Assalamualaikum wbt.

Perjalanan Haji bagi jemaah Haji Malaysia lazimnya antara 40-45 hari bergantung kepada jadual penerbangan yang ditetapkan oleh Tabung Haji. Fasa 5 ialah keberangkatan pulang jemaah Haji bermula selepas kira-kira seminggu dari tarikh 13 Zulhijjah. Ada yang selepas 5 hari  jemaah kembali dari Mina. Kerana itu ada juga jemaah yang memohon supaya ditangguhkan dahulu keberangkatan pulangnya kerana belum sempat menyempurnakan Tawaf Haji disebabkan oleh masalah haid yang dihadapi.

Sebenarnya permohonan balik awal jemaah Haji yang diajukan kepada Jabatan Penerbangan Tabung Haji terlalu banyak. Ramai jemaah Haji yang sesudah sempurna semua ibadah Hajinya merasa tidak sabar untuk pulang ke tanah air. Pelbagai sebab dan alasan diberikan. Dan biasanya permohonan yang diluluskan adalah atas faktor kesihatan atau tugas-tugas rasmi dan penting. Ada kalanya pihak Hospital Tabung Haji sendiri yang memohon disegerakan keberangkatan pulang jemaah Haji yang sakit. Lazimnya jemaah Haji yang sakit pasti diberi keutamaan.

Untuk makluman, setiap tahun pasti ada penumpang flight penerbangan awal yang lambat pulang. Mereka ini terdiri dari Petugas-petugas Tabung Haji dan juga kumpulan jemaah yang tertangguh Tawaf Hajinya disebabkan masalah Haid atau sebab-sebab lain. Kekosongan ini akan diisi oleh jemaah yang memohon untuk pulang awal.

Proses Keberangkatan Pulang

Jemaah menaiki bas

Selepas selesai melakukan Tawaf Wida’, jemaah Haji akan dibawa menaiki bas menuju ke Madinatul Hujjaj di Jeddah. Madinatul Hujjaj ialah suatu kawasan bangunan asrama yang menempatkan jemaah Haji Malaysia sebelum pulang ke tanah air. Fungsinya menyamai Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Jika urusan pemergian jemaah Haji ke tanah suci dilakukan di Kelana Jaya. Begitu juga urusan keberangkatan pulang dilakukan di sini. Jemaah akan tidur, mandi, bersolat Jamak, berehat, makan minum, urusan Timbang Bagasi dan mendapatkan Kupon Boarding di sini sebelum dibawa menuju ke airport Jeddah. Jangan terkejut kerana di sini juga ada disediakan gerai menjual makanan dan juga pakaian. Nak pekena roti canai pun ada.

Madinatul Hujjaj

Semasa di Makkah sebelum berangkat menaiki bas, biasanya jemaah Haji akan diberikan “stiker penginapan” Madinatul Hujjaj, dan sebaiknya sticker ini ditampalkan di beg sandang jemaah. Sticker penginapan ini memberi maklumat mengenai no bilik dan blok penginapan jemaah di Madinatul Hujjaj. Biasanya jemaah akan menginap di sini sekurang-kurangnya 18 jam hingga 24 jam. Ada juga yang menginap lebih lama lagi disebabkan oleh masalah teknikal flight yang belum sedia untuk berlepas. Sabar aje la.

Sebaik sampai di Madinatul Hujjaj, kira-kira 2 jam perjalanan dari Makkah (ada kalanya lebih lama lagi kerana bas sesat), jemaah dinasihatkan untuk terus menuju ke bilik penginapan yang ditetapkan untuk tidur dan istirehat. Urusan bagasi jemaah akan diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Jangan bimbang mengenai bagasi masing-masing. Bagasi jemaah akan dibawa turun dari bas oleh petugas-petugas Muasasah dan diletakkan di suatu tempat yang ditandakan mengikut KT jemaah.

Jemaah beratur untuk Timbang Bagasi

Selepas mendapatkan rehat yang cukup (kira-kira 4-6 jam selepas jemaah sampai), jemaah Haji akan diberi Kupon Timbang Barang. Kupon ini digunakan oleh jemaah semasa proses Timbang Barang.  Sebelum berangkat selalunya Jemaah Haji diingatkan supaya tidak membawa lebihan bagasi melebihi 30kg semasa pulang. Mengikut peraturan, setiap lebihan bagasi akan dikenakan caj. Dibimbangi jemaah Haji sudah tidak mempunyai wang yang secukupnya sekiranya dikenakan caj oleh pihak penerbangan. Sebaiknya jemaah menghantar dahulu barangan mereka yang banyak menggunakan Khidmat Courier yang ditawarkan di hotel masing-masing sebelum berangkat pulang.

Selesai proses timbang bagasi, jemaah akan diberi kupon Penerbangan (boarding pas) pula. Biasanya kupon penerbangan ini ada 4 warna dan setiap warna menunjukkan lokasi tempat duduk dalam pesawat. Jangan dihilangkan Kupon ini. Sebaiknya simpan di dalam beg sandang jemaah. Selepas ini jemaah boleh istirehat di bilik masing-masing atau makan minum di gerai makan yang tersedia di sini sementara menunggu proses seterusnya iaitu menaiki bas menuju ke Terminal Haji Jeddah untuk menaiki pesawat pulang. Sebaiknya jemaah mendapatkan rehat yang cukup kerana proses keberangkatan pulang jemaah di Terminal Haji Jeddah nanti akan mengambil masa yang lama.

Beratur untuk menaiki bas ke airport Jeddah

Selepas jemaah selesai Timbang Bagasi dan mendapat Kupon Penerbangan, seterusnya jemaah akan dibawa menaiki bas menuju ke airport Terminal Haji di Jeddah. Perjalanan dari Madinatul Hujjaj ke Terminal Haji tidak mengambil masa yang lama sekitar 1 jam sahaja. Yang lama ialah urusan jemaah untuk masuk ke dalam bangunan Terminal Haji.

Menunggu di Terminal Haji

Sebelum diarahkan beratur untuk masuk ke dalam bangunan Terminal, jemaah bebas mengambil posisi mereka di bangku yang terdapat di kawasan ini atau boleh juga menjamu selera di Restoran yang terdapat di sini. Biasa la, harganya pasti mahal sedikit, almaklum kawasan airport.

Kelazimannya jemaah wanita dibenarkan masuk ke dalam dahulu, disusuli oleh jemaah lelaki. Di dalam bangunan, jemaah Haji akan diserahkan semula Pasport mereka sebelum masuk menunggu di balai berlepas. Kelazimannya jemaah Haji akan dihadiahkan senaskah al-Quran sebelum dibawa menaiki bas ke pesawat yang sedia menunggu untuk berlepas.

Terminal Haji Jeddah

Setakat ini dahulu info mengenai Perjalanan Haji ke tanah suci. Harapan saya semoga perkongsian ilmu dan pengalaman yang pernah dilalui dapat memberi manfaat kepada bakal-bakal jemaah Haji. Perjalanan Haji merupakan perjalanan rohani dan jasmani. Dan sebaik-baik jemaah ialah apabila ia berjaya melaksanakan segala Rukun Haji dan Wajib Haji dengan sempurna dan menjaga tingkah lakunya semasa di tanah suci. Segala kesulitan dan kepayahan yang diharungi dalam perjalanan Haji ini, pasti diberi ganjaran yang sebaik-baiknya oleh Allah. Semoga kepulangan para jemaah membawa pulang bersama Haji yang Mabrur kerana sesungguhnya Haji Mabrur tiada balasan lain kecuali Syurga.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Wassalam.