Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Ketika ini saya baru sahaja selamat menunaikan Umrah bersama Rombongan Umrah yang Ajwa bawa untuk bulan Januari 2015 dengan menaiki Pesawat Saudi yang mendarat di Jeddah dan akan kembali ke Tanah Air dari Madinah pada 27 Januari nanti, insyaAllah. Menariknya rombongan kali ini disertai oleh Kak Ton, seorang Personaliti TV yang popular dengan Tag linenya “comel tak Kak Ton”

anjum hotel

Sekali lagi kami menginap di Hotel Anjum yang bertaraf 5 bintang dan baru memulakan operasinya tahun lepas. Sungguhpun jemaah tidaklah ramai hanya 28 orang sahaja tetapii syukur alhamdulillah jemaah gembira menginap di hotel yang selesa ini. Dan sememangnya Ajwa bertekad semenjak muncul dalam industri Umrah ini untuk memberikan servis yang terbaik kepada jemaah dengan menawarkan hotel yang selesa dan dekat dengan Masjid.  Di Madinah nanti, mengikut perancangan jemaah akan menginap di Hotel Ansar Golden yang paling hampir dengan Masjid Nabawi dan amat dekat bagi jemaah wanita yang ingin memasuki Raudhah.

Mendapatkan jemaah yang ramai dengan Tawaran Harga Pakej Umrah yang lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh Travel Agensi yang lain bukannya mudah. Kebanyakkan dari bakal jemaah terutama yang pertama kali akan mencari Travel Agensi yang menawarkan Harga Paling Rendah. Maka tidak hairan apabila mendapati mana-mana Travel Agensi yang menawarkan Harga Rendah mendapat begitu ramai jemaah.

Kekadang terdetik juga di fikiran untuk menawarkan Pakej Umrah pada Harga Rendah demi mendapatkan Jemaah yang ramai. Tetapi saya tahu untuk “setting” Pakej Umrah Murah ini pastinya akan menempatkan Jemaah di Hotel yang jauh dari Masjid. Dan saya yakin kesudahannya nanti jemaah akan serik untuk ikut Ajwa pada masa akan datang kerana hotel jauh. Maknanya Ajwa hanya dapat jemaah yang ramai tetapi tidak berulang. Cukup sekali sahaja,

Saya mahu jemaah berpuas hati dengan Ajwa Travel kerana memberikan servis yang terbaik kepada jemaah.  Dan yang paling penting saya mahu hubungan Silaturrahim di antara jemaah Ajwa dan saya akan terus berkekalan dan berterusan dan tidak terhenti setakat itu sahaja.

Saya tahu ramai jemaah yang pernah mengambil Pakej Umrah Harga Rendah merasa menyesal dan serik untuk pergi kali kedua dengan Travel Agensi berkenaan. Pelbagai rungutan dari jemaah mengenai apa yang mereka perolehi semasa di Tanah Suci. Dan rungutan yang biasa diluahkan oleh jemaah ialah mengenai jarak Hotel yang terlalu jauh dengan Masjid.

Perkembangan Semasa di Makkah

Kesan dari Proses Pelan Pembangunan Makkah banyak hotel-hotel bertaraf Ekonomi yang telah dirobohkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Jika sebelum tahun 2005 kita boleh dapati hotel-hotel ekonomi ini begitu hampir dengan Masjid tetapi kini hampir tidak ada. Yang masih ada dan belum dirobohkan ialah Hotel Ekonomi pada jarak 200 @ 300 meter ke atas. Itupun tidak banyak.

Tambahan pula Hotel-hotel bertaraf ekonomi ini dikehendaki dari segi undang-0undang untuk mendaftar dengan Kementerian Haji.  Kementerian Haji pula meletakkan syarat bahawa Hotel bertaraf Ekonomi ini mesti  lulus ujian Bomba dan mendapat CF dari pihak Bandaraya.  Tujuannya untuk kebajikan Jemaah Umrah juga.

Mana-mana Hotel bertaraf Ekonomi yang tidak berdaftar dengan Kementerian Haji akan menyebabkan Permohonan Visa Jemaah Travel Agensi yang memilih Hotel berkenaan akan menghadapi masalah.  Boleh jadi juga banyak Travel Agensi yang gagal memperolehi Visa disebabkan oleh hal sedemikian.

Apabila gagal memperolehi Visa bukan sahaja jemaah yang terbabit tidak dapat pergi Umrah tetapi Travel Agensi berkenaan juga akan menanggung beban kerugian yang bukan sedikit. Kerugian Dari segi kos tiket Penerbangan dan juga tempahan hotel di Tanah Suci.

HARAM BARU

Kesan dari penutupan kawasan dalam Masjidil Haram (yang berwarna merah dan kuning di atas) menyebabkan ramai jemaah tidak dapat memasuki Masjidil Haram untuk mendirikan solat Fardhu. Di luar kawasan Dataran Masjid berlaku kesesakan yang luar biasa. Kini terlalu ramai jemaah memenuhi kawasan Dataran Luar Masjid (berhadapan Zamzam Tower atau kawasan Pintu Malek Abdul Azizi( kerana tidak dibenarkan memasuki Haram disebabkan di dalam Masjid juga penuh sesak dengan jemaah.

dataran kaabah

Ketika selesai solat Fardhu berlaku pertembungan di kawasan luar Dataran Masjid di antara jemaah yang ingin keluar Masjid dan jemaah yang ingin memasuki Masjid. Kebanyakkan jemaah seperti memahami keadaan dengan bersabar untuk keluar dan masuk Masjid. Sekiranya ada di kalangan jemaah yang ingin segera atau tolak menolak sesama jemaah pasti keadaan sukar dikawal dan merbahaya terutama jemaah yang berusia lanjut.  Lebih menakutkan jika anak-anak kecil boleh terpisah dengan ibubapa.

Macam mana tak sesak..jemaah yang datang dari arah kawasan Zamzam Tower, Ajyad dan Misfalah hanya tertumpu di kawasan Hijau untuk memasuki Masjidil Haram. Jika dahulu jemaah boleh memasuki Pintu 1 tetapi kini tidak lagi.

Terasa beruntung pula kerana memilih tinggal di Hotel Anjum. walaupun dataran Masjid agak panjang tetapi tidak ramai jemaah yang datang dari arah tersebut. Maka jemaah tidak ada masalah untuk keluar dan masuk Masjidil Haram kerana kawasan berkenaan tidak sesak dengan jemaah, berbanding jemaah yang datang dari kawasan Merah. Hotel Anjum terletak di kawasan yang bersimbol Kaabah pada gambar di atas.

Kabar Mengenai Madinah

Kabarnya bermula bulan April ini, barisan Hotel yang pertama dari kawasan belakang Masjid Nabawi iaitu bermula dari Hotel Oberoi, Al Haram Madinah dan yang berhampiran dengannya akan dirobohkan dalam Pelan Pembangunan Semula Madinah. Termasuk Hotel seperti Ansar Golden, Mubarak Madinah, Bahaudin, Saha, Dallah Taibah dan banyak lagi.

Maknanya hotel yang dekat dengan Masjid Nabawi (kawasan belakang) akan mengalami nasib yang sama seperti Hotel-hotel di Makkah.  Saya masih ingat lagi kali pertama saya menunaikan Umrah tahun 1993 kawasan yang popular bagi jemaah Malaysia ialah di kawasan sebelah kiri Masjid Nabawi yang menghadap Perkuburan Baqi tetapi sudah dirobohkan semasa era tahun 2000 ke atas. Ketika itu hotel-hotel di kawasan belakang Masjid Nabawi baru sahaja dibangunkan tetapi kini sudah mahu dirobohkan pula.

Apa pilihan yang ada ?

Di Makkah, jika mahu hotel yang selesa dan dekat maka kita harus memilih Hotel yang bertaraf bintang. Jika nak yang Harga Rendah maka terpaksa jemaah menerima hakikat hotel yang ditawarkan jauh dari Masjidil Haram. Lebih murah Harga Pakej Umrah bermakna hotel yang ditawarkan juga semakin jauh dari Masjidil Haram.

Bagi jemaah yang uzur dan berusia lanjut, anak-anak kena “standby” wheelchair kerana secara logiknya mereka tidak mampu berjalan jauh. Malah kini sudah ada Petugas yang bervest Hijau di luar Masjidil Haram yang menawarkan khidmat  menolak Jemaah dengan wheel chair untuk balik ke Hotel Jemaah yang jauh dari Masjidil Haram.

Maknanya jika mahu selesa beribadah kena lah memilih Hotel bertaraf bintang. Sebenarnya kita kena membayar lebih untuk mendapatkan harga sebuah keselesaan. Peluang menunaikan Umrah di Tanah suci bukannya selalu. Boleh jadi seumur hidup baru baru sekali dapat peluang. Jadi sebaiknya peluang pertama kali itu menjadi kenangan terindah dalam hidup…bukannya rungutan berbakul-bakul kerana mendapat pengalaman yang pahit semasa di sana.

Jumpa lagi dan Wassalam.