Assalamualaikum wbt.

Perniagaan Umrah adalah suatu bentuk perniagaan yang mengujakan. Ini kerana kita membantu impian orang untuk datang ke tanah suci. Maka ramai yang berminat untuk menceburi bidang ini kerana boleh ke tanah suci selalu. Tetapi menguruskan jemaah tidak semudah ABC. Untuk mendatangkan jemaah ke syarikat melalui promosi Umrah besar-besaran misalnya tidak sama dengan kerja menguruskan jemaah-jemaah tersebut. Ia adalah 2 perkara yang berbeza. Kerana itu kita selalu mendengar rungutan dari jemaah yang menyertai pakej Umrah sesebuah syarikat yang terlalu ramai bilangan jemaahnya.

Saya selalu set dalam minda supaya melayan jemaah Umrah yang masuk daftar melalui saya seperti anak-anak saya sendiri dan bukannya pelanggan. Layanan seorang ayah terhadap anak-anaknya pasti berbeza dengan layanan seorang Pengusaha travel terhadap pelanggannya. Seorang ayah akan melayan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Manakala Pengusaha syarikat akan melayan pelanggannya tertakhluk kepada terma dan syarat-syarat yang termaktub dalam tawaran pakej Umrah. Dan tidak lebih dari itu. Sedangkan di pihak jemaah mereka mengharapkan layanan yang istimewa apabila menyertai sesuatu pakej.

Bermula dari proses mendaftar lagi, jika boleh jemaah lebih suka saya berjumpa dengan mereka daripada mereka datang ke pejabat. Tambahan lagi jika rumah kediaman atau pejabat mereka jaraknya jauh dari pejabat saya. Dan saya biasanya tiada masalah untuk berjumpa bakal jemaah di mana2 tempat yang ia suka..Mafi musykilah bak kata orang Arab. Dan ada juga jemaah yang memohon supaya kursus Umrah diadakan di tempat mereka. Yang ini juga tiada masalah jika anggota rombongan Umrahnya ramai. Saya faham mungkin disebabkan oleh kongkongan masa dan tugas serta jarak jauh menyulitkan untuk bakal jemaah datang ke pejabat saya. Dari dulu lagi saya biasa berjumpa dengan bakal jemaah di rumah atau pejabat mereka. Malah pada waktu malam juga saya tak kisah. Saya datang berjumpa mereka kerana mereka ada hajat dan niat untuk menunaikanUmrah bersama saya. Tak da salahnya saya datang pada waktu malam jika masa itu yang sesuai. Lagipun menunaikan hajat dan impian orang adalah satu kerja mulia.

Syukur alhamdulillah mereka yang sudah mengenali atau baru mengenali saya lebih suka jika saya yang mengetuai rombongan Umrah mereka. Saya pun begitu juga. Pada mereka jika saya ada sekali, mudah untuk mereka merujuk kepada saya jika ada masalah. Seperti yang saya maklumkan awal tadi, seorang anak akan lebih mudah dan tidak malu untuk meminta sesuatu dari Ayahnya berbanding dengan orang lain seperti Pakciknya. Dan sebagai seorang Ayah pasti akan melayan anak-anaknya sebaik yang mungkin. Sebagai contoh, hasrat ramai jemaah yang ingin mendaki Jabal Nur. Dalam iternary tiada tercatat aktiviti ini. Sebagai ayah yang melayan kehendak anaknya, maka diadakan satu aktiviti tambahan bagi memenuhi hasrat jemaah yang berkenaan. Tetapi jika ikut buku, tidak melayan kehendak jemaah tersebut bukanlah satu isu besar kerana sememangnya tidak dijanjikan program yang berkenaan. Dalam keadaan ini pasti jemaah berkenaan akan hampa dan kecewa.

Semasa di tanah suci, jemaah hanya menjalankan aktiviti ibadah di masjid dan kembali ulang alik ke hotel. Aktiviti yang ada ialah ziarah Madinah, ziarah Manasek dan ziarah Hudaibiyah di Makkah. Kebiasaannya itulah aktiviti yang biasa dikendalikan oleh Pengendali Pakej Umrah. Sedangkan pada hemat saya, jemaah juga perlu diberi pendedahan mengenai budaya masyarakat Arab di sana. Contohnya aktiviti berrehlah pada waktu malam dengan jamuan makan Nasi Mandy. Pasti program ini menggembirakan jemaah kerana belum pernah merasa pengalaman sebegini. Begitu juga ramai jemaah yang teringin melawat Bandar Jeddah. Aktiviti tambahan sebegini pasti meningkatkan kos semasa di sana. Benar, aktiviti-aktiviti sebegini tidak dijanjikan oleh Pengendali Pakej dan tiada dalam aturcara program. Tetapi apa la sangat tambahan kos yang tak seberapa jika dibandingkan dengan kepuasan hati jemaah dari program tambahan yang dibuat.

Jumpa lagi insyaAllah.