Assalamualaikum wbt.

Keindahan bumi Kashmir yang sering ditonjolkan melalui filem2 Bollywood sejak dulu lagi menggamit saya untuk ke sana suatu hari nanti. Pemandangan banjaran gunung yang diliputi salji dan bunga tulip yang mekar berkembang dalam filem-filem Hindustan menyebabkan keinginan melawat Kashmir seperti sudah tidak boleh dibendung lagi.

Maka bila dah ada Travel Agency sendiri ni, perancangan pun dibuat untuk ke sana pada musim yang sesuai iaitu pada bulan April ketika musim bunga tulip baru berkembang. Pada awalnya saya dan isteri sahaja yang mahu ke Kashmir. Akan tetapi alang-alang pergi, ada baik juga kami ajak sesiapa yang nak join sekali.

Hasil dari promosi yang dibuat tanpa diduga seramai 28 orang (termasuk saya dan isteri) pergi ke sana dari 11 April hingga 17 April 2018 yang lalu. Yang bestnya majoriti yang join Trip Kashmir ni terdiri dari mereka yang pernah ikut Trip Umrah dan/atau Trip Melancung Ajwa Travel sebelum ni. Kira dah macam reunion pula. Terasa seronok kerana mereka masih setia dan menyakini Ajwa Travel sebagai penganjur Pakej.

Urusan Visa ke India

Sebenarnya ada 2 cara untuk memohon Visa India ni iaitu samada memohon secara online dan tiba di New Delhi baru diambil Cop Jari (Visa on Arrival) atau kita kena datang sendiri di Pejabat Embassy India di Kuala Lumpur untuk buat Visa India dengan menyertakan Pasport, gambar 2 keping untuk Visa dan Tiket Penerbangan ke sana (sebagai bukti penerbangan). Selepas selesai dan membayar caj Visa maka selepas 3 hari Ajwa Travel akan collect Pasport yang sudah dapat Visa India semula.

Saya pilih cara yang kedua kerana kabarnya urusan Visa On Arrival akan mengambil masa yang lama di airport New Delhi nanti. Bayaran Visa dibayar oleh Ajwa Travel kerana ianya sudahpun dimasukkan dalam Harga Pakej.

Penerbangan ke New Delhi

Untuk ke New Delhi, selain MAS flight Malindo dan Airasia X pun ada. Akan tetapi kami memilih pesawat Airasia X atas faktor harga tiket yang murah dan makanan dalam flight yang menjadi kegemaran saya…semestinya Nasi Lemak Pak Naseer yang popular tu.

Sememangnya tidak ada penerbangan terus ke Srinagar (ibu negeri Kashmir) dari KLIA. Penerbangan dari KLIA2 ke New Delhi mengambil masa 5 jam sahaja. Kami berlepas jam 7 malam dan sampai di airport New Delhi jam 10 malam (waktu tempatan). New Delhi lewat 2 jam berbanding waktu Malaysia. Sebaik melepasi pemeriksaan Imigresen, kami disambut oleh wakil kami di New Delhi dan terus dibawa “check in” Hotel.

Kami ketahui ada juga rakyat Malaysia yang ambil keputusan untuk bermalam di Airport New Delhi sahaja (mungkin jenis Visa On Arrival) dan mengambil flight awal pagi keesokkannya untuk ke Srinagar. Mungkin untuk menjimatkan kos (kerana tak perlu bayar kos hotel untuk 1 malam)

Hotel di New Delhi

Sebaik memasuki Hotel di New Delhi, kami agak terkejut kerana diberi bilik penginapan yang amat eksklusif, macam bilik anak raja. Punya la luas biliknya. Tapi kami menginap 1 malam sahaja kerana selepas sarapan esoknya kami harus “check out” hotel menuju ke airport untuk penerbangan selanjutnya ke Srinagar.

Kami mengambil flight Go Air untuk ke Srinagar yang berlepas pada jam 9.15 pagi, dan dijadual sampai di Srinagar pada jam 10.40 pagi. Jadi tidaklah terlalu “rushing”. Selepas bersarapan pagi di Hotel, kami terus aje menuju ke Airport.

Tiba di Srinagar

Pertama kali sampai di Srinagar, Kashmir sememangnya mengujakan. Rombongan kami seramai 28 orang dipecahkan kepada 6 kumpulan yang menaiki kenderaan Toyota Innova. Kata Mr Tausef (wakil Ajwa di Kashmir) bas sememangnya tidak sesuai untuk membawa rombongan yang ramai.

Kami lihat bandar Srinagar dan airport dikawal sepenuhnya oleh Tentera India, mungkin atas faktor keselamatan.  Sebelum ini ramai juga yang sangsi mengenai soal keselamatan di Kashmir. Kononnya ada bom sana sini. Tetapi sepanjang lawatan kami dari awal hingga akhir tiada apa-apa kejadian keganasan pun yang berlaku.

Kata Pemandu Kenderaan yang kami naiki, kejadian yang digembar-gembur tu jika berlaku pun ianya berlaku di kawasan sempadan Kashmir India dan Pakistan. Amat jauh dari kawasan yang bakal kami lawati. Keadaan tempat yang bakal dilawati sememangnya aman.

Menginap di Houseboat di Tasik Dal

Kami terus dibawa menuju ke Tasik Dal dan berhenti di Gate 17 untuk menaiki Shikara (perahu penumpang yang dihias indah dan tidak menggunakan enjin) menuju ke Houseboat yang terletak di sebelah tebing Tasik Dal. Sebelum menaiki Shikara, terlebih dahulu rombongan kami dipecahkan kepada 4 kumpulan iaitu Group A, B, C dan D.Sesampai di Houseboat baru kami tahu Group A, B,C dan D mewakili 4 houseboat yang akan kami diami. Setiap houseboat mempunyai ruang tamu, ruang makan, ruang dapor kering dan 3 bilik tidur yang lengkap dengan bilik mandi dan tandas. Kecuali Houseboat Group D yang mempunyai 4 bilik tidur.

Betapa riangnya hati kami apabila mendapati keadaan Houseboat yang ibarat sebuah rumah besar yang siap dengan Pelayan merangkap Penjaga Houseboat sekali. Kami terus diberi Makan Tengahari yang dihidangkan oleh Pelayan. Terasa macam jadi Maharaja dan Maharani dalam cerita Hindustan pulak.

Saya lihat jemaah begitu gembira sekali dapat menginap di Houseboat yang berlatar pemandangan indah Tasik Dal yang terbentang luas di depan mata. Tambah seronok Keluarga Cikgu Rohana yang seramai 7 orang kerana diberi satu Houseboat yang menempatkan keluarganya sahaja. Dan sememangnya pun Houseboat amat sesuai untuk keluarga yang ramai. Boleh conquer satu Houseboat.

Melawat Taman Bunga Tulip

Selepas makan tengahari dan menunaikan Solat Jamak di Houseboat, kami sekali lagi menaiki Shikara untuk dibawa ke seberang tebing bagi mendapatkan Kenderaan yang akan membawa kami melawat Taman Bunga Tulip.

Maka sekali lagi kami bergerak secara konvoi untuk ke sana. Setiap Pemandu kenderaan di sana fasih berbahasa Inggeris, jadi tiada masalah komunikasi.

Ketika kami sampai di Ladang Bunga Tulip seluas 60 hektar ada dimaklumkan melalui Papan Tanda bahawasanya di kawasan ini bunga Tulip baru 50% sahaja yang mekar berkembang. Mungkin jika kami datang 2 minggu lagi ladang bunga tulip telah kembang sepenuhnya. Apapun sememangnya pemandangan bunga-bunga Tulip yang pelbagai warna di sini sememangnya cantik dan memukau pandangan.

Kami diberi masa 1 jam untuk menerokai kawasan ini. Maka pada batasan waktu yang berkenaan macam-macam aksi mengambil gambar yang kami lakukan. Dah macam aksi dalam filem Hindustan pulak…saya share beberapa gambar yang menarik di sini…aksi ala-ala filem Bollywood cukup sekadar untuk simpanan kami sahaja…ha…ha…ha…

Ketika sampai di kawasan ini kami dapati ramai pelancung yang menziarahi tempat ini dan ada juga kami temui pelancung dari Malaysia.

Sememangnya pun pada bulan April ketika bunga tulip baru mekar berkembang bilangan pelancung yang datang ke Kashmir meningkat dengan begitu drastik sekali. Tambahan pula suhu tidaklah terlalu sejuk sangat seperti bulan Disember yang lalu.

Kami kembali semula ke Houseboat ketika hari menjelang senja. Maka kami Solat Jamak dan makan malam di Houseboat sahaja. Makanan disediakan oleh pihak pengurusan Houseboat dan disaji sepenuhnya oleh Pelayan Houseboat. Kami nak basuh pinggan pun tak diberi kerana katanya itu dah jadi tugasnya.

Menginap di Houseboat di Tasik Dal sememangnya mengujakan. Di houseboat tidak memerlukan aircond kerana suhu di Tasik Dal sudah sedia sejuk. Nak ambil wuduk pun kena adjust air paip supaya menjadi panas suam-suam. Malah rupa-rupanya ada di kalangan kami yang tak mandi pagi disebabkan suhu yang amat sejuk, walhal ada aje Pemanas Air di bilik mandi.

Sambung lagi untuk cerita seterusnya….insyaAllah