Assalamualaikum wbt.

Sejak pulang dari menunaikan Umrah baru-baru ini, tumpuan lebih kepada penghayatan bulan Ramadhan dan kurang motivasi nak tulis blog. Maka sementara ni biarlah saya cerita mengenai Catatan Pengalaman Umrah saya yang baru ni. Agak lebih santai sikit. Bagi yang pernah menunaikan Umrah mungkin catatan ni biasa-biasa sahaja, tetapi bagi yang belum lagi ke Tanah Suci mungkin boleh dijadikan panduan.

flynas iqbalyatiSyukur alhamdulillah saya ucapkan ke hadrat Allah swt kerana dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya, saya dan isteri sekali lagi dijemput untuk mengunjungi Tanah Suci. Kali ini jemaah yang ikut tak ramai hanya 9 orang sahaja yang terdiri dari keluarga Haji Yaacob Jailani dan adik bewradiknya. Sungguh pun jumlahnya kecil tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk menemani mereka di sepanjang perjalanan. Rasa tak patut pula jika mereka ke Tanah Suci tanpa “Leader’. Tambahan pula rasa rindu nak menjalani ibadah Puasa di Tanah Haram yang pasti banyak kelainan berbanding di Malaysia.

flynas flight

Penerbangan Flynas

Sengaja saya memilih Penerbangan FlyNas kerana mahu mencuba syarikat Penerbangan yang baru ini. Penerbangan dari KLIA ke Jeddah mengambil masa 9 jam, sama seperti Penerbangan AirAsia X yang menggunakan Pesawat Airbus 330-300. Susunan tempat duduk lebih kurang sama seperti Pesawat AirAsia X. Yang berbeza AirAsia X menawarkan hanya 12 seat Premium (ala First Class) tetapi Flynas menawarkan 315 seat yang terdiri dari 12 seat Premium (ala First Class), 40 seat Premium Ekonomi (ala Business Class) dan selebihnya seat Ekonomi.

Makanan yang dihidangkan dalam Pesawat saya kira OK, cuma layanan Paramugara/i yang kelihatan seperti tidak begitu mesra atau canggung. Boleh jadi kerana mereka seperti orang Portugal dan bukan orang Malaysia, sedangkan rata-rata jemaah dalam Pesawat ramai orang-orang tua dan jemaah Indonesia yang tidak faham berbahasa Inggeris. Saya fikir untuk Penerbangan Flynas dari Kuala Lumpur ke Jeddah, sebaiknya ambil Petugas Kabin dari Malaysia supaya penumpang akan lebih cepat mesra dan tidak kekok apabila ingin atau berhajatkan sesuatu. seat flynas

Secara keseluruhan flight Flynas yang terus ke Jeddah ni saya kira O.K jika dibanding dengan Penerbangan Transit yang memenatkan dan lama nak sampai. Cuma kelebihannya bagi yang mahu upgrade seat ekonomi ke Business Class, Flynas ada menawarkan 40 seat yang hanya perlu penambahan kos RM800 sahaja (pergi dan balik). Manakala untuk seat ala-ala First Class (hanya ada 12 seat sahaja) penumpang kena tambahan RM1500 untuk seat satu hala, jika tak silap saya.

Masalah Imigresen

Sebaik tiba di Jeddah, semua jemaah Umrah dihantar dengan bas ke Terminal Haji. Untuk jemaah wanita dan lelaki yang berumur 55 tahun ke atas tidak ada masalah. Pegawai Imigresen bertugas hanya cop kemasukan sahaja di Pasport Jemaah. Maka prosesnya tidaklah mengambil masa yang lama.

Tetapi untuk jemaah lelaki yang berumur 55 tahun ke bawah dikehendaki menurunkan kesemua jari tangan mereka untuk “discan”, manakala wajah jemaah diambil gambarnya. Saya congak proses seorang jemaah mengambil masa 10 minit, jadi bayangkan lamanya masa yang diambil untuk penumpang satu Pesawat. Sabar aje la.

Kerenah Imigresen tidak melemahkan semangat jemaah untuk menuju ke Madinah. Masing-masing sedia maklum akan perkara ini. Sebaik selesai urusan Imigresen dan pengambilan bagasi, kami terus menaiki bas menuju ke Madinah. Sebelum itu sempat kami bersolat Jamak di Terminal Haji. Kami singgah sebentar di Restoran Tempatan untuk makan malam. Begitu berselera jemaah menikmati makanan malam yang menunya Nasi Arab dan Ayam Panggang. Satu dulang dihadap oleh 3 jemaah kerana tidak habis jika dimakan seorang.

dataran nabawi

Sampai di Madinah

Oleh kerana kami berlepas pada hari Khamis maka kami tiba di Madinah pada waktu awal pagi jam 2 iaitu ada masa 2 jam lagi sebelum masuk waktu Subuh pagi Jumaat. Di dalam bas sudah diberi taklimat mengenai program Ziarah yang perlu disertai jemaah. Oleh kerana berkemungkinan Puasa jatuh pada hari Sabtu maka program Ziarah Dalam harus dilakukan pada pagi Jumaat juga. Ini kerana jika dilakukan pada sebelah malam mungkin akan diadakan Solat Terawih (jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu) dan pastinya ramai jemaah wanita yang hampa tidak dapat masuk Raudhah.

Ziarah Dalam Raudhah

Untuk makluman, Ziarah Dalam untuk jemaah wanita dipimpin oleh isteri saya sendiri. Oleh kerana beliau dahulunya bekas Ustazah dan selalu memimpin jemaah Haji dan Umrah dalam program Ziarah Dalam Masjid Nabawi ini, maka saya tidak perlu “hirer” seorang Mutawif Wanita untuk Program Ziarah Dalam ini. Kecuali jika Trip Rombongan Umrah isteri saya tidak pergi sekali, maka barulah khidmat Mutawif wanita diambil.

jemaah wanita ajwaPagi Subuh di Dataran Masjid Nabawi

Sebenarnya ramai jemaah wanita yang tidak tahu mengenai banyak perkara di dalam Raudhah. Kat mana sempadan Raudhah sebenarnya, apa yang ada di dalam Raudhah, apa yang perlu dilakukan semasa berada di dalam Raudhah dan Tip-tip yang perlu jemaah tahu semasa berada di dalam Raudhah. Alhamdulillah kesemua persoalan di atas diterangkan kepada jemaah wanita Ajwa sebelum memasuki Raudhah. Semasa memimpin jemaah wanita Ajwa di dalam Raudhah, ada juga jemaah wanita dari Travel lain yang tumpang join sekali. O.K la tu sekadar perkongsian ilmu, apa salahnya.

Untuk makluman, sebenarnya ramai jemaah wanita yang mengeluh kerana Tiada Mutawif Wanita  untuk Program Ziarah Dalam ini. Untuk jemaah lelaki biasanya tiada masalah. Ini menyebabkan jemaah wanita masuk ke dalam Raudhah tanpa mendapat bimbingan dan pimpinan yang sempurna. Sehinggakan apabila mereka masuk ke dalam Raudhah, mereka rasa “blur’ dan tak tahu nak buat apa-apa. Kerana itu Ajwa Travel sentiasa memastikan Mutawif Wanita disediakan bagi Program Ziarah Dalam ini.

Program Ziarah Luar Madinah

Oleh kerana 1 Ramadhan jatuh pada hari Ahad di sini, maka Program Ziarah Luar Madinah yang dijalankan pada hari Sabtu masih lagi belum berpuasa. Seperti biasa Ziarah yang pertama ialah di Masjid Quba iaitu masjid yang mula-mula didirikan oleh Rasulullah semasa hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah. Sememangnya ada hadis yang menceritakan kelebihan Solat Sunat 2 rakaat di Masjid Quba iaitu barang siapa yang keluar dari rumahnya (hotel) dalam keadaan berwuduk dan solat sunat 2 rakaat di Masjid Quba akan memperolehi 1 pahala mengerjakan Umrah.

jemaah di qubaKenangan di Masjid Quba

Oleh kerana kunjungan kali ini pada musim panas di mana suhu mencecah hingga 50 darjah celcius maka inilah masanya jika nak melihat  pokok kurma berbuah lebat. Jika datang ketika musim sejuk hanya tengok pokok kurma saje la.  Kebun Kurma di kawasan Quba ini banyak dan setiap kali kunjungan     pasti “driver” bas akan membawa ke kawasan Kebun Kurma pilihan hatinya. Jadi sepanjang pengalaman saya lebih dari 5 buah kawasan Kebun Kurma yang pernah saya lawati.

nabawi dataran

Secara relatifnya, harga Kurma yang dijual di kawasan Kebun Kurma ini lebih mahal berbanding di Pasar Kurma. Tetapi ada dakwaan yang menyatakan Kebun Kurma mereka terletak di dalam Tanah Haram Madinah yang mempunyai kualiti Kurma lebih baik berbanding Kurma yang dijual di Pasar Kurma Madinah. Mungkin ada benarnya juga. Cuma menariknya di kebanyakkan kawasan Kebun Kurma, pengusaha ada menyediakan minuman Teh Panas secara percuma untuk pengunjung. Maka minum aje la.

kebun kurma

Untuk pengunjung, terpulang samada mahu membeli Kurma di kawasan Kebun Kurma atau di Pasar Kurma. Harga Kurma Ajwa di Kebun Kurma dijual pada harga SR100 hingga SR120 untuk 1 kilo (bergantung pada Gred). Manakala harga Kurma Ajwa di Pasar Kurma Madinah biasanya hanya SR60 untuk 1 kilogram.

Ada juga Kurma Ajwa yang dijual oleh Pelajar Madinah yang biasa jadi Mutawif Ziarah pada harga SR100 untuk 1 kg.  Biasanya tempahan akan dibuat sebaik program Ziarah selesai. Jemaah hanya perlu membayar wang tempahan dan sebelah malamnya Pelajar Madinah ini akan menghantar terus ke bilik-bilik jemaah. Malah saya lebih yakin dengan kurma yang dijual oleh Pelajar Madinah ini dari segi kualitinya.

Oleh kerana suhu Madinah yang panas sehingga 50 darjah Celcius, maka kunjungan jemaah di Jabal Uhud untuk melihat Makam Syuhada Uhud tidaklah mengambil masa yang lama. Memadai sekadar mengucapkan salam kepada Para Syuhada Uhud dan kemudiannya kami terus menaiki bas untuk program seterusnya iaitu menziarahi Masjid Qiblatain iaitu Masjid 2 kiblat, Masjid 7 dan seterusnya ke Pasar Kurma.

nabawi dalam

Solat Terawih di Masjid Nabawi

Kami dimaklumkan supaya mengambil makan malam selepas solat Maghrib kerana selepas Isyak akan diadakan Solat Terawih. Manakala waktu Sahur esuk akan bermula pada jam 2 pagi. Ini kerana waktu Subuh di sini ialah pada jam 4 pagi dan waktu Maghrib pula ialah pada jam 7 malam. Maknanya kami di sini berpuasa kira-kira 14 jam, lebih lama sedikit berbanding di Malaysia dalam suasana suhu yang panas terik pula.

Syukur alhamdulillah, dapat juga menunaikan Solat Terawih yang pertama di Masjid Nabawi Madinah. Waktu Isyak di Madinah ialah pada jam 8.14 malam dan solat Terawih didirikan selepas itu dan tamat kira-kira jam 11 malam. Menjalani amalan di sini, Imam akan memulakan bacaan Surah al-Baqarah atau Juzuk 1 sehinggalah selesai 30 Juzuk pada malam terakhir Ramadhan..

Sungguhpun Imam menghabiskan 1 Juzuk Al-Quran semasa Solat Terawih, tetapi saya rasa tidaklah terlalu lama sangat. Mungkin kerana semangat Ramadhan. Cuma bezanya Solat Terawih di sini, selepas Imam memberi Salam, Imam terus bangun dan meneruskan Solat Terawih seterusnya. Tidak seperti di tempat kita di mana selepas Salam diselang-seli dengan bacaan Selawat.

Dan semasa Solat Witir, Imam sudah membaca Qunut Nazilah yang panjang. Memang rasa sebak dan sayu apabila jemaah di kiri dan kanan saya menangis tersedu-sedu semasa bacaan Qunut Nazilah oleh Imam Terawih. Jika di tempat kita, biasanya bacaan Qunut hanya bermula selepas malam yang ke-15 atau ke-20.

bersambung…Persiapan ke Makkah