Assalamualaikum wbt.

Sememangnya pergerakan jemaah Haji semasa Hari Tasyrik benar-benar memenatkan dan mencabar kekuatan fizikal dan mental. Ramai jemaah yang demam sekembali dari Mina. Keadaan bumi Mina yang ditinggalkan begitu kotor sekali. Kita boleh saksikan longgokan sampah yang begitu banyak di mana-mana kawasan khemah yang dilalui semasa keberangkatan pulang ke Makkah. Hasil sisa buangan jemaah Haji selama 2-3 hari di Mina.

Bumi Mina yang ditinggalkan

Sebaiknya selepas sampai di hotel Makkah, dapatkan rehat yang secukupnya. Jangan terus menuju ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan Tawaf Rukun dan juga Saie Haji. Ini kerana di kawasan dataran Kaabah terlalu padat dan sesak dengan jemaah yang ingin bersegera menyelesaikan Tawaf mereka. Di waktu ini ketika tawaf memerlukan kekuatan dan kecergasan fizikal yang tinggi. Jika tak kuat dibimbangi kita akan terjatuh apabila diasak dari belakang oleh jemaah haji yang lain. Al-maklum masing-masing ingin menyegerakan tawaf mereka dan kena tolak dari belakang adalah perkara biasa. Dan jika terjatuh amat berbahaya sekali. Ada jemaah yang terbunuh kerana dipijak oleh jemaah yang ramai.

Tawaf di musim Haji

Jemaah boleh memulakan Tawaf pada atau selepas 14 Zulhijjah iaitu selepas sehari jemaah kembali dari Mina dan mendapat rehat yang secukupnya. Jangan ditangguh lama-lama pula. Ada jemaah yang tidak jadi untuk tawaf sebaik sampai di kawasan dataran Kaabah kerana terkejut melihat kepadatan jemaah yang sedang tawaf. Terlalu padat. Rasanya jika jemaah tidak berjalan, pasti akan jalan sendiri akibat ditolak dari belakang oleh jemaah lain yang sedang tawaf. Datang esok pun keadaan di kawasan tawaf masih seperti semalam juga.

Untuk makluman, keadaan kepadatan kawasan tawaf berlaku setiap hari dan masa (kecuali semasa solat berjemaah) sehingga selepas seminggu kembali dari Mina. Mahu tak mahu, jemaah harus menyempurnakan tawaf. Jika takut tawaf di kawasan dataran Kaabah, jemaah boleh tawaf di kawasan atas. Saya anggarkan jarak jemaah tawaf 7 kali keliling di kawasan atas Masjidil Haram hampir sejauh 10km jalan kaki. Tawaf di kawasan atas agak lega sedikit walaupun jaraknya jauh.

Jika tidak mampu untuk tawaf kerana uzur boleh diupah untuk ditolak dengan kerusi roda. Bayaran upah tolak tawaf semasa musim haji pastinya mahal. Jika tak silap saya kadar upah tawaf musim haji  sehingga SR450 untuk tawaf 7 kali keliling di kawasan atas sehingga dihantar semula ke hotel penginapan. Kerusi roda tidak dibenarkan untuk dibawa tawaf di kawasan dataran Kaabah pada musim Haji.

Saie di musim Haji

Selesai tawaf, jemaah harus menyempurnakan Saie Haji. Di kawasan Mas’a iaitu kawasan laluan saie juga serupa seperti kawasan tawaf. Terlalu padat dengan jemaah yang bersaie. Sungguhpun kawasan saie telah diperbesarkan, tetap juga padat dan sesak dengan jemaah. Jika tak mampu dan bimbang terjatuh akibat asakan jemaah dari belakang, jemaah boleh bersaie di tingkat atas atau di bahagian bawah. Biasanya di tingkat atas agak kurang padat berbanding di kawasan saie yang asal. Selesai bersaie jangan pula jemaah bergunting atau bertahalul seperti dalam amalan Umrah. Ramai jemaah yang keliru. Sebenarnya jemaah sudahpun bergunting atau bercukur (bertahalul) semasa berada di Mina lagi.

Selesai saie maka jemaah telah lengkap melaksanakan Rukun Haji. Syukur alhamdulillah. Selepas selesai menyempurnakan Haji, jangan pula jemaah malas untuk mendengar Kuliah atau Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz yang bertugas. Biasanya selepas kembali dari Mina, ada ceramah yang disampaikan oleh Ustaz mengenai “Post mortem kerja-kerja Haji”. Dibimbangi semasa perjalanan kerja Haji pada Hari Tasyrik, jemaah ada melakukan kesalahan-kesalahan dalam kerja Haji yang mungkin dikenakan Dam Haji. Sebenarnya banyak permasalahan Haji yang berlaku dalam kerja Haji dan jemaah tidak boleh pandang mudah. Sebaiknya jika merasa tidak yakin mengenai sesuatu, bersegeralah berjumpa dengan Ustaz atau Pakar Rujuk Tabung Haji.

Wassalam. Jumpa lagi, insyaAllah.