Assalamualaikum wbt. Bertemu kembali.

Wukuf di Arafah adalah Rukun Haji. Tidak sah ibadah Haji tanpa wukuf di Arafah. Sebelum 8 Zulhijjah, jemaah Haji hanya tinggal di Makkah melakukan Solat Fardhu dan ibadah sunat yang lain. Jemaah Haji dinasihatkan supaya bersedia dari segi fizikal dan mental untuk Pergerakan Jemaah pada Hari Tasyrik bermula dari 8 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah. Ini kerana dalam tempoh masa inilah, kudrat atau tenaga jemaah akan digunakan secara berlebihan atau “extraordinary”. Tenaga fizikal yang digunakan di luar dari kebiasaan. Jemaah Haji mesti memastikan dirinya kekal sihat dan cergas bagi menghadapi tempoh masa ini.

Oleh kerana tempoh yang agak lama berada di Makkah sementara menunggu Hari Wukuf, ramai jemaah yang “excited” untuk membanyakkan ibadah Umrah Sunat mereka. Walaupun dinasihatkan supaya tidak kerap melakukan Umrah Sunat, tetapi ramai yang berdegil. Memang benar, hak beribadah adalah hak jemaah dan tidak sepatutnya dihalang. Tetapi sebenarnya ramai yang tidak arif mengenai suasana atau senario yang biasa berlaku pada musim Haji.

Di Masjidil Haram terutamanya di kawasan Dataran Kaabah penuh padat dan sesak dengan jemaah yang melakukan Tawaf. Tawaf yang biasa disempurnakan dalam masa yang singkat menjadi lebih lama dan lambat. Begitu juga di kawasan Mas’a iaitu tempat saie. Jemaah boleh melihat sendiri kepadatan kawasan saie yang penuh dengan jemaah. Ibadah Umrah yang biasanya boleh diselesaikan dalam tempoh 2 jam menjadi lebih lama sehingga lebih dari 4 jam. Ini sudah pasti memenatkan jemaah dan boleh mengakibatkan kesihatan jemaah merosot. Kerana itu, para Ustaz dan Petugas-petugas Haji selalu menekankan pentingnya penjagaan kesihatan semasa di tanah suci. Yang penting jemaah mendapat rehat yang secukupnya. Caj bateri dulu sebelum ke Arafah.

Pergerakan Jemaah pada Hari Tasyrik.

Untuk makluman, Pergerakan Jemaah Haji pada Hari Tasyrik iaitu dari Makkah ke Arafah, dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina dan kembali semula ke Makkah, dikawalselia sepenuhnya oleh Kementerian Haji Arab Saudi melalui Muasasah yang dilantik. Ketika ini yang berkuasa dan bertanggungjawab ke atas jemaah Haji  ialah mereka dan Tabung Haji dan juga PJH (Pakej Swasta) hanya mengikut segala Arahan dan Panduan yang diberikan oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

Pergerakan bas ke Arafah

Tanggal 8 Zulhijjah bermula pergerakan jemaah Haji Malaysia menuju ke Arafah. Kebiasaannya pergerakan bermula selepas waktu Asar tetapi tahun-tahun kebelakangan ini pergerakan sudah dimulakan seawal jam 9 pagi.  Ianya bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Muasasah hasil mesyuarat dengan Tabung Haji dan PJH. Bagi pergerakan Jemaah pada Hari Tasyrik Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan sistem “shuttle bas” atau Taradudiyah iaitu sistem bas ulang alik membawa jemaah Haji dari Makkah ke Arafah dan kembali semula ke Makkah untuk mengambil jemaah Haji seterusnya. Sistem ini diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku semasa pergerakan jemaah Haji menuju ke Arafah.

Jemaah Haji diminta bersabar dan patuh kepada arahan Petugas Tabung Haji atau Petugas PJH (Pakej Swasta). Biasanya jemaah Haji diminta kekal menunggu di dalam bilik sementara menunggu giliran untuk dibawa ke Arafah. Jangan kelam kabut. Ramai jemaah yang tidak sabar menunggu gilirannya  dan bersikap di luar kawalan. Pihak Muasasah yang dilantik, Petugas-petugas Tabung Haji atau PJH akan memastikan tidak ada seorang jemaah yang akan tercicir dari menaiki bas untuk ke Arafah.

Bagi Trip yang pertama, biasanya perjalanan bas dari Makkah ke Arafah mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Tetapi pergerakan bas ulang alik Makkah-Arafah-Makkah ini akan menjadi semakin lama dan lambat kerana jalan raya semakin dipenuhi oleh kenderaan menbawa jemaah Haji menuju ke Arafah. Jika tahun-tahun sebelum ini Trip yang paling akhir menghantar jemaah ke Arafah selesai menjelang Subuh, tetapi kebelakangan ini disebabkan Trip bermula awal jam 9 pagi, ianya dapat diselesaikan sekitar waktu Isyak. Sampai sahaja di Arafah, jemaah Haji akan ditempatkan di khemah-khemah sementara yang didirikan di kawasan yang telah ditetapkan.

Khemah di Arafah

Apa yang perlu dilakukan di Arafah ?

Sebaik sampai di Arafah, jemaah dinasihatkan mendapatkan rehat dan tidur yang cukup. Ada di kalangan jemaah yang membuat solat Tahajud dan berzikir dengan nada yang kuat (ada yang guna pembesar suara) pada waktu malam ketika jemaah lain sedang tidur. Perbuatan ini boleh mengganggu jemaah yang sedang tidur. Dan ianya juga boleh mengakibatkan jemaah berkenaan keletihan dan mengantuk pada esuk hari disebabkan berjaga malam. Sedangkan jemaah sepatutnya sihat dan kekal cergas pada keesukkan hari iaitu ketika menjelang waktu Wukuf iaitu bermula gelincir matahari 9 Zulhijjah (waktu Zohor). Hari Wukuf adalah waktu mustajab doa. Sayang ketika saat ini, ramai yang mengantuk dan tertidur kerana keletihan.

Ketika di Arafah, makanan Nasi Bungkus disediakan oleh Muasasah Arab Saudi. Kebiasaannya makanan yang dibekalkan tidak memenuhi selera jemaah Haji Malaysia. Al-maklum yang masak biasanya orang Bangla mengunakan dapor kayu dan dimasak untuk 2500 orang jemaah. Saya selalu berpesan kepada jemaah bawa serunding untuk menambah selera makan. Oleh kerana jarang makanan yang diberi memenuhi selera, maka mee “Indomee” yang dibekalkan oleh Muasasah menjadi pilihan ramai. Kemudahan air panas dan uncang teh berserta gula disediakan oleh Muasasah di khemah.

Kemudahan bilik air dan tandas amat terhad di Arafah. Bayangkan ada 10 bilik air lelaki dan 10 bilik air wanita untuk kegunaan 2500 orang jemaah dalam satu Maktab. Ketika ini ramai jemaah Haji yang menggunakan air mineral  dalam botol (dibekalkan oleh Muasasah) untuk mengambil wuduk kerana tidak sanggup beratur lama menunggu giliran. Alasan darurat, ramai juga jemaah lelaki yang membuang air kecil dalam botol mineral kosong dan beristinja menggunakan air mineral. Nak buat macam mana ? Dah tak tahan nak keluar. Memang menyulitkan.

bersambung…insyaAllah