Assalamualaikum wbt.

Hasrat untuk mengunjungi Turki telah lama terpahat di dalam hati. Rasa kagum saya dengan bangsa Turki yang pernah suatu ketika menguasai peradaban Islam selama 1000 tahun sehingga runtuhnya Kesultanan Ottoman membuatkan hati ini berazam menziarahi negara Turki. Selain dari tarikan mukabuminya yang indah dan memukau pandangan, kunjungan akan menjadi lebih bermakna apabila kita dapat melihat Turki sekarang di bawah kepimpinan Presiden yang kuat dan kental jiwa Islamnya.

Sebelum ini kita ketahui Turki cukup kuat dengan fahaman sekularnya. Saya biasa terdengar dari cerita pengalaman orang yang pernah ke Turki sebelum ini yang menggambarkan masyarakat Turki tidak kuat dalam pegangan Islam. Masjid yang diziarahi hanya ramai dari segi jumlah pengunjung tetapi tidak ramai yang solat di dalamnya.

Atas keinginan yang kuat untuk melawat Turki maka saya dan isteri nekad untuk ke sana walaupun berdua sahaja. Dalam masa yang sama saya ajak juga kepada rakan-rakan dan akhirnya terbentuk group kecil seramai 9 orang. Yang bestnya rakan baik saya Ustaz Salehudin Nasir dan Hj Azeman Dahala turut serta bersama isteri masing-masing. Kami pernah sama-sama menjadi Petugas Haji semasa zaman saya bersama Zahafiz Travel suatu ketika dahulu. Turut sama dalam rombongan ialah Asma Hani (anak rakan sekelas semasa di universiti dahulu), abang Al-Sabri dan isterinya Kak Fazidah yang selalu bersama dalam rombongan yang Ajwa anjurkan.

Hari 1 – KLIA/Doha/Istanbul/Bolu

Kami berlepas pada jam 2 pagi pada 9 Oktober 2016 yang lalu, dan transit 2 jam di Doha sebelum sampai di airport Istanbul pada jam 12 tengahari. Kehadiran kami disambut wakil Ajwa di sana iaitu Mr Sakir, seorang pemuda yang punya kelulusan Universiti dalam bidang pelancungan. Oleh kerana bilangan kami hanya 9 orang maka kenderaan yang sesuai ialah seperti gambar di bawah

20161009_130525

Suhu di Istanbul ketika kami sampai sekitar 20cc, tidaklah terlalu sejuk dan memang menyamankan. Suhu sebegini amat selesa untuk keluar berjalan kerana tidak panas. Kami makan tengahari dahulu di Restoran Tempatan di dalam sebuah Shopping Mall. Kami diberi makan Menu orang Turki. Perut dan lapar maka kami makan aje la..

20161009_134452

Oleh kerana kami tiba awal di Istanbul, maka jadual Iternary telah diubah oleh Mr Sakir. Kami tidak jadi bermalam di Istanbul sebaliknya dibawa terus ke Bollu.  Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Turki memang amat mengujakan. Kami saksikan permandangan Kota Istanbul yang dilihat agak padat dengan penduduk. Bentuk mukabumi Istanbul yang berbukit bukau dan banyaknya rumah-rumah penduduk yang didirikan sepanjang sungai di Kota Istanbul dilihat amat cantik sekali.

20161009_172114

Kami sampai di Bolu sudah menjelang malam. Selepas check in Hotel kami terus makan malam di hotel yang berkenaan. Selepas makan malam sempat juga saya ber”sauna” dengan Ustaz Salehudin. Badan dah letih dalam suhu yang sejuk, pabila dah “sauna” ni baru badan rasa segar semula.

20161010_084309

Hari ke 2 Bolu ke Cappadocia

Selepas sarapan pagi kami terus “check out” hotel dan bergerak menuju ke Cappadocia. Dalam perjalanan kami singgah terlebih dahulu di Ankara untuk menukar matawang Lira. Almaklum di Malaysia payah nak dapatkan matawang Turki. Jadi kami menukar wang USD kami kepada matawang Turki supaya mudah untuk berbelanja.

Sepanjang perjalanan kami dapati sesungguhnya bumi Turki ini kaya dengan hasil pertanian. Di kiri dan kanan lebuhraya yang dilalui dapat dilihat pemandangan ladang buah-buah saje. Disebabkan buah-buahan yang ditanam tidak seperti di negara kita, maka ahli rombongan seperti dok kalut..asyik cerita pasal buah aje..lucu pun ada..

20161010_123810

Kami makan tengahari di suatu tempat yang lupa pula nama tempatnya. Selepas makan tengahari dan Solat Jamak kami meneruskan perjalanan dan singgah di kawasan Tasik Garam yang amat luas sekali.

20161010_144602

Tasik Garam Tuz

Dikabarkan oleh Mr Sakir bahawa tasik garam ini yang kedua terbesar di Turki dan pengeluaran garam di sini cukup untuk keperluan negara Turki. Kawasannya sememangnya luas…saujana mata memandang. Keluasan saya tak ingat. Tasik ini sebenarnya tidak berair, hanya kelihatan garam-garam yang memutih di permukaan tasik. Kita boleh berjalan kaki sahaja di tasik ini. Semasa berjalan saya dapati ada juga lopak di kawasan tasik ini yang mengandungi air. Jadi merasa juga saya rendam kedua-dua kaki saya di lopak air untuk merasai pengalaman sendiri.

20161010_144613

Kami diberitahu oleh peniaga di kawasan ini kononnya garam di tasik ini amat istimewa dan baik untuk kesihatan. Ada juga barangan garam yang kononnya boleh mengempiskan perut, tetapi apabila bertanya mengenai harganya kami tak jadi membelinya. Macam tak berbaloi pula.

20161010_154254

Kami singgah di Tasik Garam Tuz ini tak lama kerana perjalanan masih jauh lagi menuju ke Cappadocia. Sebaik meninggalkan kawasan ini, kami melihat ada gerai yang menjual buah tembikai lalu singgah untuk membelinya. Kami semua turun makan dan membeli buah tembikai tersebut. Punya sedap dan manis sehinggakan yang lucunya buah tembikai yang dibeli ada berbaki sebiji di hari terakhir kami di Turki. Sempat kami bedal di airport Doha semasa transit baik ke KLIA.

20161010_175150

Sampai di Cappadocia

Kami sampai di Cappadocia ketika hari sudah menjelang senja. Kami turun sebentar di Taman Nasional Goreme dan sempat juga mengambil gambar kenangan sebelum check in hotel dan makan malam di hotel.

20161010_174645

Ketika menjejaki kaki di Cappadocia hanya rasa takjub dan puji-pujian kepada Allah yang keluar dari mulut saya. Amat menakjubkan sekali pemandangan bumi Cappadocia. Sungguh hebat bumi ciptaan Allah. Rasa tak sabar nak tunggu hari esok untuk melihat dengan lebih dekat bumi Cappadocia yang mengkagumkan saya.

20161011_063941

Kami menginap di Hotel Cappadocia selama 2 malam. Hotel ini terletak di atas puncak bukit dan sebahagian binaannya didirikan pada lereng-lereng bukit yang ditarah. Keadaan dalam bilik agak unik kerana binaan dinding bilik seperti dinding gua pula tetapi amat selesa sekali.

Ketika sampai suasana di Cappadocia agak sepi. Kami dimaklumkan oleh Mr Sakir bahawasanya industri pelancungan Turki merosot 80% disebabkan oleh kejadian bom yang berlaku sebelum ini. Masa ajak rakan-rakan untuk sertai saya ramai juga yang bertanya ‘ tak takut ke nak ke Turki ? saya jawab mudah sahaja, jika ditakdirkan maut menjemput kita, kat mana-mana pun boleh berlaku “.

Selepas makan malam kami terus tidur kerana kepenatan perjalanan yang panjang, ditambah dengan suhu yang sejuk di Cappadocia.

bersambung cerita catatan hari yang ke3 di Cappadocia…insyaAllah