Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Menjalani ibadah Umrah dan juga berpuasa Ramadhan di Tanah Suci amat besar ganjaran pahalanya. Malah ada hadis Nabi s.a.w yang menyatakan “sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadhan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.” Allahuakbar. Buat Umrah menyamai ganjaran pahala Haji. Adapun melakukan Umrah 7 kali menyamai pahala Haji memang tidak ada Nas dari Al-Quran mahupun Hadis.

dataran luar masjidilharam

Segala amalan sunat diberi ganjaran pahala amalan fardhu. Amalan fardhu pula berganda-ganda ganjaran pahala. Bayangkan jika satu kebaikan diberi gandaan 10 kebaikan dan malah ada yang hingga 70 kali gandaan kebaikan. Bayangkan jika amalan solat dalam Masjidil Haram yang mendapat 100,000 kali gandaan pahala berbanding di tempat lain, dilakukan dalam bulan Ramadhan pula.

Boleh jadi kiraan gandaan pahala ialah 100,000 x 70 kali kebaikan menjadi 7,000,000 ganjaran pahala. Jika 1 waktu sudah dikira 7 juta ganjaran pahala maka kali aje dengan bilangan waktu yang kita solat di Masjidil Haram dan juga bilangan hari kita menetap di sana. Puh ! Banyaknya ganjaran pahala. Sebab itu yang tahu kelebihan menunaikan Umrah di bulan Ramdahan, berpuasa dan beramal di Makkah dalam bulan Ramadhan pasti berazam untuk datang ke Tanah Suci dalam bulan Ramadhan setiap tahun.

Dan jika berada di Tanah Haram Makkah pada 10 malam terakhir Ramadhan, pasti akan dapat bertemu dengan Lailatur Qadar. Dengan syarat ia beramal pada setiap malam pada 10 yang akhir itu. Beruntungnya.

tawaf subuh

Keberangkatan ke Makkah

Kami berangkat ke Makkah dari Madinah pada hari Ahad 1 Ramadhan. Oleh kerana kami ke Makkah dengan berpakaian Ihram dalam bulan Puasa, maka perlu juga diconggak jangkaan kami akan sampai ke Makkah. Ini kerana jika sampai Makkah selepas waktu Maghrib atau Isyak, dibimbangi banyak jalan-jalan yang ditutup bagi memberi ruang jemaah berjalan kaki menuju ke Masjid. Jika keadaan ini berlaku pasti akan menyusahkan jemaah. Tambahan pula masing-masing sedang berpuasa dalam cuaca suhu yang amat panas sekali.

Maknanya kami perlu sampai di Hotel Makkah sebelum Maghrib supaya kami tidak menempuh masalah jalan ditutup semasa menuju ke Hotel Penginapan. Maka saya memutuskan pergerakan harus bermula pada jam 11 pagi dan bukan selepas Zuhur seperti lazimnya. Kami berniat ihram di Masjid Bir Ali sebelum masuk waktu Zohor lagi. Dalam perjalanan ke Makkah, kami berhenti sebentar di suatu tempat untuk menunaikan Solat Jamak dan Qasar. Dan syukur alhamdulillah kami sempat sampai Makkah kira-kira 1 jam lagi sebelum masuk Maghrib. Maka jemaah sempat berbuka puasa sebelum meneruskan ibadah Umrah.

mataf subuh 2Mataf sudah boleh digunakan di tingkat bawah

Tetapi kami tidak boleh terus masuk ke dalam Masjidil Haram. Ini kerana selepas Solat Maghrib, terlalu ramai jemaah berpusu-pusu keluar Masjid untuk pulang ke Hotel masing-masing untuk berbuka puasa. Maka jemaah hanya dapat meneruskan ibadah Umrah mereka iaitu untuk melakukan Tawaf dan Saie selepas waktu Isyak.

jarak hotelPanas terik di Makkah

Puasa di Makkah

Untuk makluman suhu di Makkah memang luar biasa panasnya. Waktu Subuh biasanya suhu sekitar 35 darjah celcius. Di waktu Zohor pula suhu sekitar 47 darjah celcius dan pernah mencecah 52 darjah celcius. Bagi jemaah Malaysia seperti saya yang dah biasa manja dengan aircond, memang merasa begitu mencabar sekali dalam menjalani ibadah puasa di sini. Cuma kami buat biasa dan tidak merungut mengenai cuaca. Redha aje la.

Untuk makluman, pada musim panas waktu siang lebih lama berbanding waktu malam. Manakala di musim sejuk, waktu malam pula yang lebih panjang berbanding waktu siangnya. Waktu Subuh di Makkah ialah sekitar jam 4.15 pagi dan waktu Maghrib (berbuka puasa) pula pada jam 7.10 malam. Saya conggak kami berpuasa di sini lebih dari 14 jam. Dan Solat Isyak di Masjidil Haram bermula pada jam 9 malam, manakala selepas itu dilangsungkan Solat Terawih yang biasanya selesai pada jam 11 malam atau lebih.

Kami kembali semula ke Hotel dari Masjid sekitar jam 11.30 malam atau 12 tengah malam. Dan waktu Sahur pula bermula pada jam 2 pagi hingga 4 pagi. Dan selepas itu kami akan ke Masjid semula untuk Solat Subuh. Boleh dikatakan waktu malam di sini digunakan untuk beribadah dan hampir tidak tidur. Kami hanya benar-benar menikmati tidur pada waktu siangnya bermula selepas waktu Subuh.

Tetapi tidur waktu siang mana nak sama dengan tidur waktu malam. Kebiasaannya waktu sebelum Zuhur memang dihabiskan di bilik tidur. Nak keluar pada waktu sebegini memang tidak berani kerana cuaca yang terlalu panas. Hari pertama di Makkah selepas selesai Umrah, kami keluar solat Zuhur di Masjidil Haram. Tetapi selepas hari-hari berikutnya, saya dan isteri hanya solat Zuhur di bilik hotel sahaja. Waktu Asar baru kami ke Masjid. Bimbang cuaca yang panas terik ini boleh menyebabkan demam yang akhirnya menyebabkan banyak waktu solat berjemaah di Masjidil Haram yang tertinggal nanti dek kerana demam.

Kentalnya imam mereka

Tetapi saya perhatikan jemaah-jemaah dari negara Arab dan negara Hindi (seperti India, Pakistan dan Bangladesh) cukup kental iman mereka. Mereka boleh melakukan Tawaf pada cuaca yang panas terik. Seolah-olah tidak menjadi masalah besar bagi mereka dalam bulan Ramadhan ini. Walhal mereka juga berpuasa sama seperti saya. Yang iman lemah seperti saya ini hanya berani keluar ke Masjid pada waktu Asar dan sebelah malamnya. Itupun bila masuk Masjid pasti tuju ke tempat yang ada aircond.

nabawi dalamanBila saya lihat jemaah-jemaah yang ikhtikaf dalam masjid memang mengkagumkan saya. Banyak masa di Masjid mereka habiskan dengan membaca al-Quran. Bila letih mereka akan tidur sebentar dan kemudian meneruskan ibadah mereka dalam masjid. Saya yang baru masuk Masjid memang susah nak dapatkan tempat di kawasan Carpet Hijau kerana telah penuh dengan jemaah yang ikhtikaf dalam Masjid. Kesudahannya tempat solat yang diperolehi ialah di kawasan sekitar laluan orang lalu lalang sahaja.

Waktu Berbuka Puasa

Mereka yang ikhtikaf dalam masjid berbuka puasa dengan makan kurma dan minum air zam-zam. Ada juga teh gahwa panas dan juga yogut. Biasanya plastik safrah dibentangkan di hadapan jemaah yang duduk dan selesai berbuka plastik safrah ini akan dikutip oleh petugas masjid. Dan selepas itu Solat Maghrib pun didirikan. Selesai Solat Maghrib barulah mereka keluar dan balik ke hotel masing-masing untuk makan berat pula. Tetapi ramai juga yang mengambil keputusan untuk tidak keluar masjid sehingga selesai Solat Isyak dan Terawih. Dan selepas itu barulah mereka makan berat pula. Kagumnya saya pada golongan sebegini kerana boleh menahan lapar dalam jangkawaktu yang amat panjang. Semoga Allah memberikan ganjaran pahala dan merahmati mereka.

masjidil haram subuhSaya pula ambil pendekatan yang berbeza. Sebaik berkumandang azan Maghrib, saya akan berbuka puasa dengan makan buah kurma dan minum air mineral atau teh panas dan selepas itu bergegas berjalan kaki menuju ke Masjid untuk Solat Maghrib secara berjemaah. Antara tempoh azan Maghrib dan solat Maghrib didirikan saya kira ada dalam tempoh 10 minit. Alhamdulillah sempat juga saya Solat Maghrib berjemaah walaupun di kawasan Dataran Luar Masjid. Selesai solat Maghrib baru saya kembali semula ke hotel untuk makan berat pula.

Sikap Dermawan

Di bulan Ramadhan ini jelas kelihatan sifat dermawan jemaah. Masing-masing berlumba-lumba nak dapatkan ganjaran pahala beramal di bulan Ramadhan. Semasa menuju ke Masjid, ramai yang memberikan makanan kepada jemaah berupa kurma dan air mineral. Ada juga yang menyediakan juadah berbuka berupa Minuman Panas seperti Gahwa, Yogurt dan sebagainya.

Selepas waktu Asar, saya lihat beberapa jemaah mula memasuki Masjid dengan membawa bersama beg-beg besar yang di dalamnya mengandungi juadah berbuka puasa yang akan diagih-agihkan kepada jemaah dalam Masjid.  Permandangan jemaah berlumba-lumba membuat kebajikan ini memang menambat hati saya. Alangkah baiknya jika di tempat kita pun berkeadaan sedemikian.

Kenangan menunaikan Ibadah Puasa dan Umrah di bulan Ramadhan di Tanah Suci Makkah memang amat mengujakan. Tanyalah pada mereka yang sudah ke Tanah Suci pada bulan Ramadhan, pasti jawapannya senada dengan saya. Dan insyaAllah dalam hati sudah menanam azam yang tahun depan di bulan Ramadhan jika ada umur panjang dan rezeki, kami suami isteri akan ke Tanah Suci lagi. Mudah-mudahan Allah kabulkan.

Wassalam.