Assalamualaikum wbt. dan Selamat Berpuasa.

masjidil haram 1

Syukur alhamdulillah, semenjak blog ini diadakan saya menerima banyak pertanyaan di ruangan komen mengenai Permasalahan Umrah yang dihadapi oleh ramai jemaah. Sebenarnya saya ni bukanlah pakar dalam hal Hukum Hakam berkaitan Umrah. Jadi ada kalanya saya terpaksa merujuk kepada Ustaz yang pakar bagi menjawab permasalahan Umrah yang saya tidak tahu. Jadi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini ada baiknya juga saya kupas isu-isu semasa berkaitan Umrah yang memerlukan lebih pencerahan.

Rata-rata yang bertanya terdiri dari golongan yang ragu-ragu mengenai sesuatu Hukum berkaitan ibadah Umrah. Samada ibadah Umrah yang dilakukan itu sah atau tidak ? Atau patut dikenakan dam atau tidak ? Dan jika dikenakan dam, bagaimana pula cara untuk menyempurnakannya ?

Persoalan Niat Umrah ?

Niat ialah kerja hati. Dan Niat Umrah ialah Rukun Umrah yang pertama. Tidak sah Umrah jika tidak berniat Umrah. Manakala melafazkan Niat Umrah di Miqat (perbatasan antara Tanah Halal dan Tanah Haram) ialah perkara Wajib Umrah.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Masjid Bir Ali

Perkara Wajib Umrah jika ditinggalkan, Umrah tetap sah tetapi dikenakan Dam. Sebagai contoh, jika jemaah dari Madinah menuju ke Makkah telah terlepas dari Miqat di Bir Ali (belum berniat Umrah), maka jemaah wajib berniat Umrah kerana Niat Umrah ianya Rukun Umrah. Akan tetapi kerana ia tidak melafazkannya di Bir Ali (tempat Miqat), maka ia dikenakan Dam iaitu menyembelih seekor kambing.

Niat Umrah bersyarat

Dilakukan oleh wanita yang bimbang didatangi Haid sebaik sahaja sampai di Makkah. Niat Umrah bersyarat seperti lafaz ” sahaja aku menunaikan Umrah dan berihram dengannya dan jika berlaku keuzuran bagiku, maka HALAL lah aku “. Lafaz niat bersyarat ini membawa maksud selepas ia berniat Umrah dan ketika sampai di Makkah ia didatangi Haid maka ia berlepas diri dari Pantang Larang dalam Ihram. Maknanya dirinya tidak jadi menunaikan Umrah.

Bagi jemaah sedemikian, sekiranya ia ingin menunaikan Umrah semula (setelah suci dari Haid) maka ia harus keluar ke Tanah Halal untuk berniat Umrah. Tempat Miqat yang paling dekat ialah di Tanaem.

Begitu juga sekiranya jemaah wanita ingin menunaikan Umrah dalam masa yang hampir untuk kembali ke Tanah Air (2 atau 3 hari nak balik), maka dinasihatkan supaya berniat Umrah bersyarat. Dibimbangi jika tidak niat bersyarat sebaik ketika mahu melakukan Tawaf, tiba-tiba Haidnya datang dan mustahil untuknya melakukan Tawaf Umrah.

Dalam keadaan ini, jika berlaku maka jemaah tersebut hendaklah menyembelih seekor kambing bagi membebaskan dirinya dari ikatan larangan Ihram. Dam yang dikenakan dipanggil Dam Ihsar.

Wanita yang Haid ?

Bagi wanita yang Haid, sebelum memasuki Makkah samada dari Madinah atau KLIA (dalam kapalterbang) ia wajib berniat Umrah (tidak boleh tidak), sama seperti jemaah yang lain. Bezanya ketika sampai Makkah, ia tidak boleh melakukan Tawaf seperti jemaah yang lain. Ia harus menunggu sehingga telah benar-benar suci. Kemudian barulah ia boleh meneruskan ibadah Tawaf dan Saie.

Dan sekiranya ditakdirkan Haid nya tidak kering sehingga ia mahu meninggalkan Makkah, maka ia berlepas diri dari Pantang Larang Ihram. Jemaah sebegini hendaklah berniat Umrah seperti lafaz niat ” sahaja aku melakukan Umrah dan berihram dengannya dan sekiranya Haid ini tidak kering sehingga aku meninggalkan Makkah, maka halal lah aku “.

Sekiranya jemaah Haid ini tidak berniat bersyarat, maka jika ditakdirkan Haidnya masih lagi ada ketika mahu meninggalkan Makkah, maka ia dikenakan Dam Ihsar iaitu dengan menyembelih seekor kambing.

Persoalan Pantang Larang Dalam Ihram

Selepas berniat Umrah, maka berlaku Perkara Wajib Umrah yang kedua iaitu Meninggalkan Pantang Larang Dalam Ihram. Sekiranya jemaah melanggar salah satu Pantang Larang Dalam Ihram maka Umrahnya masih sah tetapi ia akan dikenakan Dam.

Untuk lebih mudah mengingat, Larangan Dam Ihram boleh dibahagikan mengikut Kategori seperti berikut :-

Aspek Lelaki dan Wanita

Seperti memakai pakaian berjahit (bagi lelaki), menutup kepala (bagi lelaki), menutup muka dan tapak tangan (bagi wanita), memakai sarung tangan (lelaki dan wanita).

Maksud pakaian berjahit ialah pakaian yang bercantum atas sebab dijahit seperti baju dan seluar yang biasa kita pakai, termasuk seluar dalam. Ada yang bertanya Kain Ihram sekarang ini ada yang berjahit. Ianya dibenarkan kerana ianya sekadar jahitan sebelah tepi dan tidak menyambungkan.

Memakai tali pinggang yang dicantumkan semasa Ihram adalah dibenarkan kerana tali pinggang bukan pakaian. Dan tidak jadi satu kesalahan jika tali pinggang tersebut dicangkuk dan dikancing rapat.

Masalah Sandal atau selipar semasa Ihram

Jemaah lelaki hendaklah memakai sandal atau selipar yang menampakkan kelima-lima jari kakinya. Ada pun sandal “croc” atau sandal yang tertutup separuh dan tidak menampakkan cukup kelima-lima jari kaki tidak dibolehkan.

sandal crocSandal Croc tidak dibenarkan

 

Aspek Kecantikan

Seperti memakai bauan wangi, memakai minyak rambut, memotong kuku dan menggunting atau mencukur bulu-bulu yang ada di badan seperti bulu ketiak, misai dan janggut serta bulu ari-ari (kemaluan)

Ramai yang keliru mengenai istilah bau-bauan wangi. Sekiranya penggunaan sabun atau minyak angin atas tujuan kebersihan dan kesihatan ianya dibenarkan dan tidak dikenakan dam. Seperti penggunaan sabun mandi atau minyak Kapak, misalnya.  Yang tidak boleh ialah memakai wangian dengan tujuan untuk berhias diri atau kecantikan.

sabun mandi

Begitu juga dengan masalah gugur rambut. Sekiranya gugur rambut itu tidak disengajakan seperti dalam tidur misalnya, ianya tidak menjadi satu kesalahan. Yang menjadi kesalahan dan dikenakan dam ialah gugur rambut atas sebab perbuatan seperti menyikat rambut atau menggaru kepala sehingga gugur rambut.

Aspek Alam Sekitar

Seperti memotong atau merosakan pokok-pokok di Tanah Haram dan memburu binatang buruan.

Binatang buruan ialah binatang darat liar yang halal dimakan dagingnya. Dalam keadaan sekarang mungkin kita tidak terfikir untuk membunuh binatang buruan di Makkah. Tetapi belalang yang ada di Makkah juga boleh dikategorikan sebagai binatang buruan. Dan jika kita terpijak belalang di Makkah, maka kita boleh dikenakan dam.

Begitu juga bagi mereka yang ada membela burung (dalam sangkar) atau menjalankan perniagaan ternakan rusa, burung Unta dan seangkatan dengannya. Jika mahu menunaikan Haji atau Umrah hendaklah dibebaskan kesemua jenis binatang peliharaan. Jika tidak ia telah melanggar Larangan mengenai binatang buruan dan boleh dikenakan dam.

Ikan dalam kolam atau Aquarium tidak termasuk dalam kategori ini.

Aspek hubungan suami isteri

Iaitu seperti bercumbu-cumbu atau pendahuluan jima’, melakukan persetubuhan (hubungan jima’ suami isteri) dan akad nikah atau hal yang berkaitan dengannya seperti mewakilkan akad nikah.

Adalah dinasihatkan bagi pasangan suami isteri yang menunaikan Umrah hendaklah sentiasa berhati-hati dalam masalah ini. Jika berlaku persetubuhan suami isteri semasa dalam Ihram, maka Umrah atau Haji boleh jadi rosak dan batal.

Begitu juga semasa dalam Ihram, jangan pula suami isteri bergurau senda sehingga boleh menaikkan syahwat. Sungguhpun tidak berlaku persetubuhan tetapi tetap juga dikenakan dam.

Dam atau denda

Jika berlaku pelanggaran dalam Larangan Ihram untuk kesemua aspek atas (kecuali aspek Suami Isteri) maka dam yang dikenakan ialah Dam Tasyir Takdir iaitu jemaah boleh memilih salah satu samada menyembelih seekor kambing atau memberi makan 6 orang fakir miskin setiap seorang 2 cupak yang bersamaan 1 cupak = SR  5 (iaitu SR5 x 2 x 6 orang = SR60) atau berpuasa selama 3 hari.

Mengenai masalah gugur rambut atau memotong kuku, jika 1 helai rambut gugur atau 1 kuku damnya ialah 1 cupak makanan asasi yang mengenyangkan. Jika 2 helai rambut atau 2 kuku, damnya ialah 2 cupak. Tetapi jika 3 helai atau 3 kuku, maka damnya boleh dipilih iaitu Dam Takhir di atas.

Larangan Ihram juga ada 2 jenis iaitu yang menyeronokan dan yang merosakkan.

Maksud menyeronokan ialah seperti memakai pakaian berjahit, menutup kepala, memakai wangian, memakai sarung tangan. Jika dilakukan secara tidak sengaja atau terlupa ianya dimaaf dan tidak dikenakan dam.

Tetapi jika merosakkan seperti memotong kuku, menggunting atau mencukur bulu-bulu pada tubuh badan, jika dilakukan kerana terlupa atau tidak sengaja ianya tidak berdosa tetapi tetap dikenakan dam.

Bagi larangan ihram aspek hubungan suami isteri, sekiranya berlaku hubungan jenis atau Jima’ maka dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor Unta. Manakala Umrah atau Haji yang dilakukan menjadi batal dan rosak. Sungguhpun dikenakan dam sembelihan seekor Unta, sipelaku tetap dimestikan menyempurnakan ibadah Umrah atau Haji seperti Tawaf dan Saie bagi membebaskan dirinya dari ikatan larangan Ihram tadi.

Dam sembelihan seekor Unta hanya dikenakan kepada si suami sahaja, manakala isteri tidak dikenakan dam. Akan tetapi kedua-duanya dihukumkan berdosa.

Dam kerana tidak berniat di Miqat

Dam yang dikenakan ialah sembelihan seekor kambing atau kibasy. Boleh juga 1/7 bahagian dari Unta atau lembu. Jika tidak berkuasa hendaklah ia berpuasa 3 hari di Makkah dan 7 hari apabila telah kembali ke Tanah Air. Jika tidak berkuasa hendaklah ia mengeluarkan 10 cupak makanan asasi bagi 10 hari untuk dibahagikan kepada fakir miskin.

Pembayaran Dam

Bagi sembelihan seekor kambing atas kesalahan melanggar larangan Ihram boleh disempurnakan di Tanah Suci lagi. Semasa sembelihan hendaklah diniatkan sebagai bayaran dam atas kesalahan larangan dalam ihram tersebut.

Begitu juga bagi bayaran dam memberi makan fakir miskin, bilangan cupak makanan itu boleh dinisbahkan dengan duit dan diberi kepada fakir miskin atau boleh diberi kepada orang yang amanah di Tanah Suci untuk menguruskannya.

bersambung….