Asalamualaikum wbt. dan bertemu kembali.

Suasana Kota Banjarmasin sememangnya mendamaikan. Boleh jadi kerana kami menginap di Hotel tepi sungai dan sering  kedengaran bersahut-sahutan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Masjid-masjid dan Surau-surau di kawasan ini. Menjelang Subuh kami juga mendengar bacaan Tahrim dan tidak ada masalah untuk  mengetahui masuknya waktu Solat Subuh kerana kedengaran Azan subuh selain dari “morning call” oleh Pekerja Hotel.

bot banjarmasin

Pasar Terapung Banjarmasin

Aktiviti ini dimulai sesudah kami selesai Solat Subuh. Bermula seawal jam 5.30 pagi, kami telah dibawa menaiki Motorbot menyusuri Sungai Martapura menuju ke Pasar Terapung. Kami harus bergerak awal pagi kerana dikabarkan Pasar Terapung ditutup selepas jam 7 pagi. Menaiki Bot dalam suasana Subuh yang masih gelap benar-benar mengujakan.

sungai4

Perjalanan mengambil masa 45 minit untuk sampai ke tempat tujuan. Dalam perjalanan kami melalui rumah-rumah penduduk Banjarmasin yang didirikan di tepi sungai. Di sepanjang laluan terdapat banyak rumah-rumah Orang Banjar di tebing kiri dan kanan tebing Sungai. Permandangan orang-orang Banjarmasin menggunakan air sungai untuk mandi dan mencuci pakaian merupakan pengalaman menarik bagi kami. Almaklum, kita ni mana ada buat rumah di tepi sungai. Memang jauh berbeza dari kehidupan kita di Malaysia.

mandi sungai

Menariknya, di sepanjang laluan Sungai Martapura di mana banyak rumah-rumah penduduk didirikan di tebing sungai akan kelihatan banyak Masjid dan Surau.  Pastinya masyarakat di sini berpegung teguh dengan ajaran Islam.

masjid sungai

Akhirnya kami sampai di tempat tujuan dan kelihatan beberapa buah perahu pedagang menghampiri bot-bot Pengunjung untuk menjual hasil dagangan mereka. Bermacam-macam jualan hasil tanaman seperti buah-buahan, pisang, barangan kraf Banjarmasin dan yang menjual makanan pun ada.

pasar terapung2

Lucunya apabila melihat ahli Rombongan memancing makanan seperti kuih muih yang dijual dari bot yang dinaiki ke Perahu Pedagang. Sempatlah kami bersarapan dalam Bot kami dengan menikmati kuih muih dan minuman Panas. Syukur alhamdulillah.

pasar terapung breakfast

Setelah puas berada di Pasar Terapung, kami pun berangkat pulang ke Hotel. Yang bestnya, bot yang kami naiki betul-betul menurunkan kami di kawasan Hotel. Kami seterusnya bersarapan Pagi sekali lagi di Hotel sebelum naik ke bilik untuk berehat seketika.

tebing hotel

Membeli belah di Banjarmasin

Oleh kerana Banjarmasin bukanlah Kota Pelancungan, maka tidak banyak tempat menarik untuk membelibelah berbanding kota lain seperti Jakarta dan Bandung. Tambahan pula tempat yang kami singgah banyak menjual pakaian batik Indonesia, maka saya tidak berminat untuk membeli belah.

Mungkin jika ada yang menarik ialah tempat menjual makanan kering Banjarmasin. Dan pastinya Ikan Sepat Ronggeng (yang sudah digoreng dan ada yang mentah) menarik minat kami. Al-maklum sejak dah seronok meratah Ikan Sepat Ronggeng di tempat-tempat makan yang kami singgah, maka membelinya sudah jadi satu kemestian. Rasa menyesal tak beli banyak bila balik Malaysia kerana di tempat kita harganya memang amat mahal.

barito3

Jambatan Barito

Sungai Barito adalah nadi kehidupan Banjarmasin. Kami dibawa melawat Jambatan Barito  sepanjang 1800 meter.  Dalam hati saya berkata, “punya la luas dan lebar sungai Baroto ni”. Jika panjang Jambatan Barito 1.8 km, berapa lebar pula sungai Barito ni ? Kata Pak Yusuf “Tour Guide” kami, Banjarmasin terdiri dari 40% kawasan mukabuminya  ialah air.

barito

Kami diturunkan seketika di tengah-tengah Jambatan Barito. Sayupnya  permandangan dan rasa gayat pun ada apabila mendapati di bawah kami ialah Sungai Barito yang amat luas. Malah di bawah kami ialah pulau yang terdapat di tengah-tengah Sungai Barito.  Hanya sebahagian dari kami sahaja yang turun, manakala ahli-ahli Rombongan yang lain memilih untuk kekal duduk di dalam bas.  Tak berani lah tu ! Oleh kerana laluan jalan di Jambatan Barito hanya satu lorong di kiri dan kanan maka Bas memang tidak boleh parkir di atas Jambatan.

dinner3

Kami akhiri lawatan pada hari ke-3 dengan makan malam di suatu tempat yang begitu romantik sekali. Kawasan restoran ini macam Taman di mana didirikan bangunan seperti Pergola yang dikelilingi oleh tasik atau kolam buatan sendiri. Memang cantik dan mengasyikkan.

dinner4

Syukur alhamdulillah rata-rata ahli Rombongan amat gembira dan berpuas hati dengan layanan yang diperolehi di sepanjang Program Lawatan ke Banjarmasin. Pastinya kenangan manis lawatan ke Banjarmasin akan menjadi satu sejarah dalam hidup yang sukar dilupakan.

Terima kasih kepada wakil Ajwa di Indonesia iaitu Pak Dap yang sama-sama turun gelanggang melayani kami dengan memberikan servis yang saya kira terbaik. Juga terima kasih kepada Tour Guide Pak Yusuf kerana berjaya memberikan penerangan yang menarik mengenai Banjarmasin dan adakala diselang-seli dengan cerita-cerita lucu mengenai masyarakat Banjarmasin. Sememangnya kami merasa amat terhibur di sepanjang perjalanan lawatan kami dek celoteh Pak Yusuf dan juga Pak Dap yang melucukan.

Dan selepas ini, rata-rata ramai ahli rombongan yang sudah berpakat untuk menziarahi Makam Wali Songo pula. InsyaAllah Trip Melawat Surabaya akan saya setting pada awal Disember cuti sekolah nanti.

Sekian dan wassalam.