Assalamualaikum wbt.

Dalam hubungan kita sesama manusia, bila kita terima hadiah, amat tidak wajar jika tidak ucap terima kasih. Amat tidak wajar lagi jika kita terima hadiah, tetapi tidak ucapkan terima kasih malah menyakitkan hati sipemberi hadiah. Itu kurang ajar namanya. Itu hubungan kita sesama manusia. Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah ?

Kita dapat hidup menghirup udara nyaman dan meraih banyak nikmat, semuanya adalah anugerah dari Allah. Sewajarnya sebagai hamba Allah kita perlu berterima kasih. Dengan cara apa ? Dengan melaksanakan semua perintah Allah dan meninggalkan semua laranganNya. Tetapi adakah kita sudah berterima kasih kepada Allah ?

Melaksanakan perintah Allah amat berat bagi mereka yang hidup bergelomang dengan dosa. Sebab apa ? Sebab Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : ” apabila anak Adam melakukan satu dosa, maka berlaku satu titik hitam di hatinya. Dan apabila dosa itu dilakukan berulang-ulang, lama kelamaan titik-titik hitam itu akan menutup seluruh hatinya sehingga Nur iman tidak dapat menembusi hatinya” . Sebab itu kita selalu lihat orang yang hidup dalam kemaksiatan amat payah melakukan solat. Cahaya iman sudah hilang ! Nauzubillahibinzalik.

Kita bagaimana ? Contoh yang selalu terjadi, ramai yang ambil mudah hal menutup aurat. ” Alah, dosa kecil aje, yang penting dalaman aku baik”. Tetapi kita lupa dengan mengekalkan dosa kecil itu setiap hari, ianya akan menggelapkan lagi hati kita. Sehingga kita sudah terbiasa melakukan dosa setiap hari, sedangkan amal kita amat berkurangan. Akaun akhirat lebih banyak mata negatif, mata positif kurang. Bagaimana kita nak bawa bekalan yang sedikit di akhirat nanti ? Cukupkah nak masuk syurga dengan amal yang sedikit ini ? Sedangkan, semua setuju ajal itu bukan kira usia.

Saya suka beri contoh mudah. Untuk mendapatkan suatu hadiah kecemerlangan akademik, misalnya ianya bukan diperolehi dengan cara mudah. Ianya memerlukan banyak pengorbanan, perlukan kesungguhan dan ketekunan kita mengulangkaji pelajaran sehingga akhirnya kita mendapat “reward” iaitu lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang. Maknanya untuk dapat anugerah kecemerlangan itu, kita kena berusaha mendapatkannya.

Begitu juga, untuk mendapat hadiah syurga Allah bukannya mudah. Kita juga kena berusaha mendapatkannya. Bukan boleh dok diam saja, bak kata orang Utara. Ia juga memerlukan keazaman, kesungguhan, ketekunan kita melakukan amal dan kekuatan dalaman untuk menghindari maksiat. Kata seorang Ustaz, solat 5 waktu yang kita dirikan itu, cukup2 untuk markah lulus periksa saja. Nak cemerlang, kena tambah dengan amalan2 sunat dan menjauhi yang haram, baru dapat markah lebih. Dan jika kita solat pun selalu tinggal maknanya kita tidak lulus periksa. Kita telah gagal dan orang gagal dengan Allah tidak akan dapat masuk syurga.

Jadi apa tunggu lagi ! Jomlah kita tambah amal kita. Amal yang dilakukan dengan mengharapkan redha Allah, pasti akan mendapat ganjaran sebaik-baiknya dari Allah. Hidup ini bukannya lama pun. Sampai bila kita nak kejar kekayaan. Nabi kata, jika diberi segunung emas pun, pasti nak 2 gunung emas lagi. Dan alangkah lebih baik jika kekayaan yang dicari itu diiringi dengan amal kita kepada Allah. Dunia dapat, Akhirat pun dapat.

Jumpa lagi.