Hukum Hakam Umrah – Persoalan Tawaf
25
June
Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali..
Kunci utama dalam ibadah Umrah ialah Tawaf di Baitullah. Tidak sah tawaf bermakna ibadah Umrah juga tidak sah. Ini kerana Tawaf ialah Rukun Umrah yang mesti dikerjakan. Apabila Tawaf tidak sah, maka Saie yang dikerjakan juga jadi sia-sia kerana syarat sah Saie ialah mesti dikerjakan setelah sempurna Tawaf.
Ramai yang merasa ragu-ragu atau was-was samada sah ataupun tidak Tawaf yang dilakukan. Perasaan was-was ini pula timbul setelah selesai Umrah dikerjakan iaitu sesudah jemaah melakukan Tahalul dan berpakaian biasa. Atau ianya timbul setelah jemaah kembali ke Tanah Air. Sebenarnya perasaan was-was atau ragu-ragu dalam ibadah Umrah adalah mainan dan tipu daya syaitan. Jangan dilayan sangat. Sememangnya iblis dan syaitan sedaya upaya berusaha untuk merosakkan amal ibadah kita di Tanah Suci.
Ibadah Tawaf ini nampak mudah tetapi jika kita ambil mudah ianya boleh mengundang masalah. Bagi meleraikan kekusutan ini, ada baiknya kita fahami dahulu pengertian Tawaf.
Makna Tawaf
Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan dimulai dari Sudut Hajar Aswad. Maksud mengelilingi ialah berjalan ke hadapan atau bergerak ke hadapan dengan menjadikan Kaabah di sebelah bahu kiri kita.
Menyentuh Kaabah ketika Tawaf ?
Sekiranya jemaah semasa Tawaf ia berhenti seketika lalu tangannya menyentuh Kaabah seperti menyentuh Rukun Yamani misalnya, kemudian dilepaskan tangan tersebut dari Kaabah lalu ia berjalan semula maka Tawafnya tidak batal.
Yang membatalkan Tawaf sekiranya semasa ia berjalan ia menyentuh mana-mana bahagian Kaabah atau Hijir Ismail. Hijir Ismail juga dikira sebahagian dari Kaabah. Biasa kita melihat jemaah yang sedang Tawaf, tangannya diletakkan di lengkungan Hijir Ismail sambil berjalan. Perbuatan seperti ini menyebabkan Pusingan Tawaf yang berkenaan dikira tidak sah atau batal.
Persoalan Wudu’
Ramai jemaah yang merasa gusar dan bimbang, bagaimana untuk mengekalkan Wudu’ ketika sedang Tawaf. Dalam keadaan sekarang (seperti gambar di bawah) seperti amat mustahil tidak berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita ketika Tawaf.
Sebenarnya semasa menunaikan Umrah atau semasa berada di Makkah dan Madinah, kita dibolehkan untuk menggunapakai pendapat Mahzab Syafie yang ketiga iaitu tidak batal Wudu’ sekiranya berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita selagi tidak diselangi dengan syahwat.
Maknanya ketika sedang Tawaf sekiranya berlaku sentuhan antara lelaki dan perempuan, asalkan tidak diiringi dengan syahwat maka Tawaf kita dikira sah.
Hukum ini telah sepakat dipersetujui dalam Muzakarah Pengkursus Haji oleh Tabung Haji. Bukan setakat ketika Tawaf sahaja, bahkan sekiranya semasa dalam perjalanan ke Masjid (berada di luar hotel) tiba-tiba berlaku sentuhan lelaki dan wanita secara tidak sengaja, ianya tidak membatalkan wudu’ dan jemaah boleh menunaikan Solat seperti biasa.
Niat semata-mata Tawaf
Salah satu syarat sah Tawaf ialah niat bertawaf itu hanya semata-mata Tawaf dan tiada tujuan lain. Maka semasa Tawaf, hati dan perasaan kita seboleh-bolehnya kekal fokus untuk mengerjakan Tawaf semata-mata Tawaf.
Selfie semasa Tawaf
Dewasa ini ramai di kalangan jemaah yang semasa sedang tawaf sambil memegang handphone untuk mengambil gambarnya yang sedang Tawaf. Sekiranya jemaah semasa berjalan Tawaf sambil mengambil gambar ianya tidak membatalkan Tawaf.
Yang jadi kesalahan sekiranya ia berubah niat dengan bergerak ke tempat lain khusus untuk mengambil gambar yang dirasakan cantik. Ketika itu niatnya sudah terpesong iaitu bergerak ke arah lain untuk mengambil gambar dan bukan Tawaf.
Sungguhpun Tawaf tidak batal, dari segi adab aktiviti berselfie sambil berjalan Tawaf dikira tidak manis. Sepatutnya ketika mengerjakan ibadah Tawaf, hati dan perasaan kekal fokus untuk mengingati Allah sambil berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Ini kerana antara saat makbul doa ialah ketika Tawaf di Baitullah.
Menolak Kerusi Roda
Hasrat membawa ibu atau bapa yang sudah tua mengerjakan Umrah adalah amalan yang terpuji dan mulia. Dan biasanya jemaah yang tua dan uzur ini menggunakan Kerusi Roda semasa di Tanah Suci. Bolehkah jemaah sambil ia berjalan Tawaf ia menolak Kerusi Roda yang diduduki oleh orang tuanya atau sesiapa saja?
Jawapannya boleh ! Asalkan ia dapat mengekalkan niat bahawasanya ia sedang melakukan Tawaf sambil menolak Kerusi Roda. Tetapi yang dibimbangi sekiranya niatnya sudah berubah seolah-olah bukan dirinya yang Tawaf tetapi semata-mata menolak Kerusi Roda bagi membantu (si ibu atau ayah atau individu yang di Kerusi Roda tersebut) melaksanakan Tawaf.
Sekiranya bimbang berubah niat, maka ia boleh mengupah orang lain untuk menolak Kerusi Roda semasa Tawaf. Atau ia selesaikan dahulu kerja Tawafnya kemudian baru menolak Kerusi Roda tersebut.
Mencari Rakan Semasa Tawaf
Biasa berlaku semasa Tawaf, jemaah yang datang secara berkumpulan atau ahli keluarga mengerjakan Tawaf bersama-sama. Ketika sedang Tawaf, salah seorang ahli Kumpulan dilihat semakin jauh dari Kumpulan dan jika tidak cepat diambil boleh berkemungkinan terpisah dari Kumpulan dan sesar.
Jika kita melakukan tindakan sedemikian ianya boleh merubah niat Tawaf kita dari semata-mata Tawaf kepada menyelamatkan ahli Kumpulan dari terpisah. Dalam keadaan ini, langkah yang baik ialah menyelamatkan ahli Kumpulan tadi dari terpisah dan kita anggap pusingan berkenaan telah batal (kerana berubah niat) dan kita tambah lagi satu pusingan bagi menggantikan pusingan yang batal tadi.
Harus diingat, semasa Tawaf sekiranya mata kita liar mencari rakan kumpulan yang terpisah boleh mengubah niat Tawaf semata-mata Tawaf kepada berjalan mengelilingi Kaabah untuk mencari rakan yang terpisah tadi. Jika keadaan ini berlaku, maka Tawaf pada pusingan tersebut dikira tidak sah.
Masalah bahu beralih arah
Semasa Tawaf, kita hendaklah memastikan bahu kiri kita sentiasa dalam keadaan bertentangan dengan Kaabah. Jika kita merasa bahu kiri kita telah terpesong dari mengadap Kaabah disebabkan ada jemaah lain yang menolak kita dari belakang, maka bersegeralah kita undur semula dari tempat berlakunya kejadian tersebut.
Jika tidak boleh disebabkan jemaah terlalu ramai dan sesak, maka anggap sahaja pusingan berkenaan batal dan kita tambah satu lagi pusingan bagi menggantikan pusingan yang dikira telah batal tadi.
Masalah membawa anak kecil dan Uncang Kasut ?
Satu lagi syarat sah Tawaf ialah kita mestilah suci dari najis samada pada badan, pakaian dan juga tempat Tawaf. Masalah berlaku bagi jemaah yang membawa atau mendokong anak kecil (masih memakai Pampers). Ketika melakukan Tawaf, sekiranya anak kecil itu kencing (dalam pampers) maka kita dianggap menanggung najis dan Tawaf dikira tidak sah.
Begitu juga dengan masalah membawa bersama Uncang Kasut semasa Tawaf. Sekiranya kasut atau selipar kita ada najis (samada disebabkan terpijak najis atau memasuki Tandas yang kotor), maka ia juga dianggap menanggung najis dan menyebabkan Tawaf kita jadi tidak sah.
Pakaian Ihram kita juga boleh jadi mengandungi najis sekiranya kita tidak berhati-hati menggunakan Tandas di sepanjang perjalanan dari Madinah ke Makkah. Ini kerana boleh dikatakan kebanyakkan Tandas di sana berkeadaan tidak bersih. Jadi sebelum memulakan Tawaf, sekiranya tidak yakin Pakaian Ihram kita masih suci bersih atau tidak maka ada baiknya diganti dengan Kain Ihram yang baru.
Cukupkah 7 pusingan?
Jemaah sering kali merasa was-was samada Tawaf yang dilakukan sudah cukup 7 pusingan atau belum. Yang kesiannya perasaan was-was ini menghantui jemaah sehingga jemaah kembali ke Tanah Air. Dan ada yang mengambil keputusan untuk membayar dam sahaja bagi menghilangkan rasa gelisah dan bimbang takut-takut akan menanggung dosa yang lebih besar lagi.
Satu kaedah yang saya kira berkesan bagi memastikan Tawaf kita cukup 7 pusingan ialah dengan meletakkan 7 gelung getah di sebelah lengan tangan kanan. Apabila selesai 1 pusingan maka 1 gelung getah akan dialihkan ke lengan tangan kiri. Dan begitulah seterusnya sehingga kesemua 7 gelang getah telah beralih ke lengan sebelah kiri. Kaedah ini sebenarnya diberitahu kepada saya oleh Kak Zaiton Hassan (personaliti TV Comel tak Kak Ton) yang selalu bersama Ajwa Travel dalam kunjungan Umrah beliau. Saya kira idea Kak Ton ini praktikal untuk diamalkan.
Tawaf Wada’ (Tawaf Selamat Tinggal)
Tawaf Wada’ (selamat tinggal) dilakukan sebelum kita mahu meninggalkan bumi Makkah. Tidak melakukan Tawaf Wada’ (kecuali yang uzur Syarie) dikira berdosa dan wajib membayar Dam iaitu sembelihan seekor Kambing sekembali ke Tanah Air nanti.
Tidak boleh sembelihan kambing diganti dengan wang tunai. Dan tidak disyaratkan sembelihan kambing tersebut, dagingnya diberi kepada fakir miskin. Jika nak guna makan sendiri pun boleh atau beri kepada sesiapa sahaja seperti jiran tetangga dan rakan-rakan.
Sebelum melakukan Tawaf Wada’, kita kena selesaikan dahulu urusan personal kita seperti membeli belah dan sebagainya. Jika mahu mengambil gambar kenangan berlatar belakang Kaabah, lakukanlah sebelum melakukan Tawaf Wada’. Jika sesudah Tawaf Wada’ kemudian baru nak ambil gambar, maka Tawaf Wada’ tadi dikira batal dan kita kena ulang Tawaf Wada’ sekali lagi.
Kita kena tahu untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Sesudah Tawaf Wada’ jika ianyanya keperluan seperti membuang air kecil atau besar, makan dan minum ianya dibenarkan. Tetapi kehendak kita seperti membeli belah atau mengambil gambar tidak boleh sama sekali.
Kesimpulan
Semoga apa yang dinyatakan di atas dapat memberi lebih pencerahan mengenai Persoalan Tawaf yang tidak boleh dianggap mudah. Sekiranya berlaku juga kekeliruan mengenainya, sebaiknya bertanyalah kepada mana-mana Ustaz yang mahir dalam ilmu Umrah dan Haji. Pada pendapat saya melakukan ibadah Umrah tidaklah sesukar mana. Yang sukar ialah bagaimana kita menjaga adab dan akhlak kita di hadapan Allah semasa di Tanah Suci. Wallahuallam.
Sangat bermunafaat.
Terima kasih Tn Hj Iqbal
sekira nya x sengaja semasa tawaf kita tiba2 berpusing bahu teringat mencari kawan..tp masih menerus kn tawaf saie dan tahalul Sah ke ust..
Ada kh perbuatan itu batal…mohon pencerahan ust
sekiranya saat berpusing bahu kemudian dibetulkan semula pada tempat asal, maka tawaf dikira sah.
Salam, terima kasih & sangat membantu
Assalamualaikum Ustadz saya ingin penjelasan tentang tawaf sunat.
Adakah saya peelu berniat tawaf di miqat setiap kali saya melakukan tawaf sunat. Contoh: Sebelum bersolat subuh saya mengerjakan tawaf sunat. Apa yg saya faham melakukan tawat sunat sebelum solat fardu seumpamanya kita bersolat tahiyattul Masjid. Mohon pencerahan dari Ustadz
waalaikum salam. tawaf sunat tak perlu tempat miqat. berniat sahaja dan terus tawaf hingga cukup 7 pusingan. masuk masjidil haram dengan melakukan tawaf sunat bagi menggantikan solat tahayatul masjid.
Assalamualaikum ustaz, jika jemaah terlupa semasa tawaf(lupa pusingan Ke berapa) pegang hijr Ismail,sesetelah saei n tahallul.kemudian, setelah menyedari kesalahan tersebut, jemaah terus tawaf, saei n tahallul sekali lg. Adalah jemaah dikenakan dam
waalaikum salam..dam kerana sudah menggunting rambut..
Assalamualaikum ustaz,
saya rasa ketika nak tawaf saya tiada wudu sebab keluar keputihan dan angin dibahagian depan. adakah umrah saya sah. sekiranya umrah saya tidak sah, adakah saya dikira masih dalam ihram memandangkan selepas itu saya telah bersama dengan suami?, apakah saya dikenakan dam.
waalaikum salam…jika yakin keluar sesuatu melalui jalan depan atau belakang dan kemudian tawaf maka tawafnya tidak sah dan umrah juga batal…harus membayar dam seekor kambing bagi melepaskan ihram umrah..jika bersama suami di Tanah Suci lebih berat lagi …
AsSalam Ustaz
Dalam umrah sunat semasa tawaf pusingan ke enam tiba tiba saya ditahan oleh saorang jemaah lalu menghulurksn telefonnya dengan maksud untuk mengambil gambarnya. Tanpa sebarang percakapan secara sepontan saya mengambil gambar mereka mengembalikan telefon beliau dan meneruskan tawaf saya.
Saya was was dengan tindakan tersebut mengugurkan fokus tawaf tersebut dan menjadikan umrah saya tidak sah
Seandainya tidak sah apakah tindakan yang harus saya lakukan Adakah saya dikenakan dam
wassalam..tiada masalah…dimaksudkan tawaf ialah kita berjalan bergerak kehadapan mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan..jika terhenti sekejap ambil gambar tidak menjejaskan tawaf..tak perlu bayar dam
Assalamualaikum ustaz,
saya ingin penjelasan tentang membawa bayi ketika tawaf. saya dan suami merancang utk membawa anak lelaki kami yg berusia 9 bulan utk menunaikan umrah nnt. adakah anak lelaki sy perlu disunat? dan jika anak saya tidak disunat dan didukung ketika tawaf adakah sah tawaf kami nnt?
terima kasih
wassalam..dibimbangi kanak2 berkenaan masih ada najis sebab belum disunatkan..dibimbangi tawaf jadi tak sah kerana menanggung najis atas sebab mendukung anak tersebut..sebaiknya disunatkan
Assalamualaikum ustaz,
Saya bercadang ingin mengerjakan umrah awal tahun hadapan bersama suami dan dua orang anak. seorang berusia 1 tahun 5 bulan dan lg seorang 4 tahun. soalan saya:
1) jika sebelum memulakan tawaf saya telah menukar pampers anak yg berusia setahun ini dan sy yakin anak bebas dari najis dan melakukan tawaf dan saie serta bertahalul dengan yakin. tetapi jika ada anak sy terkuar najis tanpa kami sedari dalam waktu mengerjakan umrah. bagaimana dengan itu ustaz.?
2) bagaimana untuk solat berjemaah dengan anak kecil. adakah sy perlu pilih tempat paling hujung atau boleh sahaja anak sy duduk disebelah saya. adakah putus saf.
harap ustaz dapat membantu saya.
terima kasih
waalaikum salam..sebaiknya kanak2 itu disunatkan dahulu..kanak2 belum sunat dibimbangi menanggung najis..jika dah sunat tak da masalah kita solat bersama anak kecil kita di mana2 pun secara bersebelahan