Assalamualaikum wbt.

Kota Suci Makkah dan Madinah merupakan 2 tempat tumpuan umat Islam untuk beribadah dan bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa yang telah lalu. Bukan bermakna di tempat-tempat lain kita tidak boleh bertaubat. Tetapi atas sifat kemuliaan dan keberkatan di 2 kota suci ini, maka ramai Muslimin dan Muslimat berbondong-bondong datang untuk menyucikan diri mereka. Datang ke Tanah Suci dengan membawa kekotoran dosa dan pulang nanti dengan harapan Akaun Akhirat masing-masing penuh dengan catatan amal.

Tetapi benarkah begitu ?

Sebenarnya masih ramai yang datang ke Tanah Suci secara tidak sedar menganggap ianya satu percutian yang berunsur ibadah. Malah kekadang bangga menceritakan kepada rakan-rakan mengenai kekerapan mereka datang ke Tanah Suci. Sedangkan sikap dan akhlak masih kekal tidak berubah. Masih lagi merasakan diri sentiasa betul kerana menganggap diri mereka ialah Pelanggan dan bukannya Tetamu Allah. Masih lagi tebal dengan sentimen bahawasanya “Pelanggan sentiasa betul” dan perlu mendapat layanan First Class.

gambar orang berdoa (2)

Mereka lupa hakikatnya diri mereka ialah Tetamu Allah. Dan yang kasihannya mereka tidak menyedari kedatangan mereka ke Tanah Suci dengan membawa bersama Hati Yang Kotor. Kerana apabila hati telah kotor maka apa sahaja yang dialami hanyalah kesulitan demi kesulitan. Tidak nampak kelazatan dan keindahan di sebalik sesuatu yang berlaku. Mereka lupa bahawasanya sebagai Tetamu Allah pastinya akan diuji oleh Allah sesuai dengan tahap keimanan masing-masing.

Alangkah malangnya nasib diri apabila ketika di Tanah Suci, kita masih gagal mengawal nafsu Amarah apabila ditimpa dengan sesuatu musibah. Hilang segala pertimbangan akal budi sehingga keluar warna diri mereka yang sebenarnya. Boleh jadi kerana mata hati telah buta dan hati telah mati. Tidak dapat diselami rahsia di sebalik ujian yang dihadapi dan juga kerja-kerja ibadah yang dilakukan ?

Cuba kita tanya diri kita sendiri, “mengapa dan untuk apa kita datang ke Tanah Suci ? mengapa kita melakukan Tawaf ? apa sebenarnya rahsia di sebalik amalan tawaf ini ? begitu juga dengan amalan kerja saie ? apa rahsia di sebalik jemaah berulang-alik dari Bukit Safa dan Bukit Marwah ? Jika kita tidak mengetahui rahsia di sebalik kerja-kerja ibadah yang kita lakukan, maka bagaimana kita dapat merasai kelazatan dalam ibadah ?

Cuba kita muhasabah diri kita, adakah benar hati kita ini benar-benar bersih atau Kotor? Jika kotor baju mungkin boleh dilihat secara zahir dan boleh dibersihkan. Tetapi jika kekotoran dalaman ? Bagaimana pula nak menyedarinya dan bagaimana pula nak membersihkannya ? Ada baiknya kita menyelami dahulu mengapa berlaku kekotoran hati?

Punca Hati Kotor

Aqidah yang Batil dan Iman yang lemah

Aqidah ibarat akar tunjang yang menguatkan pokok untuk tegak berdiri. Jika akar tunjangnya kuat maka pokok tersebut sukar untuk tumbang. Begitu juga jika aqidah kita kuat maka ianya berperanan membentuk hati dan jiwa supaya suka dan cenderung untuk taat kepada Perintah Allah dan menghindari larangannya.

Tetapi apabila aqidah batil dan iman pula lemah, maka hati kita cendorong untuk suka kepada maksiat dan malas untuk beribadah. Dan apabila hati telah mati maka dibimbangi Nur Iman gagal menembusi lubuk hati kita menyebabkan kita langsung tidak merasa bersalah atas maksiat dan kemungkaran yang kita lakukan. Nauzubillah…

Sebenarnya hati dan jiwa berperanan mempengaruhi segala tindakan kita samada baik mahupun buruk. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai  hati seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu  “al-Nafs al-Mutmainnah” ertinya “jiwa yang tenang tenteram”.  Mereka yang sudah mencapai tingkatan atau maqam tertinggi ini selayaknya menjadi penghuni Syurga. Biasa juga disebut “Qalbun Salim” iaitu “Hati yang bersih dan sejahtera?

Orang yang sudah mencapai tahap ini akan sentiasa diredhai oleh Allah  dan ia jua redha terhadap Qadha dan Qadar Allah. Bahkan disebut dalam surah al-Fajr maksudnya ” wahai jiwa yang tenang tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redha lagi diredhai. Oleh itu masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.” Allahuakbar! Beruntungnya mereka yang mempunyai hati yang tenang tenteram ini.

Makanan dan Minuman Yang Haram

Hati akan bertambah kotor apabila diri terlibat dengan makanan dan minuman yang haram dan datang dari sumber yang haram. Ulamak ada menyebut “sesiapa makan benda yang halal, maka hatinya menjadi lunak, tipis dan bersinar, sedikit tidurnya dan tidak terhalang dari berhadapan dengan Allah. Sebaliknya pula sesiapa makan dari benda yang tidak halal, maka tergeraklah semua anggota badannya untuk melakukan maksiat.”

Seorang Ulamak Sufi pernah berpesan ” takutlah dari makan makanan yang tidak halal, kerana sesungguhnya makan makanan yang tidak halal itu menyebabkan hati menjadi keras dan juga hati menjadi gelap.”

Malah Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah Taala itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik (yakni suci bersih pada amal dan harta benda.” Kemudian baginda menyebut perihal seorang lelaki yang telah jauh berjalan, rambutnya kusut masai lagi berdebu, dia menadah tangan ke langit sambil berdoa : ” Ya Rab! Ya Rab! sedang makanannya haram. minumannya haram dan pakaiannya juga haram, serta mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimana doanya akan diperkenankan oleh Allah ? (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Terlibat dengan Maksiat

Perbuatan maksiat jika dilakukan akan menyebabkan hati dan jiwa menjadi kotor. Nabi berpesan “apabila seorang hamba Allah melakukan dosa maksiat maka akan berlaku satu titik hitam dalam hatinya. Dan apabila perbuatan maksiat itu dilakukan secara berulang-ulang kali maka lama kelamaan semakin bertambah titik-titik hitam dalam hatinya yang akhirnya hatinya akan menjadi gelap pekat. Ketika itu Nur Iman sukar menembusi hatinya kecuali individu berkenaan melakukan Taubat Nasuha.

Hati yang kotor ini bukan hanya disebabkan maksiat zahir tetapi mengikut Imam Ghazali kita juga perlu menghindari maksiat batin iaitu antaranya sikap gemar makan, suka berbual kosong, marah tak tentu pasal, hasad dengki, kedekut, kasih kepada kemegahan, cintakan dunia hingga lupa Akhirat, takkabur (sombong), ria’ (melakukan amal ibadah kerana mengharapkan pujian manusia) dan Ujub (perasaan bagus, merasakan dirinya lebih baik dari orang lain)

Jahil tentang Hukum Hakam

Amat malang apabila diri jahil tentang hukum hakam dalam Islam. Malah tambah malang lagi apabila ia tidak mengakui akan kejahilannya tetapi semakin mendabik dada kononnya dirinya yang lebih tahu. Mereka menjadi “bodoh sombong” dan dibimbangi sikap ini boleh memudaratkan iman.

Allah berfirman dalam surah Fatir ayat 28 maksudnya “orang yang takut kepada Allah hanyalah dari kalangan orang-orang yang berilmu di antara hamba-hambaNya.” Maka difahamkan dalam kontek ini mereka yang tidak takut kepada Allah terdiri dari mereka yang jahil.

Sabda Nabi s.a.w “sesiapa dikehendaki oleh Allah menjadi baik, nescaya dia diberi keluasan faham dalam agama.” Dalam maknanya yang lain sesiapa yang jahil dalam hal agama akan memudahkannya terjebak dengan perkara-perkara maksiat samada yang zahir ataupun batin.

Malah kadang-kadang sipelaku merasa bangga pula kerana telah melakukan maksiat. Seperti seseorang yang datang ke Makkah kerana mahu bertaubat kepada Allah tetapi dalam masa yang sama merasa megah dengan menceritakan sejarah silamnya yang kaki maksiat.

Kesimpulannya, sebaiknya sebelum ke Tanah Suci, kita harus sentiasa berusaha untuk menambah ilmu kerana ilmu itu Penyuluh Hidup yang menerangi kegelapan. Orang yang tidak berilmu sentiasa dalam keadaan teraba-raba sehingga sukar mengenalpasti sesuatu perbuatan yang dilakukan itu diredhai oleh Allah ataupun tidak.  Beramal tanpa ilmu ibarat melakukan sesuatu kerja yang sia-sia.

Orang yang berilmu sentiasa jiwanya tenang dan tenteram dan tidak menyalahkan takdir atau menyalahkan orang lain apabila sesuatu musibah berlaku terhadap dirinya di Tanah Suci. Beruntunglah mereka yang sentiasa diredhai oleh Allah sehingga dapat merasa nikmat beribadah di sana walaupun diri sentiasa diberi ujian oleh Allah.

Jumpa lagi dan Wassalam.