Assalamualaikum wbt.

Baru-baru ini ada seseorang menghubungi saya menyatakan kekesalannya kerana Pakej Umrah yang diambil kini telah dinaikkan harga oleh Penganjur Pakej. Saya memahami perasaan Pemanggil tadi dan bersimpati dengannya. Tetapi sebenarnya masih ramai yang tidak mengetahui atau percaya mengapa sesuatu Pakej Umrah itu dinaikkan harga ?

makkah satalite

Sememangnya Jemaah tidak suka akan kenaikan harga ini. Mereka merasakan ianya tidak sepatutnya berlaku. Tetapi sebelum menuding jari menyalahkan sesiapa, ada baiknya kita fahami dahulu mengapa perubahan harga boleh berlaku.

Sebenarnya banyak perkara luar jangka yang selalu berlaku dalam Pengurusan Umrah. Semoga apa yang bakal disampaikan ini boleh memberikan kefahaman kepada bakal-bakal jemaah.  Bila kita dah faham maka barulah boleh buat keputusan samada menerima atau tidak kenaikan harga tersebut. Yang pasti tidak ada Agensi atau Penganjur Pakej Umrah yang sanggup rugi.

Saya percaya kebanyakkan Penganjur Pakej tidak berniat untuk menipu Jemaah atas kenaikan harga tersebut. Seboleh-bolehnya Penganjur cuba mengekalkan Harga Pakej dan tidak meminta tambahan kos dari jemaah. Tetapi sekiranya perubahan atau kenaikan kos tersebut terlalu tinggi maka suka atau tidak, Penganjur Pakej terpaksa juga memaklumkan kepada Jemaah.

Kenaikkan Harga Tiket Penerbangan

Harga Tiket Penerbangan meliputi lebih dari 50% kos Umrah. Apabila berlaku kenaikan harga tiket sememangnya ianya mengundang masalah kepada Penganjur Pakej untuk mengekalkan harga lama. Ada kenaikan sehingga RM500 dan ke atas. Macam tak caya ! Begitu mudah mereka menaikkan Harga, terutama pada “Peak Season” atau Cuti Sekolah. Jika kita lepaskan “booking” maka seat akan diambil oleh pihak lain yang bersetuju dengan harga baru tersebut.

Apabila berlaku kenaikan sebegini, maka terpaksa Penganjur Pakej memaklumkan kepada Jemaah akan kenaikan Kos tersebut. Jika dikekalkan harga lama, maka Penganjur Pakej pula yang akan menanggung kerugian nanti.

Bagi Penganjur Pakej yang tidak mahu menaikkan Harga, sebagai alternatif akan mencari Pesawat lain pada harga budget asal mereka. Tindakan ini mengurangkan tekanan kepada Jemaah.  Yang penting hal ini harus dimaklumkan kepada Jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.  Jika dimaklumkan semasa di Airport mungkin boleh timbul masalah.

Kenaikkan Harga Bilik Hotel

Sebenarnya harga bilik-bilik Hotel di Makkah dan Madinah belum lagi dikeluarkan sekarang. Biasanya harga hotel yang baru hanya keluar selepas sebulan dari selesai musim haji. Harga Pakej yang ditawarkan biasanya menggunakan harga lama dan mungkin ditambah 10% kenaikan.

Dan apabila harga bilik dikeluarkan didapati ianya melebihi dari jangkaan budget asal., maka biasanya Penganjur Pakej seboleh-bolehnya akan mencari hotel alternatif bagi mengekalkan Kos Umrah Asal. Tetapi sekiranya kenaikan tidaklah terlalu material, kos kenaikan tersebut ditanggung oleh Penganjur Pakej sendiri. Atau sebahagian kenaikan ditanggung oleh Penganjur Pakej dan sebahagian ditanggung oleh Jemaah sendiri.

Nilai Tambah dalam Kualiti Pakej

Nilai Tambah dalam Pakej Umrah pastinya melibatkan kenaikan kos. Nilai Tambah bermaksud berlaku penambah baikan dalam kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Contohnya, ” Upgrade flight ” iaitu perubahan dari flight yang jenis transit atau “tambang murah” kepada jenis flight terus ke Madinah. Sudah pasti harga tiket flight “direct” lebih tinggi dari jenis flight “transit” atau jenis tambang murah.

Mungkin juga jenis hotel diubah kepada standard yang lebih baik dan dekat pula dengan Masjid. Sudah pasti harga hotel yang hampir dengan Masjid lebih mahal berbanding dengan hotel yang jauh dari Masjid.

Nilai Tambah dalam Pakej Idaman Ajwa

Sebelum ini, Hotel bertaraf 5 bintang iaitu Hotel Anjum di Makkah (hotel Pakej Idaman Ajwa) ditawarkan pada harga RM6800 (hanya bilik dan breakfast sahaja untuk jemaah). Tetapi apabila pihak Hotel Anjum memberi syarat harus mengambil sekurang-kurangnya “halfboard) iaitu boleh pilih samada mahu ambil “lunch” atau “dinner” , maka tindakan ini pastinya meningkatkan kos.

Jika kos sekali “lunch” atau “dinner” di Hotel Anjum pada kadar RM75 seorang dan didarab dengan bilangan hari di Hotel Anjum, maka kenaikan kos boleh menjadi RM525 seorang. Maka Ajwa membuat keputusan jemaah hanya perlu membayar tambahan RM300 menjadikan Harga Pakej Idaman menjadi RM7100 seorang sahaja manakala baki RM225 ditanggung oleh Ajwa. Yang penting jemaah dapat menginap di Hotel Anjum yang dekat dan selesa.

Maknanya jika sebelum ini jemaah Ajwa menginap di Hotel Anjum dengan bersarapan pagi setiap hari, kini ditambah pula dengan Makan Tengahari di Hotel Anjum yang sebelum ini tidak ditawarkan dalam Pakej.

Kenaikan Kos Memproses Visa

Berlaku kenaikan kos Visa Umrah ketika musim Ramadhan baru-baru ini. Oleh kerana kouta Umrah dikurangkan pada Ramadhan yang lepas, maka pihak Muasasah telah menaikkan kos memproses Visa yang biasanya antara RM250 – RM300 kepada RM500 dan ke atas. Apabila keadaan ini berlaku, maka Penganjur Pakej ada yang meminta tambahan kos ini dari jemaah.

Kesimpulan

Sebagai Penganjur Pakej, saya akui bahawasanya jemaah tidak suka akan kenaikan harga Pakej. Kerana itu seboleh-bolehnya Ajwa cuba untuk mengekalkan Harga Pakej seperti Pakej Umrah Ekonomi dan Super Ekonomi. Dan sebelum ini pun belum pernah Ajwa meminta tambahan kos dari jemaah walaupun berlaku kenaikan kos seperti Visa dan sebagainya.

Tetapi sekiranya ianya di luar kawalan dan kemampuan Ajwa, seperti untuk Pakej Umrah Idaman maka kos kenaikan tersebut akan sebahagiannya ditanggung oleh Ajwa sendiri.  Tambahan pula kenaikan kos yang berkenaan melibatkan hal makanan jemaah di Hotel Anjum yang sebelum ini tiada dalam Tawaran Pakej.

Semoga penerangan di atas dapat merungkai permasalahan mengapa berlaku kenaikan pada Harga Pakej. Yang penting jemaah memahami dahulu mengapa ianya terjadi. Jika boleh terima dan berlapang dada, maka boleh teruskan niat pergi Umrah dengan Agensi yang berkenaan. Tetapi sekiranya tidak boleh terima kerana alasan yang diberi tidak munasabah, maka sebagai Pengguna kita ada hak untuk menolaknya dan mohon undur diri dari Pakej yang berkenaan.

Pada hemat saya, Penganjur Pakej harus berterus terang sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam Pakej Umrah yang ditawarkan. Walaupun mungkin boleh mengundang marah jemaah kerana perubahan ini tetapi saya yakin sikap jujur dan amanah dari Penganjur Pakej itu lebih baik dan mulia dari sengaja menyembunyikan fakta kerana takut kehilangan jemaah atau pelanggan.

Wassalam.