Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah, saya telah selamat kembali ke tanah air pada hari Khamis 7hb Mac yang lalu dengan membawa pelbagai pengalaman suka duka menguruskan jemaah Umrah untuk Pakej Idaman dan juga Super Ekonomi. Kita merancang, Allah jua merancang dan semestinya perancangan Allah yang terbaik.

Rancangan awal saya akan mengetuai Kumpulan Umrah Idaman flight Saudi terpaksa ditukar apabila pihak Saudi dan MH Charter menukar jadual penerbangan dan sektor destinasinya sekali. Flight Saudi ditukar jadualnya dari 22hb Februari kepada 23hb Februari sektor Kuala Lumpur ke Madinah. Manakala Flight MH Charter pula menukar jadualnya dari 22hb Februari kepada 24hb Februari mengikut sektor Kuala Lumpur ke Jeddah dan balik dari Madinah ke KLIA. Saya harus mengetuai Kumpulan MH Charter kerana jadual penerbangannya lewat sehari dari jadual flight Saudi. Saya harus berada di KLIA untuk urusan “check in” jemaah untuk kedua-dua Kumpulan Umrah ini.

Kumpulan Saudi 23hb Februari 2013

Kumpulan ini seramai 70 orang diketuai oleh Maulana Hilmy, seorang Ustaz yang hafiz dan menjadi Mudir untuk 2 Madrasah Tahfiz di Jerantut, Pahang. Walaupun beliau agak baru dan kurang pengalaman dalam industri Umrah, tetapi saya amat kagum dengan ketinggian ilmu agama dan sifat warak yang terserlah di raut wajah beliau. Beliau perlu diberi peluang dan pendedahan dan dari situ pengalaman akan bertambah. Bersama beliau ialah 5 orang anak murid dewasanya dari Pahang.

Kumpulan MH Charter 24hb Februari 2013.

Kumpulan ini seramai 49 orang yang diketuai oleh saya sendiri. Bersama saya ialah isteri Hjh Norhayati dan 2 orang anak perempuan saya Lina Aqila (14 tahun) dan Adiba Zawana (10 tahun) dan juga Kak Ton Beauty Umaira bersama anggota keluarga dan rakan-rakannya. Rasa bertuah pula apabila dapat trip yang masuk Makkah dahulu dan kemudian balik terbang melalui Madinah. Selalunya masuk Madinah dahulu, baru ke Makkah.

Sampai di Terminal Haji, suasana agak baru dan berbeza sekali. Tidak seperti musim Haji yang terlalu padat dan ramai, kunjungan kali ini keadaan di Kaunter Imigresen begitu cepat dan lancar. Sudah tidak ada lagi jemaah yang di’scan’ kesepuluh jari tangan mereka dan kemudian diambil gambar oleh Petugas Imigresen. Kali ini memadai pasport jemaah di cop dan terus keluar. Di bangunan Terminal, saya ambil peluang membeli sim Card Mobily yang ditawarkan oleh petugas Bangladesh bagi memudahkan hubungan komunikasi dengan rakan-rakan sekerja di tanah suci. Sengaja saya elak guna line Telco Malaysia kerana ianya lebih mahal dan tidak ekonomik.

safwah1Suasana jemaah pulang dari menunaikan Solat Subuh melalui Hotel Safwah Royale Orchid

Sampai di Makkah, saya terus menyelesaikan urusan “check in” jemaah di Hotel Safwah Royale Orchid dan kemudiannya berlari pula ke Hotel Marsa untuk urusan yang sama. Jemaah MH Charter yang saya pimpin terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Idaman dan Super Ekonomi.

Keadaan di Masjidil Haram sekarang

Ketika mahu memulakan Tawaf Umrah, keadaan di Dataran Kaabah agak mengecil sedikit berbanding biasa. Ini kerana telah didirikan tembok sementara yang menutup sebahagian Dataran Kaabah di suatu sudut menghala ke Safa kerana ada kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan. Di tingkat atas bangunan Masjidil Haram pula di suatu bahagian sudah terputus. Ini menyebabkan jemaah khususnya yang menggunakan Kerusi Roda tidak boleh melakukan Tawaf di tingkat Atas. Maknanya semua jemaah melakukan Tawaf di kawasan Dataran Kaabah. Keadaan ini menjadikan kawasan Tawaf semakin padat terutama di waktu puncak seperti waktu selepas Subuh dan juga selepas Asar. Malah keadaan sesak ini berlarutan sehingga ke malam.

Selesai bertawaf Umrah maka ingatan terus untuk melakukan Saie Umrah pula. Ketika mahu menuju ke Bukit Safa, kelihatan kawasan di situ telah ditutup dengan Tembok dan anak panah menunjukkan arah ke kiri jika mahu ke Masaa (tempat saie). Bergerak arah ke kiri, saya memasuki Gerbang Babul Fatah yang bermaksud saya memasuki kawasan Saie dari kawasan tengah laluan antara Marwah ke Safa. Selalunya jemaah akan ikut arah Lampu Hijau (penanda permulaan Tawaf) dan terus menuju ke belakang, pasti akan berjumpa Bukit Safa.

Saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana memudahkan segala urusan di Hari Pertama ketibaan saya dan jemaah di Kota Suci Makkah. Kesemua jemaah mendapat biliknya di hotel dan tidak ada jemaah yang tersesat sebaik selesai menunaikan Umrah. Jemaah yang menginap di Safwah saya lihat begitu ceria walaupun keletihan semasa bersarapan di hotel keesukkan paginya. Semasa “lunch” saya melawat pula Hotel Marsa (jemaah Pakej Super Ekonomi) dan rata-rata jemaah mengatakan Hotel ini tidaklah terlalu jauh dari Masjidil Haram. Keluar dari bangunan Hotel sudah boleh lihat Masjidil Haram. Dan anggaran jarak 250-280 meter tidaklah terasa penat berjalan kaki beramai-ramai bersama jemaah yang lain ketika ke masjid dan pulang dari Masjidil Haram.

Sajian Makanan di Makkah

dewanmakansafwahJemaah bersarapan pagi di Hotel Safwah

Bagi jemaah Pakej Idaman, jemaah bersarapan pagi di Hotel Safwah, manakala untuk “lunch” dan “dinner” di Restoran d’saji Felda yang terletak di Tingkat 2, bangunan Safwah Tower. Jemaah boleh memilih sendiri menu makanan yang disukai  dan Jemaah tidak perlu membayar kerana semuanya ditanggung oleh Ajwa Travel. Jika kerusi penuh, jemaah boleh bawa balik makanan ke bilik masing-masing.

Sajian makanan di sini dimasak oleh chef yang dibawa dari Malaysia. Memang menyelerakan kerana sajiannya mengikut citarasa orang Malaysia. Nak roti canai dan teh tarik pun ada. Harga makanan di sini memang mahal berbanding Malaysia tetapi secara relatif ianya sama sahaja berbanding restoran lain yang terdapat di bangunan Safwah ini. Mungkin ada jemaah yang terkejut harga roti canai di sini SR3 atau Roti Telor SR6 tetapi kita tidak boleh buat bandingan dengan harga di Malaysia.

Manakala bagi jemaah Super Ekonomi pula sajian makanan dimasak oleh anak saudara saya yang tinggal di Makkah dibawah lesen Haji Arshad Catering. Syukur alhamdulillah jemaah amat berpuas hati kerana sajian menepati selera orang Malaysia. Malah ada jemaah yang mengsyorkan “esuk nak makan TomYam” dan permintaannya dipenuhi. Jemaah boleh “request” menu sajian untuk dimakan pada hari berikutnya dan tidak ada masalah untuk pihak Catering memenuhinya. Malah Ajwa juga menyediakan menu Minum Petang selepas Solat Asar untuk jemaah. Maknanya sajian di Makkah 4 kali dalam sehari. Biasanya 3 kali sehari.

Jumpa lagi untuk catatan pengalaman berikutnya..Wassalam