekali lagi Pasport kami dicop sebaik keluar dari Croatia dan juga dicop sekali lagi pabila memasuki Bosnia. Mujur di Kaunter Imigresen tidak ramai orang, maka proses cop Pasport tidak mengambil masa yang lama.

Memasuki Bosnia

Kami masuk Bosnia ketika waktu sudah tengahari dan kami sempat singgah makan tengahari di sebuah Restoran Tempatan. Ketika itu sudah masuk waktu Zuhur tetapi sayang di tempat berkenaan tiada kemudahan khusus untuk Solat disempurnakan.

Kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan selepas itu dan cuba untuk berhenti di mana-mana Masjid yang ada di sepanjang laluan perjalanan. Agak malang bagi kami kerana masjid yang dijumpai telah ditutup dan tiada penjaga.

Kesukaran mencari tempat ibadah dalam sebuah negara Islam seperti Bosnia amat mengecewakan kami. Kesan penjajahan Komunis yang lama telah menyebabkan generasi Bosnia hampir hilang identiti Muslim. Macam terasa Islam mereka hanya atas kepercayaan Tuhan yang satu sahaja tetapi praktikal cara hidup sebagai Muslim amat sedikit sekali.

Akhirnya kami jumpa juga sebuah masjid yang terletak di atas bukit. Kami semua berusaha mendaki bukit berkenaan dan syukur alhamdulillah masjid berkenaan ada penjaganya iaitu salah satu keluarga penduduk di kawasan berkenaan. Melihat kehadiran kami, beliau seorang wanita Bosnia pun membuka pintu Masjid ini untuk kami masuk ke dalamnya. Dan kami sempat Solat Jamak Takhir di Masjid atas bukit ini.

Selesai Solat Jamak di masjid berkenaan, ramai ahli rombongan yang tak tahan nak melepaskan hajat. Almaklum cuaca sememangnya sejuk maka rasa nak buang air kecil tu dah jadi perkara biasa. Mujur ada rumah penduduk kampung yang sudi memberi izin untuk kami menggunakan tandas di rumahnya kerana tandas di masjid berkenaan berkunci. Dah macam cerita P.Ramlee, masing-masing beratur menunggu giliran.

 

 

Tiba di Blagaj

Kami sampai di sini ketika hari sudah menjelang maghrib. Dah gelap ! Saya yakin andai sampai di sini pada waktu tengahari pasti pemandangan kawasan ini begitu asyik dan mendamaikan. Blagaj ialah satu kawasan penempatan di lereng bukit dan gua yang terdapat Sungai Buna yang mengalir deras airnya. Kami sempat melawat sebuah bangunan yang kelihatan seperti Madrasah Ahli Sufi suatu ketika dahulu.

Ketika selesai lawatan di sini kami mendengar alunan Azan di sebuah masjid berhampiran menandakan sudah masuk waktu Isyak. Rasanya ini kali pertama kami mendengar Azan sepanjang perjalanan Balkan sebelum ini.

Tiba di Mostar

Dari Blagaj ke Mostar hanya sekitar 15km sahaja. Sebaik tiba di Mostar kami terus dibawa Makan Malam di salah sebuah restoran yang dikatakan menghidangkan makanan Halal walaupun dalam kedai penuh dengan botol arak. Awalnya kami cuak juga nak makan tetapi apabila diyakinkan Halal oleh penduduk setempat yang ditemui, maka kami makan aje la.

Selesai makan malam kami terus dibawa ke Hotel Bristol untuk “check in” bilik di Mostar. Masuk aje bilik selepas menunaikan Solat Jamak Takhir, saya pun terus tidur kerana kami dijadualkan akan memulakan Trip “city tour” Mostar selepas sarapan pagi keesukkan harinya.

Jumpa lagi….untuk kisah Mostar di Bosnia pula.