Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali..

Syukur alhamdulillah puji-pujian kepada Allah kerana atas nikmat yang diberi sampai juga saya ke bumi Bursa. Bursa satu kota yang penuh dengan catatan sejarah silam peralihan kuasa dari satu empayar ke satu empayar. Lokasi Bursa yang hampir dengan Istanbul sentiasa menjadi rebutan empayar besar dan sering bertukar ganti tampuk pemerintahan. Istimewanya Bursa kerana di sinilah bermulanya era pemerintahan Khalifah Islam Ottoman.

Masjid Hijau

20161014_102312

Sebelum ini banyak diceritakan orang akan masjid-masjid di Turki. Dan kami dimaklumkan oleh Mr Sakir (Tour Guide kami) lokasi awal yang akan diziarahi nanti ialah Masjid Hijau atau biasa disebut “Green Mosque”. Kenapa dipanggil Hijau ? Kerana binaan Masjid ini banyak menggunakan tile yang berwarna Hijau.

Masjid ini tidaklah besar sangat tetapi yang mengkagumkan ialah seni binaan masjid ini yang menggunakan tile yang begitu indah sekali. Mengkagumkan kerana pada zaman yang berkenaan (kurun ke 13) sudah ada teknologi binaan masjid yang begitu cantik sekali.

20161014_102310

Saya perhatikan juga carpet yang saya pijak begitu lembut dan cantik sekali. Lampu-lampu masjid yang tergantung di atas siling masjid menambah seri masjid ini. Kami tak lama di Masjid Hijau dan selepas ini kami menuju ke Green Tomb

20161014_103452

Green Tomb

Green Tomb didirikan atas permintaan Sultan Mehmet Celebi. Ketika memasuki bangunan ini saya dapati terdapat beberapa kuburan di antaranya Makam Sultan Mehmet sendiri bersama beberapa anak perempuannya dan pengasuhnya.

20161014_103238

Ruang yang menghiasi Green Tomb ini kebanyakkannya berwarna hijau dan binaan dinding terdiri dari jubin biru dan kuning keemasan. Tambah menarik apabila ia diselangi dengan kaligrafi yang cukup menawan sekali.

20161014_103259

Oleh kerana hari lawatan di Bursa jatuh pada hari Jumaat maka kami harus bersegera menuju ke masjid tumpuan utama iaitu The Grand Mosque atau dipanggil juga Ulu Cami. Menurut Mr Sakir jika sampai lewat dibimbangi jemaah wanita tidak dapat memasuki masjid kerana dipenuhi oleh jemaah lelaki yang mahu mendirikan solat Jumaat.

20161014_113356

Masjid Ulu Cami atau The Grand Mosque

Masjid terbesar di Turki ini dikabarkan banyak mengambil elemen senireka bentuk Seljuk. Masjid Ulu Cami ini dibina atas arahan Sultan Bayezid I sebagai tanda kesyukuran dan mungkin bernazar atas kemenangan menakluk Bursa ketika itu. Idea asal beliau mahu membina 20 buah masjid tetapi para penasihat baginda mencadangkan supaya dibina satu Masjid yang besar dan dibina 20 buah kubah sebagai simbol menggantikan 20 masjid.
20161014_114515

Keindahan Masjid ini terletak pada ruang dalaman masjid yang penuh dengan hiasan kaligrafi jawi yang indah dan menarik. Amat mengkagumkan kerana pada zaman yang berkenaan (kurun ke 13) seni kaligrafi jawi sudah amat cantik dan berseni.

20161014_113616

Saya terfikir ada kemungkinan banyak hiasan dalaman masjid-masjid zaman era moden ini mengambil contoh dari kaligrafi yang ada di masjid ini. Saya lihat terlalu banyak kaligrafi jawi menghiasi dinding-dinding dan tiang-tiang di dalam Masjid.

20161014_113531

Ketika memasuki masjid ini keadaan dalam masjid masih lapang lagi. Jadi mudah untuk Mr Sakir memberi penerangan mengenai sejarah masjid ini dan keindahan kaligrafi yang terdapat di dalam masjid ini. Mengikut ceritanya, Nabi Allah Khidir pernah mengunjungi masjid ini dan sempat menulis satu kaligrafi berbentuk huruf Wau.

20161014_114507

Peluang menunaikan Solat Jumaat di Masjid yang penuh bersejarah dan indah ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Ini yang dinamakan rezeki. Setelah puas melihat keadaan dalam ruang masjid, maka saya pun duduk ikhtikaf di dalam masjid sementara menunggu waktu solat Jumaat didirikan. Tanpa saya sedari keadaan dalam masjid semakin dipenuhi oleh para jemaah yang datang awal.

20161014_124852

Rupa-rupanya sebelum solat Jumaat didirikan ada satu ceramah agama yang disampaikan oleh seorang Penceramah. Agak lama juga ceramah agama berkenaan. Saya anggarkan dekat 1 jam juga. Lebih lama ceramah agama berbanding Khutbah Jumaat.

20161014_125922

Saya perhatikan kesedaran mengenai Islam di kalangan penduduk di Bursa amat tinggi. Sejam sebelum khutbah Jumaat, keadaan dalam masjid sudah penuh dengan jemaah yang ikhtikaf di dalam masjid. Saya perhatikan jemaah tanpa mengira usia amat tekun dan khusyuk mendengar isi ceramah agama yang disampaikan. Di tempat kita jika mahu lihat keadaan dalam masjid penuh hanya ketika Khatib mahu memulakan bacaan khutbah Jumaat.

20161014_125944

Selesai solat Jumaat saya pun terus keluar dari masjid dan saya lihat di luar masjid ramai jemaah wanita yang sedang menunggu pasangan lelaki mereka keluar dari masjid. Satu pandangan yang unik kerana di tempat kita selesai sahaja Solat Jumaat maka kita terus balik dan tiada siapa menunggu kita di luar Masjid.

20161014_134214

Boleh jadi juga wanita-wanita yang menunggu di luar ialah pengunjung seperti kami. Tetapi melihat kepada cara berpakaian dan raut wajah mereka yang ramai di luar masjid, saya yakin mereka orang Turki.

20161014_134207

Setelah berkumpul semua ahli rombongan maka kami dibawa oleh Mr Sakir untuk makan tengahari di salah satu Restoran Makanan Segera tidak jauh dari Masjid Ulu Cami.

20161014_144324

Kami melalui deretan Bazar yang menjual banyak barangan seperti pakaian dan sebagainya di sepanjang laluan kami dari Masjid menuju ke Restoran. Kami tidak membeli belah di bazaar berkenaan kerana selepas ini kami perlu meneruskan perjalanan ke Istanbul pula.

20161014_144536Selesai  makan tengahari sempat juga saya bergambar berlatar belakang poster Presiden Endorgan yang saya kagumi. Saya dapati masyarakat Turki amat bangga akan negaranya. Buktinya di mana-mana pun kami pergi, kami boleh saksikan banyaknya bendera Turki yang digantung di premis mereka. Tak tunggu musim kemerdekaan seperti di negara kita..baru nak gantung bendera Malaysia.

20161014_153839

Perjalanan diteruskan menuju ke Istanbul. Sungguhpun jarak kota Bursa ke Istanbul tidaklah jauh sangat seperti sebelumnya tetapi kami sampai di Istanbul ketika waktu sudah malam (selepas Maghrib). Ini kerana keadaan lalu lintas memasuki Istanbul yang amat sesak sekali. Almaklum Istanbul ibarat Kuala Lumpur iaitu satu kota Metropolitan yang sentiasa padat dengan penduduknya.

sekian dulu dan selepas ini cerita Istanbul pula, insyaAllah.