Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.. sambung cerita mengenai pengalaman melawat Kashmir.

Kashmir yang terletak di utara India sememangnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang berbeza dengan wilayah India yang lain. Kashmir yang bermaksud “heaven on earth” amat terkenal sebagai suatu destinasi pelancungan yang mesti dilawati kerana memiliki keindahan alam semulajadi.

Tanggapan masyarakat luar mengenai Kashmir sebagai tempat konflik (krisis India dan Pakistan) atau sarang pengganas menyebabkan ianya seperti tersisih dari kaca mata pelancung Barat. Tetapi pengalaman kami semasa di sana membuktikan Kashmir sebenarnya aman dari segala sengketa perang.

Tempat menarik di Srinagar, Kashmir

Sememangnya bagi yang cintakan keindahan alam semulajadi Kashmir pasti dimasukkan dalam senarai tempat yang mesti dilawati. Pergi banyak kali pun tak pa. Kepada yang belum pernah ke Kasmir adabaiknya saya cerita serba sedikit mengenai latarbelakang iternary mengenainya.

Tasik Dal

Pastinya destinasi paling awal yang diperkenalkan kepada pelancung yang datang ke Srinagar Kashmir ialah Tasik Dal. Ia merupakan lokasi yang paling dominan kepada pelancung sehinggakan Tasik Dal ini dianggap sebagai sumber rezeki utama kepada penduduk setempat melalui aktiviti pelancungan setiap tahun selain limpahan ikan yang banyak dan lain-lain.

Setiap pelancung yang datang ke Srinagar pasti dibawa menginap di Houseboat Tasik Dal sekurang-kurang untuk 1 malam. Ada banyak aktiviti yang boleh ditawarkan kepada pelancung di Tasik Dal. Pada musim sejuk ketika tasik ini membeku ada aktiviti ski dan skating dan pada musim panas pula, pelancung boleh memancing dan berenang. Pelancung juga boleh dibawa dengan Shikara meronda Tasik Dal ini sambil melihat keindahan bunga teratai yang menghiasi tasik ini.

InsyaAllah, kunjungan Ajwa Travel pada bulan Ogos nanti akan dapat menyaksikan keindahan bungai teratai di Tasik Dal.

Selain Tasik Dal, antara tarikan utama semasa di Srinagar, Kashmir ialah menaiki Gondola atau Kereta Kabel menuju ke puncak Banjaran Gullmarg.

Banjaran Gullmarg

Rombongan kami dibawa melawat Gullmarg pada hari kedua di Srinagar. Selepas sarapan, kami terus menuju ke sana dan masing-masing seperti sudah tidak sabar untuk merasa sendiri salji di pergunungan Gullmarg.

Sepanjang perjalanan kami saksikan keindahan pemandangan banjaran gunung yang sudah diliputi salji sepenuhnya di bahagian puncak. Keindahan bukit bukau dan lurah gunung yang dihiasi dengan pokok-pokok Pine yang menghijau menambah seri pemandangan Banjaran Gullmarg.

Sebelum sampai di Gullmarg, kami terlebih dahulu berhenti di suatu tempat untuk menyewa kasut khas untuk berjalan di atas salji. Ketika kami sampai di kawasan ini baru saya mendapat jawapan mengapa bas sememangnya tidak sesuai digunakan sebagai pengangkutan untuk pelancung. Pendakian menuju ke Gullmarg yang berbukit curam dan bengkang bengkong sememangnya lebih mudah dan cepat dengan menggunakan kenderaan MPV sahaja.

Sesampai di Gullmarg, saya saksikan satu pemandangan di kawasan tanah rumput lapang di mana ramai orang tempatan yang menawarkan aktiviti menunggang kuda menyusuri padang rumput yang ada di situ. Oleh kerana fokus kami untuk menaiki Kereta Kabel atau disebut Gondola oleh orang sini, maka kami tak menggalakkan ahli rombongan kami menyewa Kuda yang berkenaan.

Untuk makluman, aktiviti menaiki Gondola ini tergantung juga kepada cuaca pada hari yang berkenaan. Sekiranya hari hujan atau ada tiupan angin yang kencang maka perkhidmatan Gondala dihentikan buat sementara kepada pelancung.

Ketika kami sampai di sini, kami terpaksa menunggu hampir 1 jam sebelum Kaunter Tiket dibuka semula. Alasannya Gondola dihentikan sementara kerana pelancung sudah terlalu ramai yang masuk sebelum ini. Ketika menunggu Kaunter Tiket yang belum buka saya dapati ramai ahli rombongan yang mencari Tandas untuk buang air kecil termasuk saya. Almaklum cuaca sejuk sangat.

Sebaik memperolehi Tiket Masuk maka bersegera kami memasuki kawasan berkenaan dengan penuh rasa teruja. Apa taknya, semua tak pernah merasa salji. Ketika memasuki Gondola dan dibawa ke atas, terbentang luas pemandangan Banjaran Gullmarg yang memutih diliputi salji.

Tiba di Phase 1

Phase 1 ini pada ketinggian 8500 kaki dari paras laut. Sebaik tiba di Phase 1, perkara pertama yang dilakukan semestinya “Group Photo” berlatarbelakang pemandangan Kereta Kabel dan banjaran Gunung Gullmarg.

Kami ditawarkan menaiki “sledge” iaitu sekeping papan yang diduduki oleh pelancung dan ditarik oleh seorang penarik dengan bayaran INR1000 (sekitar RM60). Oleh kerana beriya-iya mereka menawarkannya kepada kami, maka saya dan isteri akhirnya akur juga. Bayangkan kami duduk pada sekeping papan dan ditarik di atas salji. Dah macam tarik Upih Pinang zaman kita kecil dahulu. Nasib baik ketika itu sedang menuruni lembah maka mudah aje kami ditarik ke bawah. Tetapi semasa “sledge” ditarik ketika mendaki bukit saya sampai naik kesian kepada si Penarik yang termengah-mengah kepenatan.

Di Phase 1, saya dapati salji belum sepenuhnya turun (seperti gambar di atas). Ada juga disediakan Warung makan dan minum khusus untuk pengunjung yang datang ke sini. Hajat hati nak order juga minuman panas tetapi pabila melihat terlalu ramai pengunjung yang sedang menunggu pesanan, maka saya batalkan saja hajat di hati.

Kami banyak mengambil gambar-gambar menarik ala-ala aksi filem Bollywood di kawasan ini, tetapi memadai gambar berkenaan sekadar untuk seronok2 dan tak boleh di publish keluar…ha…ha…ha….

Phase 2

Selepas puas berada di Phase 1, maka kami diberi pilihan samada mahu turun atau kekal berada di Phase 1 atau mahu naik Gondola lagi menuju ke Phase 2 pula pada ketinggian 14000 kaki dari aras laut.

Bagi yang mahu ke Phase 2 maka kena beli tiket sendiri kerana Pakej hanya “cover” setakat Caj Masuk ke Phase 1 sahaja.

Kami dimaklumkan puncak Gunung Kinabalu ialah setinggi 12000 kaki dan memerlukan pendakian. Maka  peluang naik Gondola sehingga ke Phase 2 yang melebihi ketinggian Gunung Kinabalu saya anggap satu rahmat besar buat kami. Alang-alang dah sampai jangan berkira soal wang. Yang penting kita enjoy menikmati suasana di sini.

Sebaik sampai di Phase 2 dan keluar dari Gondola tiba-tiba saya rasa semput dan termengah-mengah. Almaklum semakin tinggi sesuatu tempat oksigen semakin berkurang dan udara semakin tipis. Maka saya agak pasif ketika berada di Phase 2 ini, sekadar memerhati dari kejauhan isteri dan yang lainnya bermain-main dengan salji. Siap salji tu dikepal2nya bulat2 macam nak buat ais kepal. Hairan saya..kuatnya menahan sejuk ais salji.

Maka kerja saya hanya sekadar mengambil gambar-gambar pemandangan sahaja sebab tak daya nak jalan jauh..dada rasa tercungap-cungap…mintak nyawa (pinjam kata2 Ahmad Nisfu dalam 3 Abdul).

Untuk makluman, di Phase 1 dan 2 ada juga orang menawarkan mengambil gambar dengan bayaran INR100 (RM6 sekeping gambar) jika tak silap saya. Tidaklah mahal sangat tetapi gambar yang diambil sememangnya cantik kerana menggunakan Kamera Digital tidak seperti kita yang menggunakan HandPhone.

Saya lihat di Phase 2 ada juga orang yang menawarkan kepada pengunjung untuk belajar bermain ski. Pabila ditawarkan saya cuba senyum dan menolaknya dengan baik. Nak bawa diri jalan kaki pun dah termengah-mengah apalagi jika dibawa dengan ski…naik pengsan saya gamaknya…ha…ha..

Agak lama juga kami di Phase 2 dan tak da seorang pun yang ajak pulang. Dalam hati saya tertanya-tanya “mereka semua ni tak lapar ke? Akhirnya setelah terasa seperti hujan rintik-rintik dah nak turun maka kesemuanya bersetuju untuk pulang dan baru bertanyakan soal makan tengahari.

Oleh kerana makan tengahari agak lewat maka lokasi restoran yang dipilih tidak jauh dari kawasan menaiki Gondola tadi. Syukur alhamdulillah restoran berkenaan juga memberi ruang kepada kami semua untuk menunaikan kewajipan Solat Jamak dan Qasar sebelum berangkat pulang.

Jelas terpancar kegembiraan di raut muka masing-masing yang merasa puas bermain dengan salji di puncak banjaran Gullmarg. Sungguhpun perut sudah merasa lapar tetapi masing-masing tetap sabar menunggu makanan yang belum siap sepenuhnya.

Selepas perut dah kenyang dan solat sudah disempurnakan, kami pun bergerak turun dan tidak lupa memulangkan semula kasut yang disewa sebelum ini. Kami tidak terus kembali ke Houseboat sebaliknya menghabiskan masa yang ada untuk membeli-belah di kawasan sekitar Srinagar.

Cukup setakat ni dulu..selepas ni cerita mengenai Pahalgam, insyaAllah..