Assalamualaikum wbt.

Menunaikan umrah untuk kali pertama, hukumnya wajib. Sama juga seperti haji, hukumnya wajib untuk kali pertama. Manakala untuk kali kedua dan seterusnya hukumnya sunat. Apabila umrah kali pertama dihukumkan wajib sama seperti haji, maka sewajarnya bagi yang belum pernah menunaikan umrah menanam azam untuk ke sana. Bagi yang punya kemampuan, sewajarnya bersegera untuk menunaikan umrah. Ini kerana umrah tidak ada batasan waktu. Tidak seperti ibadah haji yang perlu dilakukan dalam bulan haji.

Sampai bila kita mahu kejar kenikmatan duniawi. Punya rumah besar, kereta besar, perniagaan yang maju dan kesihatan yang baik. Sementara kita masih muda dan sihat, punya waktu dan kewangan yang mantap, maka amat wajarlah kita selangi kebaikan dunia itu dengan mengingati akhirat. Selama ini kita hidup sentiasa dalam limpahan nikmat Allah. Jika Allah berkehendak, bila-bila masa sahaja kenikmatan dunia itu ditarik balik.

Kebahagiaan hidup yang kita nikmati sekarang ini adalah restu dari Allah. Segala-galanya dari Allah. Kita dapat tidur dan pejamkan mata adalah dengan kehendak Allah. Tidur itu ibarat kematian. Bezanya kita boleh terjaga semula. Dibuatnya tidur, tak jaga-jaga. Bagaimana ? Tanya diri kita sendiri, adakah sudah cukup bekalan yang nak dibawa ke akhirat kelak. Ramai yang kata nak “enjoy” masa muda. Buat maksiat dulu, dah tua nanti baru nak bertaubat.

Sedangkan pada usia muda ini lah sepatutnya kita mengumpul saham akhirat dan menjauhi maksiat. Perbuatan yang kita lakukan setiap hari, lama kelamaan akan menjadi “habit” atau tabiat. Ianya sukar untuk ditinggalkan bila sudah jadi tabiat. Dibimbangi kita nanti tidak sedar, sukarnya nak meninggalkan “habit”. Jika habit yang positif ok juga. Jika yang negatif, bagaimana ? Saya selalu terjumpa dengan orang tua yang masih lagi mengunjungi kedai ekor. Itu pasti habit masa muda yang sampai tua pun masih diamalkan. Hidup dari muda sehingga ke tua bergelomang dengan judi dan maksiat. Hidup dengan rezeki yang haram akan menjauhkan kita dari keberkatan ilahi. Kerana itu hati tidak tenteram kerana sering terlibat dengan dosa.

Maka yang punya kemampuan bersegeralah ke tanah suci. Kita bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Dan lihatlah kehadapan dengan penuh harapan yang kita akan gunakan masa yang masih ada ini dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya solat di Masjidil Haram itu, fadhilatnya ialah 100,000 kali lebih baik berbanding di tempat lain. Jadi apa tunggu lagi. Kita tambah akaun akhirat kita dengan amalan-amalan yang kita lakukan di tanah suci.

Kaabah tersergah indah di tengah-tengah Masjidil Haram

Tanya pada mereka yang pernah ke tanah suci. Apa perasaan mereka saat kali pertama melihat Kaabah ? Selama ni kita solat cuma menghadap kiblat. Sekarang kiblat sudah di depan mata. Sukar digambarkan dengan kata-kata perasaan indah ketika itu. Rasa aman, tenteram, bahagia, selamat, damai semuanya bercampur. Rasa tak nak balik pun ada. Lupa seketika masalah. Saya lihat ada jemaah yang terus menangis bercucuran airmatanya sambil terus sujud tanda syukur dapat melihat Kaabah. Sebak rasa hati saya. Sungguh “touching” sekali.

Jangan takut untuk ke tanah suci andai hidup kita dahulu dicemari dengan dosa dan maksiat. Kononnya tidak dapat melihat Kaabah dan macam-macam lagi kisah yang menakutkan bagi mereka yang belum pernah ke sana. Tambah lagi bila baca kisah-kisah di tanah suci yang menggerunkan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sebelum ke sana, kita solat Taubat dan menyesal akan perbuatan kita yang telah lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, maka Allah akan beri kemudahan semasa kita di sana. Percayalah.

Sampai di tanah suci, menangislah sepuas-puasnya akan kesilapan yang pernah kita lakukan. Allah pasti akan mengampunkan kita jika kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Kita pulang nanti dengan harapan dosa sudah diampuni dan bawa bekalan akhirat yang melimpah ruah. Dan selepas itu hidup kita akan berubah dengan mengamalkan segala apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Tidak semestinya apabila pulang dari tanah suci kita terus bersongkok atau berkopiah. Nak buat pun ok tapi yang penting bukan pakaian yang Allah lihat, tetapi amalan kita yang lebih utama.