20161012_084509

Hari 4 – Meninggalkan Cappadocia

Hati terasa sayu nak meninggalkan Cappadocia. Sebenarnya saya rasa ralat juga kerana tidak menaiki belon udara panas. Oleh kerana rakan-rakan keberatan untuk menaiki belon udara panas, maka saya kena akur. Tak seronok apabila tidak bersama dalam setiap aktiviti.  Dalam hati berdetik untuk mahu datang ke sini lagi dan pastinya lebih seronok apabila anak-anak dapat bersama. Dan kedatangan kali kedua nanti saya berazam untuk menaiki belon udara panas. Saya mahu saksikan keindahan Cappadocia dari atas udara pula. Pasti amat menakjubkan.

Perjalanan diteruskan menuju ke Pamukkale. Sekali lagi kami melalui perjalanan yang panjang tetapi tidaklah membosankan bagi saya. Perjalanan yang panjang membuatkan kita muhasabah diri kita akan perjalanan orang-orang terdahulu yang pergi berdagang atau menyebarkan agama Allah di bumi Turki ini. Pastinya keadaannya lebih menyukarkan kerana merentasi lembah yang berbukit bukau dengan menaiki kenderaan seperti kuda, unta ataupun berjalan kaki. Berbanding dengan kami yang menaiki kenderaan yang ada aircond. Alangkah nikmatnya berbanding orang-orang terdahulu yang berhujan dan berpanas menempuh suhu yang sejuk atau panas di kawasan pergunungan.

20161012_094845

Singgah di Caravan Serai

Mr Sakir memaklumkan bahawa kita akan singgah di suatu tempat yang dikenali sebagai Caravan Serai. Caravan Serai ini ialah suatu tempat yang pernah digunakan sebagai tempat persinggahan para pedagang untuk berehat di sepanjang laluan perdagangan Timur dan Barat pada zaman dahulu. Boleh jadi konsep “Caravan Serai” ini memungkinkan tercetusnya idea perniagaan perhotelan di zaman moden ini.

Dalam Caravai Serai kami ditunjukkan tempat penginapan pedagang yang singgah untuk istirehat, dan tempat binatang-binatang seperti kuda ditempatkan. Agak besar dan luas juga.

20161012_095653

Kami singgah tak lama. Sekadar melepaskan hajat (tanda kawasan bak kata abang Al-Sabri), minum teh sambil menikmati udara sejuk segar di kawasan terbuka di waktu pagi, bergambar dan setelah puas maka kami pun meneruskan perjalanan.

20161012_144125

Singgah di Konya

Kami sampai di bandar Konya pada waktu tengahari. Konya ialah satu bandar yang menyimpan banyak sejarah dan peradaban kuno tetapi kini menjadi bandar yang terancang pembangunannya. Konya terletak di bahagian tengah daerah Anatolia ataupun bahagian selatan Turki. Bandar ini nampak bersih tetapi seperti tidak ramai penghuni. Dan kami melihat ramai wanita yang berhijab di sini berbanding di tempat yang kami ziarahi sebelum ini.

20161012_133636

Konya mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Dahulunya Konya antara bandar terawal yang diterokai oleh manusia di Turki pada zaman 1500 sebelum Masihi. Konya pernah dikuasai oleh Kekaisaran Bizantin dan kota ini dihancurkan beberapa kali oleh orang-orang Arab pada zaman Khalifah Umaiyah dan Abbasiyah pada abad yang ke 7 hingga ke 9.

20161012_130631

Apa yang menarik di Konya

Di bandar ini tersimpan makam seorang Ulamak Sufi yang terkenal bernama Sheikh Jalaludin Rumi. Beliau dikagumi sebagai Tokoh Sufi dan Pelopor Tarian Sufi atau Darwish dalam bahasa Turki sehinggakan Tarian Darwish kekal sehingga kini dan sering dipersembahkan kepada pengunjung yang datang ke Turki.

20161012_133802

Beliau juga terkenal sebagai Tokoh Penyair di zamannya sehinggakan banyak kata-kata hikmat beliau  yang dicedok dan diambil oleh sarjana-sarjana dunia Barat. Beliau mengamalkan Tarekat Maulawiah dan tarekah ini pernah memberi pengaruh yang besar dalam Istana Khalifah Turki Othmani sekitar kurun ke 16 Masihi.

20161012_132724

Tarian sufi yang diiringi dengan irama muzik tiupan seruling begitu mengasyikkan sekali. Gerakan badan ahli Sufi yang menari-nari dengan memusing-musingkan badannya menghayati setiap bait puisi dan muzik irama seruling seolah-olah mereka berada di dalam dunia mereka tersendiri. Nampak mistik kerana penari boleh memusing-musingkan badannya dalam tempoh yang lama tanpa merasa pening atau terhoyong-hayang.

20161012_132901

Saya lihat Makam Sheikh Jalaludin sentiasa ramai dikunjungi oleh para pelawat. Untuk memasuki kawasan Maqam terlebih dahulu kasut yang dipakai mesti dibungkus dengan stokin plastik yang disediakan. Unik juga kata saya, tempat lain tak da. Tujuannya supaya kawasan dalam bangunan sentiasa bersih. Sebaik memasuki bangunan telinga saya sudah dapat menangkap bunyi rakaman tiupan seruling yang mendayu-dayu.

20161012_131241

Selain dari makam Sheikh Jalaludin al-Rumi ada juga makam-makam lain dan juga pameran kitab suci al-Quran tulisan tangan pada zaman dahulu.

20161012_133324

Di luar Makam Sheikh Jalaluddin Rumi ialah sebuah bangunan yang pernah dijadikan kelas atau Madrasah tempat beliau mengajar ilmu kepada murid-muridnya. Kini tempat berkenaan dijadikan muzium kecil mempamirkan kitab-kitab lama, alat-alat muzik yang digunakan selain dari patung kehidupan pada zaman hidup beliau.

20161012_133906

Setelah puas melawat Makam Sheikh Jalaluddin Rumi maka kami pun menaiki Van untuk ke destinasi tujuan iaitu Pamukkale. Sebelum itu sempat juga kami mengambil gambar dengan memakai kostum raja-raja Turki di zaman dahulu. Saja untuk seronok-seronok dan menjadi kenangan terindah bahawasanya kami pernah sampai di sini.

20161012_170836

Oleh kerana kami mengambil masa yang lama menziarahi Makam Sheikh Jalaludin Rumi dan melihat bahan-bahan pameran menyebabkan kami lewat menikmati makan tengahari di Restoran dalam perjalanan ke Pamukkale. Sampai di restoran kami menikmati makanan dengan begitu berselera sekali, almaklum dah lapar sangat. Saya dapati restoran ini besar dan luas tetapi pengunjung yang makan di sini hanya kumpulan kami sahaja. Kasihan…jelas industri pelancungan di Turki terjejas teruk akibat berlakunya serangan bom sebelum ini.

Kami tiba di Pamukkalle selepas waktu Maghrib. Selepas check in Hotel kami terus menikmati makan malam dan berehat. Hotel ini kelihatan canggih kerana banyak kemudahan yang disediakan untuk pengunjung seperti mandi jakuzzi, bilik spa, tempat permainan kanak-kanak, meja billiad dan meja ping pong dan kemudahan-kemudahan yang lain. Sempat juga saya, Ustaz Salehudin dan Hj Azeman mandi jakuzzi di sebelah pagi keesokkan paginya.

bersambung….