Assalamualaikum wbt.

Kesulitan yang dialami semasa di Arafah tidaklah seteruk jika dibandingkan keadaan di masa dahulu. Keadaan sekarang amat jauh lebih baik lagi. Kemudahan khemah yang teratur (walaupun didirikan sementara), laluan jalan kaki jemaah yang diturap dengan batu bata (dahulunya berpasir), kemudahan bilik air dan tandas walaupun terhad, kemudahan makan dan minum jemaah dikira ok untuk jemaah Haji walaupun mungkin jemaah tidak berapa selesa.

Kementerian Haji Arab Saudi telah melakukan segala usaha yang terbaik bagi menangani permasalahan dan kebajikan jemaah Haji yang dianggarkan melebihi 3 juta orang setiap tahun. Kekurangan yang berlaku pasti ada. Yang penting jemaah redha dengan apa yang diperolehi. Itu lebih baik daripada asyik salah menyalahkan kepada mereka yang berkenaan.

Bas berhenti di sini untuk mengambil jemaah

Jemaah tinggal tidak lama di Arafah. Menjelang waktu Maghrib bermulalah pergerakan jemaah seterusnya iaitu dibawa ke Mudzalifah untuk mabit atau bermalam. Waktu dikira mabit di Mudzalifah ialah bermula pada pertengahan malam 10 Zulhijjah. Ujian sebenar bermula di sini. Jemaah dinasihatkan supaya kekal bersabar semasa menunggu bas untuk dibawa ke Mudzalifah. Ramai jemaah yang tidak sabar dan berebut-rebut untuk bersegera ke sana.

Sedihnya apabila melihat ada jemaah yang bersikap di luar kawalan sehingga memarahi Petugas-petugas Haji kerana mahu segera menaiki bas ke Mudzalifah.  Bagi mengelakkan perebutan berlaku di kalangan jemaah (walaupun sukar dibendung), maka pihak berwajib menyediakan satu Kandang khas untuk jemaah menunggu giliran menaiki bas. Hanya jemaah yang berada di dalam kandang inilah dibenarkan menaiki bas. Selepas itu, jemaah lain pula mengambil giliran untuk menunggu bas. Begitulah proses seterusnya sehingga selesai.

Jemaah Haji ditempatkan dalam kandang menunggu bas

Untuk makluman, pihak berkuasa Arab Saudi telah membina laluan jalan raya khas untuk jemaah Haji Asia Tenggara ke Mudzalifah. Jemaah dari negara-negara lain tidak boleh pecah masuk. Ini menyebabkan perjalanan bas dari Arafah menuju ke Mudzalifah berjalan lancar dan mengambil masa lebih kurang 15-20 minit sahaja. Kebiasaannya operasi membawa jemaah Haji ke Mudzalifah selesai selepas waktu Isyak.

Jemaah boleh solat Jamak Taqdim di khemah Arafah ataupun Jamak Takhir semasa berada di Mudzalifah (bergantung kepada giliran jemaah mula berangkat meninggalkan Arafah). Kerap berlaku suasana kelam kabut semasa pergerakan ini disebabkan oleh sikap jemaah yang tidak sabar untuk menaiki bas. Jemaah dinasihatkan supaya patuh kepada arahan Pegawai Bertugas demi kelancaran pergerakan. Yang pasti semua jemaah tetap akan sampai di Mudzalifah.

Jemaah Mabit di Mudzalifah

Sampai di Mudzalifah, jemaah Haji akan ditempatkan di suatu kawasan lapang dan terbuka. Tidak ada binaan khemah di sini. Jemaah dinasihatkan bawa bekalan makanan dan minuman secukupnya dari Arafah. Dibimbangi jemaah kelaparan kerana tidak menjamah makanan malam disebabkan sikap jemaah sendiri yang tidak sabar berebut-rebut menaiki bas. Jemaah akan ditempatkan di lokasi tertentu di kawasan terbuka ini untuk menunggu tibanya waktu yang dikira bermula Mabit di Mudzalifah. Dan selepas itu jemaah akan dibawa menaiki bas semula untuk ke khemah Mina.

Semasa di Mudzalifah, jemaah boleh mengutip anak-anak batu untuk Lontaran Awal iaitu di Jamrah Kubra bagi menyempurnakan Tahalul Awal. Dinasihatkan jemaah dapatkan rehat yang secukupnya di Mudzalifah. Biasanya mengikut aturan jemaah yang mula-mula sampai di Mudzalifah, kumpulan jemaah inilah yang akan mula menaiki bas untuk ke Mina. Jemaah yang akhir sampai, maka jemaah inilah juga yang sepatutnya paling akhir untuk ke Mina.

Tetapi malangnya aturan seperti ini tidak berlaku. Sebaik sahaja bas mula sampai selepas bermulanya waktu dikira Pertengahan Malam, sekali lagi kita boleh saksikan jemaah berebut-rebut untuk mengambil tempatnya menunggu bas ke Mina. Hilang sikap tolak ansur sesama jemaah dan mula mementingkan diri sendiri. Kesian kepada jemaah yang tua dan menggunakan kerusi roda.

Jumpa lagi, insyaAllah.