Assalamualaikum wbt.

Setiap bakal Haji atau Hajjah pastinya mengingini untuk mendapat Haji Mabrur. Maka lazimnya sebelum mengucapkan Selamat Jalan kepada saudaramara, rakan-rakan dan taulan mesti diiringi dengan ucapan perpisahan ” doakan aku ye supaya mendapat Haji Mabrur”. Nabi memberitahu tiada balasan lain bagi Haji Mabrur kecuali Syurga”. Semua orang mengimpikan Syurga Allah, tetapi cuba kita renong sejenak, adakah amalan yang kita lakukan selama ini boleh melayakkan kita untuk mendapat Syurga Allah ?

tawafhaji

Saya selalu percaya sesuatu kejayaan yang cemerlang dan gemilang itu pasti memerlukan kerja keras dan bersungguh-sungguh. Bukan buat sambil lewa sahaja. Begitu juga untuk mendapat Syurga Allah dan Haji Mabrur juga pasti ada beberapa prasyarat utama yang tidak boleh tidak setiap Jemaah Haji mesti memilikinya. Tetapi sungguhpun demikian tiada siapa pun yang boleh mendakwa ia telah memperolehi Haji Mabrur. Ini kerana Mabrur atau tidak haji kita, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Apa itu Haji Mabrur ?

Haji Mabrur ialah ibadah Haji yang diterima oleh Allah kerana ianya dilaksanakan dengan memenuhi segala rukunnya, wajibnya dan adab-adabnya. Ibadah Haji yang diterima oleh Allah sudah pasti mempunyai nilai terbaik sehingga dapat meningkatkan nilai akhlak dan peribadi si pelakunya menjadi seorang Muslim/Muslimah dan Mukmin/Mukminah yang baik.

Kejayaan memperolehi Haji Mabrur mesti bertitik tolak dari mempunyai sekeping Hati yang bersih. Ini kerana segala amal perbuatan kita samada baik ataupun tidak, bermula dari gerakan kata hati kita. Seperti mana Nabi berpesan dalam tubuh badan manusia ada segumpal daging, jika ianya baik maka baik lah amalannya, begitu juga sebaliknya. Dan ketahuilah itulah dia hati.

Mungkin ada beberapa nasihat yang boleh kita kongsi bersama kearah matlamat memperolehi Haji Mabrur. Saya kira entry terdahulu di bawah tajuk Sifat Terpuji Yang Harus Ada Pada Tetamu Allah dan Sifat Yang Perlu Dijauhi Oleh Tetamu Allah juga boleh membantu Jemaah Haji ke arah memperolehi Haji Yang Mabrur, insyaAllah.

Niat kerana Allah

Sebelum berangkat ke tanah suci, Jemaah Haji mesti set dalam minda bahawa segala amal ibadah yang dilakukan mesti ikhlas kerana Allah dan bukan mengharapkan pujian makhluk. Bukan ada niat untuk bermegah-megah untuk mendapatkan gelaran ‘Haji” ataupun “Hajjah”. Teringat kisah jemaah haji terdahulu yang sebaik sahaja selesai Kerja Haji mereka, maka mereka menambahkan ‘title” Haji di pangkal nama mereka pada kertas maklumat jemaah di depan Pintu Bilik mereka. Malah ada jemaah Haji yang sekembali dari Mina memarahi Petugas kerana tidak memanggil mereka dengan gelaran Haji di pangkal nama mereka. Yang lebih dasyhat ada jemaah Haji yang sebaik kembali ke tanah air terus ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menambah “title” Haji di pangkah nama mereka dan marahkan pihak JPN kerana tidak membenarkan ia berbuat demikian.

Cuba pesan pada hati ” Ya Allah, aku datang ke sini semata-mata untuk berserah diri kepadaMu. Segala amal ibadah yang kulakukan semata-mata mengharapkan keredhaanMu. Siapalah aku ini andai Dikau tidak menerima segala amal ibadah yang kulakukan. Ya Allah, Engkau terimalah segala permohonan aku ini, terimalah doaku, terimalah amal ibadahku dan ampunilah dosa-dosaku.” Saya selalu percaya bisikan-bisikan dalam hati ini boleh memotivasikan diri kita untuk kuat beramal ibadah semasa di sana nanti.

Amalkan Sikap Baik Sangka

Sikap baik sangka kepada Allah dan juga sesama manusia mesti ada dalam diri setiap Jemaah Haji. Kita kena yakin bahawasanya Jemaah Haji ini telah dipilih oleh Allah untuk menjadi TetamuNya dan pasti Allah akan kabulkan segala doa dan hajat kita. Bagaimana mungkin kita mendapat Haji Mabrur andai kita sendiri tidak begitu yakin terhadap Allah ? Nak minta doa pun tidak bersungguh-sungguh, apatah lagi semasa melakukan ibadah.

Begitu juga dalam hubungan sesama manusia, setiap Jemaah Haji mesti ada perasaan baik sangka sesama Jemaah. Dan apabila ada perasaan sedemikian, maka akan mudah untuk kita mengucapkan Salam apabila bertemu dengan Jemaah Haji yang lain, walaupun kita memang tidak kenalpun mereka.

Saya dapati jemaah Haji kita begitu sukar untuk mengucapkan Salam apabila bertemu dengan Jemaah Haji yang lain hatta dari Malaysia sekalipun. Masuk dalam lif buat “dont know” aje. Berbeza dengan Jemaah Haji dari negara-negara Arab, yang asal bertemu sesama mereka ataupun Jemaah Haji yang mereka tidak kenal, ucapan “Assalamualaikum’ sentiasa mudah mereka lafazkan. Dan yang paling penting ucapan Salam itu pasti diiringi dengan senyuman.

Mematuhi Segala Hukum Hakam Ibadah Haji

Sebagai Jemaah Haji amat dituntut untuk mematuhi dan menunaikan segala Rukun-rukun Haji, wajib-wajib Haji, sunat-sunatnya dengan sempurna dan secermat mungkin. Jika boleh berusaha supaya tidak ada “error” atau kesalahan dalam pelaksanaan ibadah Haji walau sekecil mana sekalipun. Kita jangan ambil mudah bahawa kesalahan dalam melaksanakan ibadah Haji boleh ditebus dengan bayaran Dam.

Saya selalu mengingatkan bahawa kesalahan dalam melaksanakan Ibadah Haji walau sekecil mana sekalipun dan boleh ditebus dengan bayaran Dam tidak mungkin sama dengan ibadah yang dilakukan sesempurna mungkin. Ibarat kain yang telah koyak, walaupun boleh ditampal atau dijahit untuk mencantumnya semula, takkan sama dengan kain yang tidak koyak. Begitu jugalah dengan ibadah Haji.

Ada jemaah Haji yang mengambil mudah hukum melontar Jamrah pada Hari Tasyrik. Mereka mudah menggunakan alasan Uzur lalu diwakilkan kepada orang lain. Malah ada yang tidak buat lontaran langsung dan hanya memadai dengan membayar Dam kerana tidak melakukan Perkara Wajib Haji. Hujahnya Perkara Wajib Haji jika ditinggalkan pun, Haji masih Sah hanya kena bayar Dam sahaja. Malah seperti memperlekehkan hukum pula dengan menyatakan “ala setakat bagi makan 6 cupak makanan asasi kepada fakir miskin, lebih kurang SAR 60 aje, tak banyak mana pun “.

gambar hajiJemaah Haji berjalan kaki menuju ke Jamrah untuk membuat Lontaran

Jika amal ibadah Haji (yang mungkin seumur hidup hanya sekali dilakukan) pun tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, apatah lagi dengan amal ibadah yang lain. Cuba kita tanya diri sendiri, memadaikah amalan yang kita lakukan sedangkan ganjaran yang kita tuntut ialah Syurga Allah ? Macam orang nak ambil periksa, sedangkan ia jawab Kertas Peperiksaan sambil lewa sahaja, bolehkah mendapat Keputusan yang Cemerlang

Cukup untuk kali ini, semuga perkongsiaan ilmu dan pengalaman ini boleh memberi manfaat untuk para Jemaah Haji dan juga yang lainnya.