Assalamualaikum wbt.

Jemaah Haji Malaysia akan menginap di Madinah selama 9 hari 8 malam atau yang tepatnya ialah lebih dari 40 kali solat Fardhu di Masjid Nabawi. Sejak dahulu lagi, Tabung Haji membuat ketetapan bahawa Jemaah Haji Malaysia mesti diberi peluang untuk solat 40 waktu di Masjid Nabawi. Malah jika tinggal kurang dari 40 waktu solat memang tidak dibenarkan oleh Tabung Haji.

nabawihijauMasjid Nabawi

Memang ada hadis yang menyatakan barang siapa yang dapat solat 40 waktu di Masjid Nabawi boleh masuk Syurga. Tapi itu hadis dhaif. Tidak boleh jadi pegangan tetapi boleh diamalkan demi kebaikan. Boleh jadi Tabung Haji tidak mahu ianya jadi satu isu kepada jemaah Haji yang benar-benar berpegang kepada hadis tersebut. Mudah cerita, bagi aje la peluang tu samada mampu buat atau tidak.

Oleh kerana saya dahulu pernah bertugas dengan Pakej Swasta (PJH) iaitu Zahafiz Travel, maka ada kemungkinan sembang saya lebih cenderung mengikut modes operandi PJH yang mungkin sedikit berbeza dengan Tabung Haji.  Boleh jadi ada aktiviti yang PJH jalankan tidak dilakukan oleh Tabung Haji.

madinah movenpickHotel Madinah Movenpick

Untuk makluman, penginapan jemaah Haji Tabung Haji Muasasah ialah di 2 bangunan utama iaitu Hotel al-Haram dan juga Hotel Madinah Movenpick. Manakala bagi jemaah Haji Pakej swasta ialah di bangunan Hotel seperti yang dijanjikan di dalam brosur mereka. Cuma ada kalanya Hotel Penginapan untuk Pakej Swasta tidak sama seperti yang dijanjikan. Dalam kes ini asalkan kualiti Hotel Gantian dilihat OK atau lebih standard lagi oleh pihak Tabung Haji maka ianya dibenarkan.

alharam madinahHotel Al-Haram Madinah

Sampai di Madinah                                                         

Sebaik sampai di Hotel Madinah, jemaah diminta bertenang dan jangan kelam kabut. Perjalanan yang panjang dan meletihkan adakalanya membuatkan jemaah mudah gagal mengawal emosi apabila ditimpa sesuatu kesulitan semasa proses “check in” bilik. Yang selalu terjadi ialah masalah kehilangan bagasi. Biasa terjadi “bellboy” hotel tersilap menghantar bagasi jemaah ke tingkat yang berlainan.Sekiranya berlaku, sabar aje la dulu. InsyaAllah bagasi jemaah akan segera ditemui nanti. Sebaiknya bagi jemaah yang sakit dan sentiasa ubat mesti ada di sisi, maka ubat-ubatan disimpan di beg Sandang jemaah dan bukan bagasi.

Sebelum memasuki bilik, ada baiknya setiap jemaah mendapatkan Kad Perniagaan Hotel yang jemaah diami. Dibimbangi sekiranya berlaku jemaah yang sesat tidak jumpa jalan pulang, Kad Hotel itu boleh membantu. Tunjukkan aje Kad Hotel itu pada jemaah yang ada di sekeliling kita, insyaAllah jemaah lain boleh membantu menghantar kembali semula ke Hotel dengan selamat. Biasa terjadi jemaah yang selalu sesat ialah jemaah yang sudah tua.

Kepada jemaah yang muda tu bantu-bantulah jemaah-jemaah yang tua untuk sama-sama ke Masjid.  Besar ganjarannya kepada jemaah Haji yang membantu jemaah Haji yang lemah dan tua. Jadi jangan mengeluh sekiranya rakan sebilik ialah jemaah yang telah berusia.  Sebenarnya Allah nak beri peluang dapat pahala mudah hari-hari dengan menjaga kebajikan mereka. Anggapkan mereka itu seperti kakak/abang atau ibu/bapa kita.

Ziarah Dalam

Bagi jemaah PJH, biasanya jemaah Haji dibawa “Ziarah Dalam” pada sebelah pagi. Ziarah dalam ialah satu program di mana jemaah di bawa ke dalam Masjid Nabawi di kawasan Raudhah dan ditunjukkan sempadan Raudhah yang di dalamnya ada Maqam Nabi, Mimbar Nabi, Mihrab Nabi, Tiang Taubat dan Tiang Aisyah. Keterangan mengenainya ada pada entry saya terdahulu di bawah tajuk Ziarah Dalam Masjid Nabawi

Manakala bagi jemaah wanita ada Zon Masa tertentu untuk melawat Raudhah. Biasanya Mutawif Wanita PJH akan membawa jemaah wanita pada waktu pagi selepas solat Subuh sehingga sebelum zuhur ataupun selepas Solat Isyak sehingga jam 12 tengah malam. Saya tidak pasti pihak Tabung Haji ada melakukan aktiviti ini ataupun tidak. Tetapi jika tidak dilakukan pun, jemaah Haji boleh pergi sendiri ke kawasan Raudhah pada zon masa yang dimaklumkan tadi.

Ziarah Luar Madinah

Begitu juga untuk program Ziarah Luar iaitu melawat kawasan bersejarah di sekitar Madinah dilakukan pada sebelah pagi dan berakhir sebelum masuk waktu zohor. Maklumat mengenainya ada pada entry Ziarah Luar Madinah

Masalah Lif di Hotel Madinah

Tidak kira jemaah Haji PJH atau Tabung Haji Muasasah pasti akan menghadapi masalah kesesakan di pintu-pintu lif utama di hotel penginapan masing-masing. Bayangkan jika sebuah bangunan yang boleh memuatkan jemaah seramai 3000 hingga 5000 orang dalam satu masa, sedangkan lif yang ada cuma 3 ataupun 5 ? Pasti akan berlaku kesesakan pada waktu puncak iaitu ketika jemaah baru pulang dari masjid atau “time” makan. Perbanyakkanlah bersabar.

Sebaiknya beri peluang kepada jemaah yang tua dan uzur untuk memasuki lif dahulu. Dan jika mampu bagi yang menginap di tingkat yang rendah boleh naik turun tangga demi memberi peluang jemaah lain menggunakan lif. Mudah-mudahan jika kita selalu memudahkan jemaah lain, Allah akan memudahkan urusan ibadah kita di tanah suci. SONY DSCJangan berebut-rebut ketika menaiki lif. Saya pernah melihat jemaah Haji ada yang nak bertumbuk ketika berebut menaiki lif. Macam tak caya aje Jemaah Haji berkelakuan sedemikian. Nak tergelak pun ada. Agaknya jika dilihat cucu malunya tak boleh nak cakap.

Aspek Keselamatan dan Kesihatan Jemaah Haji

Aspek Keselamatan Jemaah Haji ada saya post dalam entry terdahulu di bawah tajuk  Keselamatan Jemaah Di Tanah Suci.  Jadi saya akan sentuh mengenai aspek Kesihatan. Untuk makluman Tabung Haji ada menyedikan kemudahan Klinik Tabung Haji yang beroperasi di dalam bangunan Hotel Penginapan Jemaah Haji mengikut masa yang ditentukan.

Jemaah Haji perlu menyedari keadaan cuaca di Madinah adalah jauh berbeza seperti di Malaysia. Di negara kita cuacanya ialah panas lembab, sedangkan di Madinah cuacanya sejuk kering dan panas kering. Ketika di Madinah, jemaah akan mendapati tubuh mereka kurang berpeluh dan berbau. Kerana itu jika tak mandi seharian pun OK. Tambah lagi jika musim sejuk. Tabiat kerap mandi seperti di tanah air boleh mengundang masalah kepada jemaah. Jemaah akan mudah dihinggapi selsema dan demam. Malah kerap mandi tidak kira masa boleh menyebabkan kulit badan terasa seperti gatal-gatal. Boleh jadi kerana kulit kita mulai kering disebabkan cuaca di sana yang kering. Jangan digaru. Sebaiknya jemaah bersedia dengan cream “Vaseline” atau “Nivea” dan sapukan pada anggota tubuh badan.

Ada kalanya semangat jemaah berkobar-kobar untuk mendapatkan solat 40 waktu di Masjid Nabawi. Sedangkan keadaan tubuh badan sudah merasa seperti nak demam. Keadaan ini berlaku disebabkan tubuh badan tidak tahan dengan keadaan cuaca yang terlalu sejuk atau terlalu panas.  Dipaksanya juga untuk solat di Masjid. Akibatnya jemaah ini mengalami demam yang amat teruk sehingga ditahan di Wad Hospital Tabung Haji.  Perbanyakkanlah meminum air Zam Zam (Not  Cold) yang ada disediakan di dalam Masjid Nabawi. Mudah-mudahan dengan kerap meminum air Zam Zam dapat menyihatkan dan mengembalikan kecergasan jemaah. zamzam madinah

Nasihat saya jika merasakan kudrat tidak mampu, dapatkan rehat yang secukupnya di bilik dahulu. Dan apabila merasakan kesihatan mengizinkan maka barulah ke masjid semula. Masih jauh lagi Perjalanan Haji yang perlu ditempuhi dan tahap kesihatan perlulah dijaga.

Memadai buat kali ini. Fasa 3, Fasa 4 dan Fasa 5 Perjalanan Haji telah saya masukkan dalm entry terdahulu. Pembaca boleh rujuk di bawah tajuk Perjalanan Haji Mengikut Fasa , Fasa 4 – Pergerakan ke Arafah , Fasa 4 – Arafah Menuju Muzdalifah , Muzdalifah Menuju Ke Mina , Suasana di Mina , Kembali Dari Mina ,  dan Fasa 5 – Keberangkatan Pulang Jemaah Haji

Sekian semuga catatan ini dapat memberi manfaat kepada Jemaah Haji yang akan ke Tanah Suci tidak lama lagi dan juga kepada bakal-bakal Jemaah Haji yang sedang menunggu giliran mereka pada masa akan datang.

Wassalam.