Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah Pakej Umrah Idaman yang saya ilhamkan semakin mendapat sambutan. Dan saya menerima banyak email yang bertanyakan pakej untuk musim akan datang iaitu 2013, malah ada yang nak booking untuk musim 2014. Sebutharga untuk musim 2013 belum dikeluarkan lagi. Malah kedengaran ura-ura visa Umrah untuk musim akan datang dibekukan atau dikurangkan atas alasan kawasan di dataran Kaabah akan dibuat kerja-kerja tambahan platform untuk jemaah tawaf. Apapun berita ini belum sahih lagi..

Ke arah mana hala tuju Pakej Umrah Idaman ini ?

Matlamat utama sesuatu perniagaan itu ialah untuk memaksimakan keuntungan. Termasuk dalam perniagaan berteraskan aktiviti pengurusan Umrah. Cuma cara mana kita bertindak banyak bergantung kepada falsafah kita dalam hidup dan juga apakah “goal” kita yang sebenarnya. Sebagai seorang ahli perniagaan tulen atau seorang yang “business minded” tindakan yang dilakukan dalam menangani sesuatu permasalahan sudah pasti tidak sama dengan seorang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan Umrah, kita boleh dapati banyak contoh-contoh tindakan yang dilakukan menzahirkan apa yang bersarang dalam benak fikiran kita. Sebagai contoh mudah, kita kategorikan Lelaki 1 (Pertama) sebagai seorang yang bermatlamat keuntungan semata, dan Lelaki 2 (Kedua) ialah seorang yang meletakkan kebajikan jemaah sebagai matlamat utama dan keuntungan duniawi hanyalah sebagai hadiah dari Allah. Dan sebagai jemaah sebenarnya kita selalu tidak sedar permasalahan yang berlaku kadang2 disebabkan sikap kita terhadap orang lain dan malah menyalahkan orang lain pula.

Saya suka beri contoh satu peristiwa yang sama tetapi berbeza tindakan yang dilakukan oleh 2 orang yang berbeza.

Kes 1 – Sambutan Petugas Muasasah di airport

Sudah menjadi kemestian Petugas Muasasah Arab Saudi akan menyambut ketibaan jemaah di airport dan memastikan segala urusan bagasi dan jemaah berjalan dengan lancar. Tiba-tiba Petugas Muasasah ini meminta “baxis” atau wang hadiah dari Ketua Rombongan. Apa yang perlu kita lakukan ? Lelaki 1 sudah pasti tidak melayan permintaan Petugas Muasasah tadi kerana merasakan ianya tidak perlu dan juga jika diberi ini akan meningkatkan kos operasi. Tetapi Lelaki 2 tiada masalah untuk memberi kerana menganggap sumbangan kecil beliau sebagai sedekah atau hadiah. Dengan niat semoga sumbangan ikhlas beliau yang kecil ini mudah-mudahan Allah akan permudahkan perjalanan rombongan Umrah beliau.

Kes 2 – Petugas Hotel di Madinah dan Makkah menghantar bagasi jemaah ke bilik-bilik

Selepas selesai tugas penghantaran bagasi jemaah, biasanya Petugas Hotel ini (biasanya Bangladesh) akan meminta sumbangan wang atas kerja yang ia dan rakan-rakannya lakukan. Bagaimana dengan sikap kita sebagai Ketua Jemaah. Kita boleh memilih untuk tidak menyumbang apa-apa kerana menganggap sudah menjadi tugas mereka menguruskan kemasukkan ke hotel berkenaan. Tetapi Lelaki ke2 pasti akan menyumbang sesuatu sebagai tanda terima kasih atas pertolongan yang diberikan oleh pekerja hotel tadi. Sudah pasti Lelaki ke2 ini disukai oleh petugas-petugas hotel selepas ini dan segala pertolongan yang diminta dengan segera ia akan ditunaikan.

Kes 3 – Lawatan ke Kilang Mencetak al-Quran di Madinah

Kelazimannya aturcara lawatan di Madinah tidak memasukkan lawatan ke Kilang Mencetak al-quran dalam Iternary Program. Malah pemandu bas sendiri enggan untuk ke Kilang tersebut kerana menurutnya ianya tiada dalam senarai tempat-tempat yang perlu dilawati. Jika mahu pergi juga, maka pemandu bas akan minta “baxis” dan biasanya SR200 untuk ke sana. Apa tindakan kita ? Lelaki 1 akan memberi alasan pemandu bas enggan membawa jemaah ke sana kerana tidak mendapat permit atau alasan-alasan lain yang dirasakan munasabah. Tetapi Lelaki ke-2 tiada masalah memberikan “baxis” SR200 seperti yang diminta. Yang penting jemaah dapat menziarahi kilang mencetak al-Quran tersebut dan membawa pulang senaskah al-Quran yang diberi percuma. Dan sudah pasti lawatan ke kilang berkenaan menggembirakan jemaah.

Kes 4 – Menguruskan kepulangan jemaah di airport

Sampai sahaja di airport samada Terminal Haji atau Terminal Antarabangsa, bagasi yang berada di perut bas perlu dikeluarkan untuk dibawa masuk bagi urusan “check in”. Biasanya Lelaki 1 akan membiarkan jemaah mengambil sendiri bagasi masing-masing dan jemaah sendiri harus mencari troli bagi tujuan tersebut. Ini yang selalu berlaku. Tetapi Lelaki ke-2 akan mengupah beberapa orang Petugas Airport untuk mengangkut kesemua bagasi yang berada dalam perut bas termasuk air zam-zam manakala jemaah hanya memerhatikan sahaja dan terus masuk ke dalam bangunan terminal.

Sebenarnya banyak contoh-contoh lain yang berlaku dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan jemaah di tanah suci yang boleh memberikan impak kepada kebajikan jemaah secara keseluruhan. Bagi yang mementingkan keuntungan semata-mata dengan cuba meminimakan kos operasi akan bertindak seperti Lelaki 1 tadi. Tetapi bagi yang mementingkan kebajikan jemaah dan demi memastikan jemaah berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan akan mencontohi tindakan Lelaki ke-2 pula. Sungguhpun secara zahir tindakannya mengurangkan keuntungan syarikat tetapi keuntungan yang hakiki ialah keberkatan dari usaha ikhlasnya selama ini.

Kenapa saya utarakan isu di atas ? Saya mahu jemaah memahami kekadang sesuatu perkara yang terjadi itu bertitik tolak dari tindakan kita yang lepas. Boleh jadi ketika kita mula sampai di hotel, nak masuk ke bilik prosesnya mengambil masa yang lama dan bagasi kita juga tidak sampai ke bilik. Ada yang hilang terus dan ada yang terpaksa kita ambil sendiri di lobi hotel. Boleh jadi hal ini terjadi disebabkan oleh sikap Lelaki 1 sebelum ini yang sombong dan kedekut dengan Petugas Hotel, maka kesannya jemaah terkemudian yang merasai akibatnya.

Kemesraan sesama jemaah jelas terpancar di raut wajah jemaah apabila mereka berpuashati dengan perkhidmatan yang kita berikan

Sebagai Pengendali Pakej Umrah, saya lebih suka memilih pendekatan Lelaki ke-2 dalam hal yang bersangkutan dengan pengurusan jemaah di tanah suci. Wang ringgit boleh dicari tetapi saya selalu mengharapkan keberkatan dalam usaha saya menguruskan jemaah. Apabila jemaah pulang dengan membawa Haji yang Mabrur atau Umrah yang Maqbul, hasil dari usaha kita yang sedikit membantu menguruskan jemaah sebenarnya saya juga mendapat sedikit saham Akhirat darinya. Hubungan silaturrahim masih berjalan terus walaupun setelah kembali ke tanah air. Dan itu yang lebih utama daripada memikirkan soal keuntungan duniawi yang sedikit.

Ayah saya selalu berpesan, katanya Nabi s.a.w bersabda  “barangsiapa yang mahu dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezekinya hendaklah dia selalu menjalin silaturrahim”. Dan alhamdulillah sikap itulah yang saya selalu amalkan.