Assalamualaikum wbt.

Mabit di Mudzalifah adalah perkara wajib Haji. Jemaah dikehendaki berada di bumi Mudzalifah walaupun seketika bermula pada pertengahan malam 10 Zulhijjah. Oleh kerana di Mudzalifah tiada khemah disediakan, maka jemaah hanya duduk dan berbaring berbumbungkan langit yang terbuka, beralaskan tikar atau kanvas yang disediakan oleh pihak Muasasah. Suhu malam pada musim Haji tahun ini dijangka tidak terlalu sejuk, biasa-biasa aje. Pernah di tahun-tahun sebelumnya suhu malam begitu sejuk sekali  sehingga terasa sakit-sakit tulang di jari tangan. Al-maklum jemaah hanya berpakaian ihram sahaja, tidak boleh memakai baju sejuk atau pakaian berjahit.

Pergerakan bas dari Mudzalifah ke Mina, pada peringkat awal agak singkat sahaja sekitar 20-30 minit, tetapi menjadi semakin lama dan perlahan bagi trip-trip yang seterusnya. Biasanya operasi membawa jemaah ke Mina selesai menjelang waktu Subuh atau selepas waktu Subuh. Ini bermakna jemaah Haji semalaman bergerak dari Arafah ke Mudzalifah seterusnya ke Mina, dengan tidur yang sedikit tanpa kemudahan yang selesa.

Kerana itu, kecergasan dan kesihatan yang baik amat perlu bagi jemaah mengharungi perjalanan Haji sepanjang malam hingga ke pagi. Kesian kepada jemaah yang uzur atau demam semasa pergerakan ini. Tiada klinik atau Hospital di sini. Yang ada mungkin doktor Petugas Haji yang turut sama menyertai jemaah dalam pergerakan ini.

Khemah di Mina

Pernah berlaku di suatu musim haji, jemaah terkandas di Mudzalifah sehingga kesiangan disebabkan laluan bas yang membawa jemaah ke Mina dipecah masuk oleh jemaah-jemaah haji yang berjalan kaki. Ini menyebabkan bas yang membawa jemaah ke Mina tidak dapat berpatah balik ke Mudzalifah untuk mengambil jemaah haji berikutnya. Kira-kira 10000 jemaah Haji Malaysia terkandas sehingga waktu siang di Mudzalifah. Ketika itu trip jemaah yang paling akhir sampai ke Mina ialah pada esok hari jam 12 tengahari. Bayangkan kesulitan yang dialami oleh jemaah yang pasti tidak mendapat rehat yang secukupnya. Mereka terpaksa mengharungi masa yang begitu lama dan panjang dalam pergerakan dari Arafah hingga ke Mina. Lebih dari 12 jam tanpa tidur yang cukup.

Penempatan jemaah di dalam khemah Mina

Sampai sahaja di Mina, jemaah akan ditempatkan di khemah-khemah yang telah ditetapkan untuk Maktab masing-masing. Keadaan dalam khemah amat sesak dan padat. Kerana itu  jemaah dinasihatkan supaya bersikap tolak ansur dan bantu membantu dalam mendapatkan lokasi tempat tidur mereka. Jangan bersikap mementing diri sendiri dengan tidak membenarkan jemaah lain tinggal bersebelahan mereka dengan alasan tempat tersebut sudah di”booking” oleh rakannya, sedangkan rakannya belum sampai lagi di Mina. Amat sedih dan melampau apabila terdengar cerita ada jemaah Haji yang bergaduh sehingga bertumbuk kerana merebut kawasan tempat tidur mereka di dalam khemah. Sedangkan mereka masih dalam pakaian ihram lagi.

Jemaah Haji Malaysia biasanya akan ditempatkan di khemah Mina Muassem iaitu di sebelah belakang terowong Muassem menuju ke Jamrah. Jarak khemah Mina Muassem ke Jamrah, pergi sahaja dianggarkan sekitar 3km. Ini bermakna jemaah akan berjalan kaki ulang alik sejauh 6km. Satu jarak yang dianggap jauh dan mencabar. Pernah juga jemaah Haji Malaysia ditempatkan di Mina Mua’sir yang jaraknya lebih jauh lagi iaitu 6km menuju ke Jamrah. Jemaah Haji terpaksa berjalan kaki melalui 2 terowong untuk membuat lontaran di Jamrah.

Pergerakan Jemaah Haji menuju ke Jamrah Kubra untuk Lontaran Awal

Untuk makluman, kebiasaannya selepas pertengahan malam sehingga ke Subuh adalah waktu paling ramai jemaah Haji membuat lontaran. Tetapi Jemaah Haji Malaysia dinasihatkan supaya menunggu arahan yang dikeluarkan oleh pihak Muasasah melalui Petugas Tabung Haji atau PJH mengenai waktu membuat Lontaran Awal di Jamrah Kubra bagi menyempurnakan Tahalul Awal. Kebiasaannya jemaah Haji Malaysia mula bergerak melontar pada waktu malam, tetapi ada juga jemaah yang pergi sendiri melontar pada awal pagi sebaik tiba di Mina.

Suasana Jamrah

Biasanya jemaah VVIP, mereka tidak menuju ke Mina selepas bermalam di Mudzalifah. Sebaliknya mereka terus menuju ke Makkah. Sampai di Makkah, mereka terus melakukan Tawaf Haji dan Saie Haji untuk menyempurnakan Tahalul Awal mereka. Mereka lebih selesa tinggal di Makkah bagi mendapatkan rehat yang cukup. Selepas Asar baru mereka bergerak ke Mina untuk menyempurnakan Lontaran Kubra untuk 10 Zulhijjah dan juga bermalam di Mina pada malam 11 Zulhijjah.

Ada juga jemaah Tabung Haji atau PJH yang balik terus ke Makkah selepas membuat Lontaran Pertama di Jamrah Kubra (Tahalul Awal). Biasanya jemaah berkenaan ingin menyempurnakan segera rukun Haji iaitu Tawaf dan Saie, bimbang tidak sempat melakukannya sebaik kembali ke Makkah pada 13 Zulhijjah nanti kerana didatangi haid. Tetapi ada juga jemaah yang sengaja memilih untuk berulang-alik Mina-Makkah kerana tidak tahan tinggal di khemah Mina yang sesak dengan jemaah dan kemudahan bilik air dan tandas yang terhad.

Tetapi untuk mendapatkan kenderaan balik ke Makkah dari Mina bukannya mudah. Ada jemaah yang terpaksa berjalan kaki menuju ke Makkah yang dianggarkan sejauh 7km. Jika dikira jarak khemah Mina Muassem ke Jamrah ialah 3km ditambah dengan jalan kaki ke Makkah sejauh 7km, ini bermakna jemaah berjalan kaki sejauh 10km atau lebih. Dan sampai sahaja di Makkah mereka terus Tawaf dan Saie yang jarak jalan kaki saya anggarkan lebih dari 5km. Penatnya bukan main. Kerana itu jika tidak sanggup. lebih baik tinggal kekal di Mina sahaja.

Jumpa lagi, insyaAllah.