Assalamualaikum wbt.

Bukittinggi yang terletak di Sumatera Barat mempunyai suhu yang agak dingin berbanding tempat lain di Indonesia. Bagi yang suka melancung dan membelibelah, Bukittinggi sememangnya syurga membelibelah bagi kaum Hawa. Suhu yang dingin sememangnya memberi keselesaan ketka berkunjung di Bukittinggi. Malah tidur di Hotel juga tidak menggunakan Aircond kerana suhu malam di sini sememangnya sejuk.

Kedudukan Kota Bukittinggi yang terletak dalam rangkaian Pergunungan Bukit Barisan membuatkan pemandangan kawasan sekitar begitu menghijau, dihiasi awan putih yang memagari pergunungan dilihat amat indah dan memukau pandangan.

Tanah di Bukittinggi sememangnya subur kerana mendapat bekalan air gunung yang tidak pernah putus sejak dahulu walau di musim kering kemarau. Kemana pun kita pergi terasa menghirup udara segar pergunungan. Begitu mengasyikkan menikmati alam semulajadi yang bersih dan udara yang segar.

Lokasi Bukittinggi pada ketinggian hampir 1 km dari aras laut menjadikan Bukittinggi kota berhawa sejuk dengan suhu antara 18 hingga 24 darjah Celcius. Suhu sebegini membuatkan kami santai dan relax sepanjang “city tour” di Bukittinggi.

Kembara ke Padang Bukittinggi

Tanpa diduga pada tahun ini, Ajwa Travel menerima permintaan untuk melawat Bukittinggi dari 2 kumpulan yang berbeza. Kumpulan pertama berlepas pada 14 Julai hingga 17 Julai 2018 yang lalu (majoriti peserta terdiri dari pekerja Kilang Maggi Shah Alam) dan rakan-rakan yang sering join Trip kemana Ajwa Travel anjurkan.

Kumpulan Kedua pada 19 Oktober hingga 21 Oktober 2018yang lalu dengan membawa ahli Puspanita Putrajaya yang kesemuanya wanita kecuali saya seorang.

Bezanya kumpulan pertama ambil Pakej 4 Hari 3 Malam, manakala Kumpulan Kedua pula ambil Pakej 3 Hari 2 Malam. Apapun kesemua tempat-tempat lawatan berjaya dipenuhi sungguhpun Kumpulan Kedua kurang 1 hari dari Kumpulan Pertama.

Tiba di Bandara Padang

Kesemua pelawat yang mahu ke Bukittinggi semestinya mendarat di Airport Padang. Jika menaiki pesawat Airasia biasanya pesawat akan berlepas pada jam 7.50 pagi dan sampai di Padang sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan). Tempoh penerbangan sekitar 50 minit sahaja. Sempat juga nak tidur sekejap dalam flight.

Tempat-tempat menarik di Bukittinggi ?

Rumah Kebudayaan dan Dokumentasi Minangkabau

Pastinya tetamu yang datang ke sini akan ditunjukkan dahulu Rumah Kebudayaan dan Dokumentasi Minangkabau yang terletak di Padang Panjang. Di sini tetamu yang datang diberi penerangan mengenai budaya hidup dan adat penduduk Minangkabau yang berpegang kuat pada Adat Pepatih oleh seorang Petugas Wanita.Menariknya para tamu diberi peluang untuk memakai Pakaian Pengantin Minangkabau dengan dikenakan bayaran RM10 seorang. Apalagi ramailah para jemaah saya yang mengambil peluang ini. Memang menyeronokkan bila lihat gambar-gambar yang diambil.

Satu pengajaran yang diperolehi ialah masyarakat setempat cukup menjaga adat sehingga tanah lahan milik mereka sentiasa dipertahan dari dijual kepada orang lain. Hebatnya orang Minang “semiskin-miskin orang Minang tetap mempunyai tanah warisan”.

Kaum lelaki dilatih dari kecil supaya hidup berdikari dan budaya merantau dengan cara berdagang sudah sebati dalam sanubari anak lelaki Minang. Seolah-olah ada ungkapan belum benar-benar jadi anak lelaki Minang jika tidak merantau dan berniaga. Kerana itu barangkali kita lihat sememangnya orang Minang yang datang ke negara kita kaki berdagang dan ramai yang jadi kayaraya.

Bukittinggi amat kaya dengan hasil pertanian terutamanya sawah padi. Di samping itu banyak lagi tanaman kontan yang lain selain sayur-sayuran. Kami dimaklumkan pihak berwajib amat menjaga keaslian bentuk mukabuminya agar alam semulajadi terpelihara dari pencemaran alam sekitar. Menurut Tour Guide kami iaitu Pak Hendri, tidak dibenarkan satu bangunan kilang perindustrian dibina di Bukittinggi dari dulu sehingga kini.

Harau Valley

Lembah Harau atau disebut sebuah ngarai terletak di kota Payakumbuh. Berjalan menuju Lembah Harau amat mendamaikan. Kita boleh saksikan keindahan alam semulajadi yang menghijau serta sawah padi yang diapit oleh tebing-tebing granit setinggi 80 hingga 100 meter.

Saya amat kagum dengan bentuk lanskap mukabumi yang terhasil dari gempabumi yang berlaku ribuan tahun dahulu. Menurut Pak Hendri sebelum ini ada banyak air terjun dari atas lembah yang menuruni lereng granit sehingga mewujudkan panorama pemandangan yang indah sekali.

Puncak Lawang

Datang ke Bukittinggi dirasakan tidak lengkap jika tidak ke Puncak Lawang yang terletak pada ketinggian 1000 meter dari aras laut. Mendaki melalui jalan sempit dan curam untuk ke sini sememangnya agak mendebarkan dan entah berapa kali penumpang wanita yang mengucap panjang.

Tetapi sebaik sampai di Puncak Lawang, jelas kegembiraan dan kepuasan terpancar di wajah setiap jemaah demi melihat pemandangan Puncak Lawang yang amat cantik dan mempersonakan yang berlatarbelakang Tasik Maninjau di bahagian bawah. Sayup dari kejauhan di bahagian bawah Tasik Maninjau kelihatan perkampungan penduduk setempat.

Kami bernasib baik kerana sewaktu tiba di sini awan belum lagi menutupi sebahagian pemandangan. Hampir 1 jam berada di sini tiba-tiba datang sekumpulan awan yang menutup sebahagian pandangan kami ke arah Tasik Maninjau yang cantik itu.

Lokasi Penggambaran Filem

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawasanya keindahan Tasik Maninjau ini pernah dijadikan lokasi penggambaran Filem  “Tenggelamnya Kapal Van Derwick” karya Novel popular Prof Hamka dan filem “Di bawah Lindungan Kaabah”.

Ngarai Sianok

Iaitu sebuah lembah curam atau jurang pada ketinggian 100 meter yang terletak di perbatasan kota Bukittinggi. Keluasan Ngarai Sianok yang terbentang memanjang seluas 15km dengan lebar sekitar 200 meter yang terjadi akibat kesan tanah yang menurun (pergerakan lempeng bumi) jutaan tahun dahulu mewujudkan satu pemandangan lembah (Canyon) yang cantik sekali.

Di bahagian pintu masuk ke Taman, ada juga terdapat Kubu Terowong Kubu Pertahanan Jepun yang dibina secara paksa oleh Tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.

Ketika berada di sini jika ada peluang mahu rasanya saya menuruni lembah dan berjalan kaki untuk menikmati pemandangan alam semulajadi yang indah di Ngarai Sianok. Tapi apakan daya kerana batasan waktu maka hasrat itu hanya jadi impian sahaja.

Mungkin suatu masa nanti saya ke sini sekali lagi secara “private tour” dan berhasrat untuk menghayati keindahan alam semulajadi dengan lebih dekat lagi dengan menginap satu malam di Puncak Lawang, satu malam di resort Harau Valley dan melakukan “jungle trekking” di Ngarai Sianok.

Istana Pagaruyung

Istana Pagaruyung merupakan objek tarikan pelancung yang utama di Bukittinggi. Sebenarnya istana yang ada sekarang ini merupakan binaan semula atau replika dari yang asli kerana istana ini pernah terbakar disambar petir pada tahun 2017.

Pengunjung dibenarkan memasuki bangunan istana untuk melihat struktur istana zaman silam dan mengambil gambar kenangan di sini. Pengunjung juga boleh mengambil gambar kenangan dari Juru Foto yang ada di kawasan ini dengan harga gambar sekeping RM10…memang berbaloi kerana gambar yang dicetak sememangnya cantik.

Pandai Sikek

Ialah nama sebuah kampong yang ada di Bukittinggi. Pandai Sikek amat popular di sini kerana di kampong inilah wujud industri kain tenunan dan sulaman. Boleh dikatakan setiap rumah di sini mempunyai alat tenunan dan sulaman dan dikatakan banyak produk tenun dan sulaman di Bukittinggi berasal dari kampong ini.

Pandai Sikek juga mempunyai pemandangan alam semulajadi yang cantik. Kita boleh saksikan sawah padi yang terbentang luas, ada juga kawasan sekitar yang ditanam sayur-sayuran berlatar belakang pergunungan memang amat mengasyikkan.

Membeli belah di Bukittinggi

Sebelum ini tumpuan popular membeli belah ialah di Pasar Atas yang berdekatan dengan Jam Gadang yang cukup sinonim dengan Bukittinggi. Akan tetapi semenjak Pasar Atas terbakar beberapa tahun lalu, kini pelancung boleh membeli belah di banyak outlet atau Kedai yang banyak terdapat di sekitar Bukittinggi.

Tak membeli dirasakan seperti rugi pula kerana harga barangan seperti telekung dan kain sulaman sememangnya murah berbanding di tempat kita. Sehingga ada ungkapan “biar menyesal membeli, jangan menyesal tak beli”. Ha..ha..ha…memang bab membeli belah serah pada Kaum Hawa…

Makanan di Bukittinggi

Saya berani katakan masakan Minang sememangnya sedap dan terbaik. Terutama hidangan Nasi Padang yang berlaukkan rendang daging, memang menyelerakan saya. Saya percaya jemaah yang bersama saya juga setuju bahawasanya menu masakan Minang cukup sedap.

Di sepanjang trip Padang Bukittinggi, bab makan dan minum tidak menghampakan. Mana restoran atau kedai makan yang kami singgah menu makanan yang dihidangkan sememangnya sedap. Dan kita tidak perlu risau soal halal kerana sememangnya penduduk Padang dan Bukittinggi beragama Islam.

Pakej Padang Bukittinggi Januari 2019

Ajwa Travel bercadang mahu setting sekali lagi Pakej Padang Bukittinggi untuk tempoh 3 hari 2 malam iaitu dari hari Jumaat hingga Ahad pada harga RM 1090 seorang.

Tarikh cadangan 11 Januari hingga 13 Januari 2019. Pendaftaran awal sebelum 30 November 2018 atau 10 orang yang pertama diberi diskaun RM50/seorang.

Boleh hubungi saya atau isteri Hjh Norhayati 0193505395 atau Wan Azan 012-9012164.

Jumpa Lagi