Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Hari ke7 Kembara Balkan diteruskan lagi selepas kami “check out” Hotel Emporium di Bihac. Tour Guide Adolf memberitahu destinasi kali ini ialah Taman Negara Plitvice atau disebut sebagai”Plyvisa”. Taman Negara Plitvice terletak di Croatia dan bersempadan dengan Bosnia Herzegovina. Jika sebelum ini kami menziarahi Dubrovik di Croatia, kemudian memasuki Bosnia menziarahi Mostar, Sarajevo sehingga ke Bihac, kali ini pasport kami dicop sekali lagi kerana telah keluar dari Bosnia dan masuk ke Croatia semula di sebelah Utara.

Sebaik kali pertama melihat air terjun di Plitvice National Park ini, hanya puji-pujian kepada Allah yang selayaknya diucapkan. AllahuAkbar ! Inilah air terjun paling cantik yang pernah saya saksikan. Air terjun yang bertingkat-tingkat dan terlalu banyak pula dan amat luas.

Taman Negara Plitvice yang terbesar di Croatia ini mempunyai 16 buah tasik semulajadi yang bertingkat-tingkat sehingga mewujudkan aliran air terjun yang terlalu banyak dan amat cantik sekali.

Kecantikan air terjun di Taman Negara Plitvice ini telah menarik kehadiran pelancung dari seluruh dunia. Semenjak dibuka pada tahun 1949 ia telah menerima kehadiran jutaan pelawat. Dan kini Taman Negara Plitvice ini menjadi objek pelancungan paling utama bagi Croatia.

Indahnya pemandangan air terjun dan tasik yang ada di Taman Negara Plitvice tak terungkap dengan kata-kata. Kami menziarahi kawasan ini bermula dengan menuruni kawasan sekitar dengan melalui jalan yang telah sedia dibuat. Kami berjalan kaki menuruni lembah sehingga sampai di jalan bertangga yang di sebelahnya aliran air yang mengalir deras.

Sambil berjalan kami harus berhati-hati melalui jalan kayu yang disediakan. Bimbang tergelincir. Mujur kasut yang saya pakai tapaknya jenis kesat jadi “confident” tu lebih la sikit. Andai tapak kasut licin macam kasut pejabat, saya rasa agak merbahaya juga kerana laluan jalan kaki ada juga yang basah kerana terkena percikan aliran air yang mengalir deras.

Boleh dikatakan setiap sudut yang kami lalui, pemandangan sekeliling amat cantik sekali. Banyak juga gambar yang saya ambil kerana takjub dengan keindahan alam semula jadi di sini. Syukur pada Allah kerana atas nikmatNya yang banyak sehingga saya dapat sampai di sini menyaksikan alam ciptaanNya yang amat indah dan memukau pandangan.

Taman Negara Plitvice ini amat luas. Mustahil untuk kami meneroka kesemuanya dalam batasan waktu yang singkat. Kami dinasihatkan untuk tidak terlalu leka di sini dibimbangi akan ketinggalan bot yang akan mengambil kami pada hentian terakhir lawatan nanti.

Saya rasakan kunjungan akan datang, saya plan untuk menginap di Hotel yang berhampiran dengan Taman Negara Plitvice ini supaya dapat melawat kawasan ini seharian penuh. Terasa jiwa amat tenang dan mendamaikan berada di kawasan yang amat indah ini.

Gambar-gambar yang diambil pasti akan lebih cantik lagi andai menggunakan kamera yang canggih.

Sebaik menghampiri di kawasan paling bawah, masing-masing tak lepas peluang abadikan kenangan dengan berselfie di kawasan air terjun ini termasuk saya.

Pasti lebih romantik andai saya datang ke sini bersama isteri tercinta. Sayang saat indah menyaksikan keindahan alam semulajadi tidak dapat dikongsi sama. InsyaAllah ada rezeki sampai jua hendaknya.

Kami berjalan kaki dari menuruni bukit sehingga mendaki bukit melalui jalan bertangga yang disediakan. Sememangnya untuk meneroka Taman Negara Plitvice ini memerlukan kekuatan fizikal dan juga stamina. Agak tercungap juga pada yang tak biasa “exercise”.

Saya tak pasti berapa jauh kami berjalan dari mula hingga akhir di Taman Negara Plitvice ini…tetapi memang jauh cuma tidak memenatkan bagi saya kerana seronok dan takjub dengan keindahan tempat ini.

Saya kira ini saat paling indah dan mengujakan selama tempoh Kembara Jelajah Balkan ini. Saya fikir alangkah baiknya jika kawasan ini yang paling awal kami ziarahi dalam Kembara Balkan ini.

Siapa pun yang pernah sampai di sini pasti kagum dengan keindahan alam semulajadi Taman Negara Plitvice. Tidak menghairankan Plitvice National Park ini telah digazet sebagai Warisan Dunia oleh Unesco pada tahun 1979.

Kunjungan kami di sini hanya setengah hari sahaja. Kami harus sampai tepat pada waktunya di “check point” akhir kerana bot akan datang mengambil kami bersama pengunjung yang lain untuk dibawa ke tempat asal kami bermula tadi.

Setelah saya teliti Pelan Peta Taman Negara Plitvice, saya dapati tempat yang kami ziarahi di sini tak sampai separuh pun. Akan tetapi saya puas kerana sekurang-kurang saya dapat menziarahi tempat ini dalam cuaca yang baik dan tidak hujan. Saya puas dapat berjalan kaki melihat keindahan tempat ini dalam suasana pengunjung yang tidak ramai. Jiwa lebih tenang dan mendamaikan. Tak dapat digambarkan jika saya sampai di sini pada musim panas. Pasti laluan jalan kaki sesak dengan Pengunjung yang terlalu ramai.

Bersambung insyaAllah…menuju Zagreb.