Assalamualaikum wbt.

Bumi Mina diibaratkan seperti perut seorang ibu yang mengandung oleh Nabi s.a.w. Ini kerana dalam batasan sempadan Mina, ia akan tetap dapat menampung kapasiti seramai mana pun jemaah Haji. Menakjubkan. Kita boleh saksikan sendiri ratusan ribu malah jutaan jemaah berbondong-bondong menuju ke kawasan Jamrah untuk melakukan lontaran. Macam nak pergi perang. Bayangkan dengan sebegini ramai jemaah bersatu akan cukup menggerunkan musuh. Dan tiada tempat di muka bumi ini yang dapat menghimpunkan sebegini ramai manusia kecuali di bumi Arafah dan Mina.

Melontar di Jamrah

Melakukan lontaran di ketiga-tiga Jamrah dan bermalam di Mina pada 11,12 dan 13 Zulhijjah adalah perkara-perkara Wajib Haji. Jemaah Haji akan tinggal di khemah-khemah Mina sehingga 13 Zulhijjah, kecuali mereka yang memilih untuk melakukan Nafar Awal (memadai sehingga 12 Zulhijjah sahaja). Semenjak berlaku tragedi khemah terbakar di Mina, pihak berwajib telah mendirikan binaan khemah yang kekal dan kalis api. Khemah di Mina juga dilengkapi dengan kemudahan aircond, selain dari kemudahan bilik air dan tandas. Keadaan khemah di Mina jauh lebih baik dari di Arafah.

Seperti di Arafah, di sini juga makan minum diuruskan oleh Muasasah dan bukan Tabung Haji atau PJH. Kebiasaannya selain dari makanan Nasi Bungkus, disediakan juga makanan kering seperti biskut dan makanan segera “Indomee”  juga buah-buahan seperti oren, pisang ataupun epal. Jemaah juga dibekalkan dengan air mineral, uncang teh, gula dan juga air panas. Sedap atau tidak, jemaah dinasihatkan untuk makan aje makanan yang dibekalkan. Jika tak selera makan, ambil sahaja “indomee” rendam dengan air panas atau makan biskut atau buah-buahan yang dibekalkan.

Solat berjemaah dalam khemah Mina

Semasa di Mina sementara menunggu tiba waktu melontar, jemaah akan tinggal di khemah melakukan Solat Berjemaah dan juga mendengar sessi Ceramah atau Taklimat yang disampaikan oleh guru-guru Agama atau Petugas Haji. Tinggal di sini tak lama cuma 3 hari sahaja. Tetapi tinggal 3 hari pun ramai jemaah yang mengeluh dan tak tahan. Terutama ketika membuat urusan di bilik air dan tandas. Di sini jemaah kena buat 3 dalam 1 atau 4 dalam 1. Ketika dapat giliran masuk tandas, semasa itulah jemaah membuang air kecil atau besar, menggosok gigi, mandi dan mengambil wuduk.

Bilik Air dan Tandas di Khemah Mina

Sebaik sahaja jemaah melakukan Tahalul Awal iaitu dengan membuat Lontaran Jamrah Kubra 10 Zulhijjah dan bergunting atau bercukur, maka jemaah bebas untuk memakai pakaian biasa dan berjahit. Lega rasanya dapat melepaskan pakaian ihram. Seharian tinggal di khemah, jemaah perlu bersabar dengan suasana di Mina. Apabila mendapat arahan untuk pergi melontar maka bersegeralah bersama-sama jemaah lain untuk pergi melontar. Ada juga jemaah yang merasa tak larat untuk berjalan kaki, awal-awal lagi mentakrifkan dirinya uzur dan mewakilkan kepada sesiapa sahaja untuk membuat lontaran bagi pihak mereka tanpa mendapatkan nasihat dari ustaz-ustaz atau Pakar Rujuk Tabung Haji samada boleh atau tidak.

Suasana di kawasan Jamrah

Keadaan di kawasan melontar Jamrah telah dibina binaan bertingkat yang besar dan selamat. Laluan berjalan kaki  untuk melontar di Jamrah juga telah dibuat laluan sehala. Ini bermakna, jemaah pergi dan jemaah balik tidak akan bertembung. Begitu juga saiz Jamrah telah dibesarkan berkali-kali ganda. Saya anggarkan panjang Jamrah lebih dari 40 kaki, tidak seperti dahulu saiznya kecil sahaja. Dan di waktu ini melontar Jamrah begitu mudah sekali. Tidak seperti dahulu keadaannya seperti nak bertempur dan menyabung nyawa. Sebelum ini biasa berlaku kematian jemaah akibat kena pijak semasa membuat lontaran, tetapi keadaan sekarang tidak lagi. Balik dari melontar Jamrah, jemaah boleh jamu mata melihat-lihat ramainya peniaga jalanan yang menjual pelbagai barangan yang hanya muncul dalam musim Haji di kawasan khemah mereka.

Jemaah berjalan kaki menuju ke Jamrah

Bagi jemaah yang ingin melakukan Nafar Awal, mereka dikehendaki menyempurnakan lontaran di 3 Jamrah dan meninggalkan bumi Mina sebelum tenggelam matahari 12 Zulhijjah. Setiap tahun lebih dari separuh jemaah Haji yang melakukan Nafar Awal sehingga keadaan di Mina pada 13 Zulhijjah agak lengang dengan jemaah. Untuk melakukan lontaran di 3 Jamrah pada 13 Zulhijjah begitu santai sekali. Jemaah boleh sembang dengan rakan-rakan mereka sambil membuat lontaran.

Selepas selesai lontaran 3 Jamrah pada 13 Zulhijjah, jemaah akan dibawa pulang semula ke Makkah oleh bas-bas Muasasah. Keadaan laluan jalan raya menuju ke Makkah biasanya sesak dengan kenderaan yang ingin memasuki Makkah. Ada kalanya bas tidak dapat masuk ke jalan yang dikehendaki. Berjalan kaki lebih mudah lagi. Maka terpaksa jemaah turun dari bas, berjalan kaki dengan membawa beg pakaian mereka menuju ke hotel penginapan masing-masing. Sebaik sampai di hotel penginapan Makkah, barulah jemaah dapat menarik nafas lega sedikit.  Sesungguhnya bumi Mina benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental jemaah.

Jumpa lagi, insyaAllah.