Assalamualaikum wbt.

Kota Medan adalah destinasi percutian yang termurah dan menjimatkan berbanding lain-lain tempat di Indonesia. Selain dari Harga Ground yang murah, Air Asia juga kerap membuat Promosi Tambang Murah untuk destinasi ke Medan. Kelazimannya harga tiket secara purata sekitar RM200 sahaja untuk pergi dan balik. Dan apabila dicampur kos tiket dan kos ground handling di sana, kos keseluruhan mungkin hanya RM700 sahaja dan tidak sampai RM1000. Amat murah bagi yang ingin bercuti ke luar negara.

danau toba imej

Kunjungan ke Medan tidak lengkap jika kita tidak melawat Danau Toba di Parapat. Dan Danau Toba merupakan tarikan utama untuk mereka yang ingin ke Medan selain faktor membeli-belahnya. Ramai yang tidak sabar untuk ke Danau Toba sebaik sahaja sampai di Medan. Sedangkan dari Kota Medan menuju ke Parapat Danau Toba memakan masa yang panjang. Memang meletihkan bagi yang tidak biasa ke sana.

Kerana itu sekiranya kita berhasrat untuk bercuti ke sana, ada baiknya ikut Cadangan Aturcara Perjalanan yang saya kemukakan supaya perjalanan percutian kita benar-benar menyeronokkan dan berbaloi.

Hari 1 – LCCT ke Medan Airport

Penerbangan AirAsia dari LCCT ke Airport Medan mengambil masa 1 jam sahaja. Oleh kerana waktu Malaysia lebih awal 1 jam dari Indonesia maka jangan terkejut pula jika sewaktu sampai di Airport Medan, waktu ketibaan sama dengan waktu berlepas dari LCCT. Sebaiknya ambil flight awal pagi, biasanya berlepas jam 7 pagi dan sampai pun jam 7 pagi (waktu tempatan).

Sebaik tiba di Medan, lokasi awal yang dicadangkan untuk dilawati ialah di Pasar Ikan Tradisonal. Nama sahaja Pasar Ikan tetapi yang dijual di sini bukannya Ikan tetapi segala jenis barangan Tekstil, pakaian dan sebagainya.

Pasar Ikan

Kawasan Pasar Ikan di Medan

Apa ada di Pasar Ikan ?

Rujuk pada entry saya sebelum ini di bawah tajuk Pakej Melawat Medan dan Danau Toba. Biasanya kunjungan ke sini, masa yang diberi sehingga tengahari kerana sudah masuk waktu makan. Ahli rombongan diberi makan tengahari di Restoran Tempatan yang eksklusif dan menu sajian ialah Nasi Padang.

nasi padang1

Selesai makan tengahari ahli rombongan dibawa melawat Istana Maimon iaitu satu-satunya Istana di Kota Medan, milik Kesultanan Melayu Deli yang dibina pada tahun 1888. Sebelum Indonesia menjadi Republik, Kota Medan di bawah kekuasaan Sultan Deli. Tetapi kini Kota Medan tidak ada Sultan. Yang tinggal hanya keturunannya sahaja yang menetap di Istana Maimun dan kawasan sekitarnya. Lawatan di sini tambah manis apabila dapat berjumpa dan berkenalan dengan kerabat Sultan Deli yang mendiami Istana ini. Mereka amat berbesar hati menerima kunjungan  kita.

istana maimun 2

Istana Maimon di Kota Medan

Selepas lawatan ke Istana Maimon, barulah ahli rombongan dibawa ke Hotel untuk “check in” dan berehat. Kebiasaannya hotel yang diambil bertaraf 3 bintang. Kecuali ada permintaan yang mahukan hotel mewah (pastinya harga lebih mahal berbanding Pakej Biasa). Selepas waktu Maghrib, ahli rombongan akan dibawa makan malam di Restoran Tempatan.

Selesai makan malam ialah acara bebas. Tetapi ahli rombongan digalakkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya di bilik hotel kerana esok harinya akan menempuh perjalanan yang panjang ke Parapat Danau Toba.

Jumpa lagi untuk Siri 2 – InsyaaAllah