Assalamualaikum wbt. Bertemu kembali.

Menjadi jemaah Haji adalah suatu pengalaman indah dalam hidup. Pelbagai kisah suka dan duka bakal dialami oleh jemaah Haji sepanjang berada di tanah suci. Pastinya jemaah Haji mengharapkan hanya perkara yang baik sahaja semasa di sana. Tidak tergambar di fikiran jemaah Haji bahawasanya di dua kota suci ini juga mempunyai beberapa kerat karektor individu yang sering mengambil kesempatan ke atas jemaah yang naive. Di sini saya suka berkongsi pengalaman semoga ianya tidak berlaku kepada diri jemaah. Dan sekiranya berlaku jemaah sudah bersedia menanganinya dengan baik dan penuh hikmah.

1. Elakkan dari menjadi mangsa penipuan

Semasa jemaah ikhtikaf di Masjid Nabawi, jangan terkejut sekiranya didatangi oleh seseorang yang mengajak kita berbicara dalam bahasa Inggeris. Mereka ini tahu kebanyakkan jemaah Haji Malaysia boleh berbahasa Inggeris. Individu ini dengan raut wajah yang sedih dan memohon simpati bercerita akan masalahnya yang telah kehilangan wang dan bercadang untuk ke Makkah menunaikan Haji bersama ahli keluarganya. Maka individu ini akan meminta sumbangan derma dari jemaah.

Cerita yang disampaikan sebenarnya karut belaka. Setiap tahun saya berjumpa dengan individu sebegini samada di musim Haji ataupun Umrah. Memang ada individu yang malas bekerja dan kerja sehariannya hanyalah duduk dalam masjid menipu jemaah dengan cara sebegini. Yang geramnya, beri SR5 dia tak mahu, dia minta lebih. Kekadang sampai ratusan Riyal. Jika kita kata tak bawa wang, dia sanggup untuk mengikut kita pulang ke hotel bagi mengambil wang.

Ikhtikaf dalam Masjid Nabawi

Semasa berada di dalam Masjidil Haram, jemaah biasa didatangi oleh seorang lelaki Indonesia dengan wajah yang manis  menawarkan bantuan untuk mencium Hajar Aswad. Bayangkan dalam suasana Kaabah yang begitu ramai dan padat jemaah berebut-rebut untuk mencium Hajar Aswad, tiba-tiba ada orang nak tolong. Pasti jemaah gembira kerana bukan senang nak cium Hajar Aswad tambahan pula di musim Haji. Sebaik jemaah menyatakan persetujuan, maka jemaah ini akan dibawa ke Kaabah dan di sana sedia menanti rakan-rakan yang lain yang turut sama membantu sehingga jemaah ini berjaya mencium Hajar Aswad.

Dan selepas selesai sahaja, mereka ini akan meminta upah dari jemaah tadi. Upahnya bukan sedikit. Beri SR50 tak cukup sebab alasannya mereka ramai.  Maka mereka minta  SR200 atau SR500 hingga ada yang membayar SR1000. Jika tak mahu bayar, mereka akan mengugut jemaah ini dan ada yang pernah mengikut jemaah ini pulang ke hotel untuk mengambil duit. Kesian jika perkara ini berlaku kepada jemaah. Yang lelaki selalunya akan menyumpah seranah bila balik ke hotel, manakala jemaah wanita pula selalunya menangis sekembalinya ke hotel. Bila ditanya, barulah kita tahu apa yang sudah terjadi.

2. Kehilangan wang

Perkara ini kerap terjadi kepada jemaah Haji wanita. Semasa memasuki Pintu Masjid Nabawi, berhati-hati dengan beg sandang anda. Pegang kuat-kuat beg sandang di bahagian tengah zip. Biasa berlaku ketika jemaah mula memasuki Pintu Masjid, ada segerombolan jemaah wanita dari negara asing akan menyerbu dan menolak jemaah ini masuk ke dalam sehingga dia tidak sedar zip beg sandangnya dibuka. Sedar-sedar duit dalam beg sandang jemaah telah dikebas orang. Mereka ini memang profesional dalam kerja ini.

Memasuki Masjid Nabawi

Begitu juga semasa sedang solat. Jemaah biasa meletakkan beg sandangnya di hadapan tempat jemaah sujud. Dan ketika jemaah sujud, masa inilah beg sandang jemaah dilarikan tanpa disedari. Apabila jemaah bangun dari sujud, baru perasan beg sandangnya telah tiada. Sebaiknya beg sandang jemaah digantungkan di bahu semasa solat bagi mengelakkan perkara sedemikian terjadi.

Ketika jemaah sedang sibuk tawaf atau mencium Hajar Aswad, jemaah juga harus berhati-hati. Biasa berlaku beg sandang jemaah diseluk zipnya. Sedar-sedar ketika pulang ke hotel, duit yang di dalam beg sandang telah tiada dan zip beg juga terbuka. Bayangkan, di depan Kaabah pun ada individu yang tergamak melakukan perkara yang haram.

3. Mangsa ragut

Jangan terkejut jika ragut juga berlaku di tanah suci. Bagi jemaah wanita, elakkan dari ke Masjid bersendirian. Sebaiknya berjalan secara berkumpulan. Jarak hotel ke Masjidil Haram adalah jauh dan melalui beberapa blok bangunan dan juga jalan raya. Berjalan seorang diri akan memberi kesempatan kepada siperagut untuk menjalankan kerjanya terutama di lorong atau jalan sunyi (biasanya menjelang Subuh)

Sebenarnya apa yang saya utarakan di atas, bukanlah untuk menakutkan jemaah. Niat saya supaya perkara-perkara di atas tidak terjadi kepada jemaah. Memang kita akan terperanjat di tanah suci yang mengamalkan undang-undang Hudud boleh terjadi perkara sedemian. Demi wang, manusia sanggup lakukan apa saja walaupun di Tanah Haram. Di mana-mana pun ada watak baik dan ada watak jahat. Selagi ada iblis dan syaitan, selagi itulah perkara-perkara mungkar ini akan berlaku tidak kira di mana pun kita berada.

Selamat Menunaikan Ibadah Haji dan Wassalam.